Bangi, 06 Julai - "Budaya me'ragging' seharusnya ditinggalkan!" Itu ditegaskan MPP Mahasiswa Kerusi Umum, saudari Nabilah bt Mohamad Maiyidin ketika diminta mengulas isu terkini Pemudah Cara (PC) yang didapati me'ragging' para pelajar yang baru mendaftar di UKM Bangi.
Menurut maklumat, kes terkini berkenaan 'ragging' di kolej-kolej sedang terjadi dan amat mustahil tidak diketahui para Pemudah Cara (PC) melainkan mereka sendiri yang melakukannya tetapi tidak mahu diketahui umum. Mereka juga dikatakan mengugut para pelajar baru supaya tidak melaporkan kepada pihak luar atau akan dikenakan denda yang berat.
Untuk makluman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kemasukan pada hari Ahad lalu di mana jumlah mahasiswa baru keseluruhannya berjumlah 3,635 orang. Pendaftaran sesi pagi bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi petang pula bermula pada jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.
Dalam kes berasingan, mahasiswi dimomokkan dengan sindiran tajam berkenaan pemakaian tudung labuh yang dikatakan pro-pembangkang. Malah, ada yang menyamakan persatuan Islam di UKM adalah pro-JI yang kini hangat dibincangkan di media-media massa.
MPP Fakulti Perubatan, saudari Nasiha binti Omar ketika dihubungi nyata terperanjat dan kesal dengan 'permainan jahat' oleh Pemudah Cara Kolej yang sepatutnya menunjukkan sikap dan akhlak yang baik; bukan cara menyindir-nyindir walaupun tanpa niat mempermain-mainkan ajaran Islam.
" Seharusnya sebagai seorang Islam, walaupun kita berbeza pendapat, tetapi dalam hal ehwal tidak sepatutnya kita membuat cerita yang bukan-bukan (fitnah). Pendapat orang 'tak pakai tudung tapi sopan tu lebih baik daripada pakai tudung tapi radikal tu adalah satu pendapat yang tidak sepatutnya keluar dari seorang wanita Islam. Dalam hal ini, jangan kita (terlalu) ikut perasaan, bercakap sesuka hati, bimbang-bimbang jatuh akidah (sebagai orang Islam)." ujar MPP Nasiha dengan nada kurang senang berkenaan isu tudung labuh di sebuah kolej di UKM Bangi.
Di peringkat MPP Mahasiswa akan membawa isu ini ke peringkat atasan bagi mendapatkan penjelasan selepas usaha mendapatkan penjelasan di peringkat Pengarah Operasi PC MMP pada kali ini tidak berjaya. Isu-isu ini bukan bertujuan dipolitikkan untuk meraih simpati, tetapi pada pandang sisi MPP Mahasiswa, adalah malang dan tidak seharusnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang menyambut ulang tahun 40 tahun penubuhannya tetapi memiliki warga yang kolot dan berfikiran 40 tahun yang lalu. -MPP Mahasiswa