Ahad, September 12, 2010

Mahu ubah kuasa, fahamkan anak muda - A.Samad Said

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.

Menurutnya, harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau bukan.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan politik taksub seperti kalangan dewasa.

Pak Samad berkata demikian ketika menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini kelmarin.

Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid 2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.

Hanya melalui undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.

Antaranya mereka perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas Samad.

Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.

Tambahnya, apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion sahaja?

Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu disegerakan.

Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan fikiran dan budaya.

Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio budaya.

“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi rakyat.


Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.