Jumaat, Julai 16, 2010

Suburkan Program Keintelektualan

MPP Mahasiswa optimis melihat program Debat Perdana : Isu Minggu Mesra Pelajar yang diadakan semalam dapat membentuk mahasiswa yang cakna isu dan membentuk sikap saling mengambil berat di semua peringkat.


Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid yang juga MPP Fakulti Pendidikan mengulas, " Keseluruhan program hari ini (semalam) amat memberangsangkan. Pelajar-pelajar yang hadir saya lihat bukan semata-mata sekadar mendengar, tetapi mereka juga membangkitkan soalan-soalan yang mungkin sudah lama terbuku, terus kepada Presiden PMU (saudara Hamzah). Inilah sikap yang kita mahu. Di zaman para mahasiswa semakin lembab, masih ada lagi mahasiswa yang cakna isu walaupun mereka sudah di tahun ketiga atau keempat. "

"Hasil positif yang kita nampak hari ini,memungkinkan kita mencadangkan kepada pihak atasan (pentadbiran) untuk untuk turun sendiri melihat aktiviti-aktiviti sebegini dan mungkin kita akan mencadangkan untuk mengadakan aktiviti sebegini di peringkat MPP sendiri. Biar semua MPP samada dari GM atau Aspirasi untuk berada di pentas yang sama membahas isu-isu kampus. Nyatakan dan tegaskan pendirian anda terhadap isu-isu (kampus) itu di sini."
tambah beliau lagi.

Untuk rekod, program Debat Perdana anjuran Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang diadakan di Sudut Pidato, bersebelahan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) semalam merupakan aktiviti ilmiah pertama yang diadakan bagi sesi 2010/2011 ini. Pada sesi yang lalu, beberapa siri-siri debat dan pidato acap kali diadakan terutama sejak dirasmikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 15 Januari 2010 dengan UKM menjadi universiti pertama di Malaysia yang membuka Sudut Pidato atau 'Speaker Corner' setelah hampir 34 tahun diharamkan setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Hasil yang positif daripada Debat Perdana yang dianjurkan semalam juga mengilhamkan kepada MPP Mahasiswa untuk menganjurkan beberapa siri pengucapan awam yang dicadangkan terbuka kepada semua mahasiswa selaras dengan Falsafah UKM yang menekankan penyuburan budaya keilmuan dan keintelektualan di kalangan para mahasiswa.

Dengan itu, diharapkan selepas ini akan bercambah budaya keilmuan yang menjadi titik mula perubahan dalam diri mahasiswa UKM khususnya dan bakal para pemimpin masa hadapan amnya.