Ahad, Julai 11, 2010

MPP Mahasiswa Bidas PC

MPP Mahasiswa mengucapkan tahniah kepada mahasiswa/i baru yang telah menempuhi Minggu Mesra Pelajar (MMP) dengan jayanya. Penghargaan juga ditujukan kepada Pemudah Cara (PC) yang telah bertungkus-lumus memberikan tunjuk ajar kepada mahasiswa/i baru sepanjang tempoh MMP berlangsung.

Namun begitu, terdapat beberapa isu yang mendapat perhatian MPP Mahasiswa. Antaranya ialah isu rampasan booklet Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi (PMFST) yang diedarkan kepada mahasiswa/i baru FST.

Mohd Syafiq Abd Aziz, MPP Umum berkata, tindakan tersebut sangat tidak wajar memandangkan PMFST tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Jangan bersikap prejudis. Apa hak mereka untuk ambil (booklet)? Booklet yang dirampas langsung tiada unsur-unsur politik seperti yang digembar-gemburkan. Jadi, saya gesa PC yang bertanggungjawab untuk pulangkan booklet tersebut dan memohon maaf kepada PMFST.

Syafiq yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) turut mengulas mengenai usaha pihak ASPIRASI menjadikan MMP sebagai medan doktrinisasi.

"Mahasiswa baru sepatutnya diajar berfikir. Bukannya dipaksa menerima bulat-bulat. Saya yakin, mereka bukan 'pak turut', bukan 'yes man'. Mereka mampu menganalisis dan menilai,"tambahnya.

Mohd Zaim Juwaidi, MPP Fakulti Pengajian Islam yang ditemui pula menegur tindakan Pemudah Cara (PC) yang kurang menekankan kewajipan solat dan membenarkan pergaulan bebas.

“PC bukan saja perlu memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang universiti, bahkan bertanggungjawab mendisiplinkan mahasiswa menunaikan tuntutan agama. Bagi yang beragama Islam, solat adalah wajib dan perlu diutamakan. Jangan sampai ada (mahasiswa) yang tak sempat solat kerana terpaksa melibatkan diri dengan aktiviti lain.”

Tambahnya, ‘perang DECTAR’ yang diadakan dalam keadaan gelap dan bercampur antara lelaki dan perempuan juga seharusnya dielakkan.



“Allah cipta lelaki dan perempuan ibarat ‘magnet’. Secara fitrahnya, lelaki akan tertarik dengan perempuan, begitu juga sebaliknya. Jadi, hubungan antara mereka kena jaga betul-betul untuk elakkan pergaulan bebas yang akhirnya membawa kepada maksiat,”katanya lagi.

Beliau turut berharap agar kelemahan yang ada dapat diperbaiki pada masa akan datang demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi juga kental imannya.