PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Rabu, September 07, 2011

PMUKM Ziarah Rumah Arwah Noramfaizul Mohd Nor

Serdang, 7 Sept. 2011 - Seramai 6 orang wakil yang terdiri dari Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan Setiausaha Kerja PMUKM telah menziarahi rumah keluarga mangsa Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia semalam setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Rombongan tersebut diketuai oleh Saudara Mohd Abdullah, Timbalan Presiden PMUKM, dan turut serta Saudara Ikram bin Darus (Naib presiden IV), Nor Amalina Bt Sazali (Timbalan Setiausaha), Noraini Bt Jumahir (Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan), saudari Nadhirah Zulkifli dan Nor Aqilah Bahrin.



Kehadiran PMUKM ke rumah mangsa untuk menziarahi dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Selain itu, PMUKM mewakili keseluruhan mahasiswa UKM untuk memberi penghormatan dan tanda sokongan padu mahasiswa terhadap keluarga mangsa.

Semasa kunjungan ziarah tersebut, PMUKM telah memberi sedikit sumbangan dari pensyarah dan mahasiswa kepada keluarga mangsa.

"Kita yakin bahawa arwah Noramfaizul Mohd Nor terkorban dalam menjalankan tugas dan misi yang mulia untuk memberi liputan media keadaan sebenar umat Islam di Mogadishu.

"Pengorbanannya juga menjadi obor semangat untuk meneruskan lagi misi kemanusiaan terhadap umat Islam di mana saja.

"Kami doakan agar Arwah ditempatkan di kalangan para solehin" ujar Timbalan Setiausaha, saudari Nor Amalina Sazali.


Menurut Timbalan Presiden, saudara Mohd Abdullah pula, "Misi kemanusiaan ini adalah suatu yang terpuji. Kita memuji tindakan pihak (penganjur) memberi bantuan kemanusiaan kepada umat Islam di Mogadishu. Bukan (sekadar di) Mogadisu, (bahkan di) Gaza dan mana-mana negara yang tertindas sekali pun, kita turut memberi sokongan penuh.

"Kita (PMUKM) tidak setuju isu menuding jari siapa yang betul dan salah terhadap isu keselamatan ini, cuma cadangan kepada pihak penganjur (sekiranya ingin) untuk misi kemanusiaan (sebegini) ke tempat yang berisiko tinggi seperti ini, perlu (memberi perhatian yang) serius terhadap isu keselamatan terhadap sukarelawan terbabit.

"Kita perlu ambil iktibar (daripada apa yang berlaku sekarang) agar tidak berulang kembali. Saya fikir, ia (perkara ini) perlu berbincang dengan pihak yang lebih pakar tentang isu keselamatan ini supaya akan datang ia lebih baik lagi, insyaallah"

Rakan mangsa, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata kejadian itu berlaku semasa arwah Noramfaizul Mohd Nor bersama rakan media elektronik yang lain sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersil untuk menghantar berita, telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.

Khairulanuar berkata tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia. Arwah Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia.

PMUKM mengharapkan agar keluarga mangsa terus bersabar dengan ujian yang menimpa keluarga mangsa. Semoga roh arwah akan dicucuri rahmat daripada-Nya.

Al-Fatihah.

Presiden : Syabas & Selamat Datang

Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.

Tahniah & syabas juga diucapkan kepada sahabat-sahabat perjuangan yang telah terpilih untuk menerajui saff kepimpinan PMUKM serta persatuan-persatuan dan sekretariat-sekretariat di bawah naungan PMUKM.

Sesungguhnya jawatan yang dipegang bukanlah suatu kebanggan, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul oleh sahabat-sahabat sekalian demi memastikan matlamat dan objektif utama penubuhan PMUKM tercapai. Oleh yang demikian, saya menyeru agar sahabat-sahabat sekalian dapat memberikan komitmen yang padu yang padu sepanjang bergelar pemimpin mahasiswa.

Misi PMUKM bagi sesi ini ialah melahirkan mahasiswa yang berbudaya ilmu, berakhlak mulia serta mengamalkan nilai-nilai toleransi dan keprihatinan sejajar dengan Falsafah Universiti.

Seterusnya empat (4) tonggak utama PMUKM bagi sesi ini ialah:

Kelestarian agenda kebajikan mahasiswa
Kebebasan akademik dan kedinamikan intelektual
Pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti
Keadilan sosial dan permuafatan sejagat

Peranan dan penglibatan mahasiswa-mahasiswi UKM amatlah diharapkan dalam memastikan sesebuah program berjaya dijalankan di samping meninggalkan impak positidf dalam diri mahasiswa-mahasiswi itu sendiri.

Saya menyeru mahasiswa-mahasiswi UKM sekalian agar dapat bergiat aktif dalam aktiviti berpersatuan dan bukan hanya mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata. Seorang mahasiswa yang cemerlang bukanlah hanya diukur berdasarkan pencapaian akademiknya sahaja, malah turut dinilai dari pelbagai aspek termasuklah daya kepimpinan ‘soft-skills’ ,nilai tambah, kemahiran generic dan banyak lagi.

Akhir kalam,sekiranya rakan-rakan sekalian mempunyai sebarang masalah, aduan, pertanyaan, cadangan, informasi dan sebagainya, janganlah segan untuk mengemukakan kepada kami. Insyallah kami akan membantu rakan-rakan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana sememangnya kebajikan anda tanggungjawab kami.

Ikhlas dari,
Lt. M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi
Presiden Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) Sesi 2010-2011

Selasa, September 06, 2011

MPM Idrul : Ayuh Cipta Sejarah UKM

Lumrah bagi seorang insan yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta. Rata-rata mengakui detik inilah merupakan saat-saat penting, yang bakal mencipta sejarah kehidupan mereka di masa akan datang.

Bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sesi pendaftaran pelajar baru bagi ambilan sesi 2011-2012 secara rasmi akan akan bermula pada 7 September 2011 (Rabu) nanti dengan seramai 2860 orang pelajar baru dijangka bakal mendaftar nanti. Di peringkat Biro Akademik & Keintelektualan, saya selaku Pengerusi Biro amat berharap mahasiswa yang berjaya terpilih untuk mendaftar nanti akan mengambil ruang dan peluang untuk rakan-rakan mahasiswa baru untuk bersama-sama mencipta sejarah kegemilangan dan kecemerlangan masing-masing di bumi varsiti tercinta ini.

TAFSIRAN KONSEP 'KEILMUAN'
Sedari dulu, mahasiswa mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi masyarakat ekoran mereka memiliki latar belakang pendidikan yang lebih baik di kalangan yang lain. Oleh hal demikian, mahasiswa-mahasiswi harus disedarkan bahawa pelajaran yang mereka kecapi di universiti harus digunapakai dan dimanfaatkan secara menyeluruh melalui penglibatan mereka bersama masyarakat di luar kelak.

Mahasiswa baru juga diharapkan tidak membuat tafsiran konsep ‘KEILMUAN’ di alam menara gading ini dengan hanya memahami konsep ilmu itu boleh didapati di dewan kuliah dan tutorial sahaja, akan tetapi komitmen dan insiatif mahasiswa perlu diperluaskan kepada konsep 'self-driven' yang mengkehendaki mereka mencari, menimba dan menggali sebanyak mungkin ilmu di universiti yang adakalanya lebih mudah diperoleh di luar dewan kuliah.

UBAH SIKAP YANG MERUGIKAN
Suka untuk saya ingatkan juga kepada semua mahasiwa supaya singkirkan segala sikap yang negatif, seperti sikap malas, suka ambil lewa dan suka bertangguh. Amalan ini jelas tidak sesuai untuk dipraktikkan di dalam budaya kerja di luar sana.

Sebaliknya, ayuh kita hayati keseronokan dalam kesulitan kita mengejar dan mengutip ilmu pengetahuan ketika alam kita ini yangbergelar seorang 'pelajar'. Segala-galanya bermula disini, dengan kenangan dan cabaran yang menuntut banyak pengorbanan dan kecekalan, sekaligus membentuk personaliti dan karektor diri yang positif.

Saya selaku Pengerusi Biro Akademik dan Intelektual rasanya belum terlambat untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada mahasiswa baru yang akan mendaftar bagi sesi akademik 2011-2012 ini.

Selamat menempuh alam baharu diucapkan kepada rakan-rakan mahasiswa baru semua ke pembukitan ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia ini. Semoga kita bakal bersama-bersama mencipta seribu satu kenangan dan sejarah lagi di bumi UKM tercinta ini.


"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"


Mohamad Idrul bin Mohamad Daud
Pengerusi Biro Akademik & Keintelektualan
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)
Fakulti Perubatan Tahun 4

Isnin, September 05, 2011

MPM Muslimah : Syabas & Tahniah

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi atas limpah dan kurnia-Nya kita semakin hampir memasuki semester baru. Pertamanya saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada bakal mahasiswa/i terutamanya mahasiswi yang bakal berdaftar di kampus UKM yang tercinta ini. Selamat datang diucapkan kepada semua yang terpilih. Dengan pertambahan jumlah siswi yang menuntut di universiti tempatan, maka semakin sengitlah persaingan yang bakal berlaku. Gunakanlah setiap peluang dan ruang yang ada di kampus untuk memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang.

Sedikit sebanyak gambaran awal hari pertama mahasiswa/i baru kita yang bakal menjejakkan kaki ke bumi UKM, pendaftaran baru akan dibuat di kolej masing-masing yang telah ditetapkan bermula seawal jam 9 hingga 12 tengah hari. Kebiasaannya, ibu bapa akan datang seawal mungkin bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Selepas mendaftar, mereka akan ditunjukkan ke bilik masing-masing oleh pemudah cara (PC) yang ditugaskan. Mahasiswa baru juga akan disambut oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMUKM yang akan membuat roadtour bagi beramah-mesra dengan mahasiswa baru.

Tahun ini menjanjikan kelainan buat mahasiswa/i baru apabila mereka bakal disambut oleh MPP dari kepimpinan PMUKM yang kini diterajui oleh Gabungan Mahasiswa (GMUKM). Untuk makluman adik-adik bakal mahasiswa/i, kepimpinan PMUKM kali ini menjadikan kebajikan mahasiswa sebagai salah satu daripada 4 dasar utama yang menjadi keutamaan PMUKM.

Selaku Naib Presiden 2 yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal siswi UKM, saya memandang penting isu berkaitan hal-hal siswi seperti isu keselamatan dan hak-hak wanita. Mahasiswi perlu menggunakan segala ruang dan peluang di universiti dengan sebaiknya. Para bakal mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja pada masa akan datang di samping menjadikan ilmu tersebut sebagai bekalan hidup pada masa hadapan. Sebagai mahasiswi, kita perlu mempersiapkan diri dengan peribadi yang unggul agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang gejala negatif yang kian berleluasa kini.

Siswi perlu sedar matlamat kerajaan untuk menghasilkan 30% tenaga kerja di peringkat tertinggi sektor awam dalam kalangan wanita. Hal ini demikian kerana, pelbagai isu-isu yang berkaitan kepentingan wanita perlu diambil kira bagi memajukan negara. Sebagai contoh, pertambahan cuti bersalin yang diberi sehingga 90 hari merupakan satu perubahan bertitik tolak daripada lantangnya pemimpin wanita bersuara untuk mendapatkan hak golongan wanita. Oleh itu, negara amat memerlukan tenaga fikir dalam kalangan wanita yang sensitif dengan isu-isu sebegini dan isu yang lain yang kritikal bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja wanita di negara.

Jika dahulu isu-isu seperti keselamatan wanita di tempat kerja, penjagaan anak-anak semasa wanita bekerja dilihat sebagai isu yang ringan, kini tidak lagi apabila pemimpin wanita telah bangun dan bersuara. Inilah perlunya wanita untuk menjadi lebih proaktif dan terkehadapan. Walaupun perjalanan masih jauh, di perbukitan ilmu inilah setiap siswi harus mula cakna dengan isu-isu semasa dan tidak terikat dengan sindrom kampus, “3K” yang sering menjadi tabiat iaitu Kafe, Kuliah dan Kolej.

Kesedaran berkaitan persaingan yang tinggi dalam pasaran kerja kelak memerlukan persediaan setiap siswi lebih proaktif. Semoga kejayaan sentiasa diperoleh nanti sehinggalah mendapat segulung ijazah seperti yang semua impikan.


.: Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti :.


Muslimah binti Marsi
Naib Presiden 2 (Hal Ehwal Siswi)
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

Mesej Khas “Selangkah Ke Universiti” Sempena Kemasukan Pelajar Baru Ke IPTA 2011

Mesej Khas “Selangkah Ke Universiti” Sempena Kemasukan Pelajar Baru Ke IPTA 2011


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan saudara dan saudari berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di universiti masing-masing. Saya percaya kejayaan ini pasti bertitik tolak daripada usaha yang gigih dan kelayakan saudara dan saudari.

Setiap pelajar yang diterima masuk untuk melanjutkan pengajian di universiti hendaklah menyematkan tekad dan semangat untuk mencapai kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Maka atas sebab itulah saudara-saudari perlu melengkapkan diri dengan ketrampilan, sahsiah dan jati diri cemerlang agar aspirasi negara untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan masa depan akan terlaksana.

Saudara-saudari juga harus ingat, berada di universiti tidak bermakna hanya untuk menuntut ilmu semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah saudara-saudari semua perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran lain agar dapat menghadapi persaingan dunia luar yang lebih mencabar.

Bagi sesi akademik 2011/2012, sejumlah 41,267 tempat pengajian telah ditawarkan di 20 IPTA seluruh negara. Oleh yang demikian, saudara-saudari merupakan golongan yang bertuah kerana menjadi salah seorang daripada kalangan mereka yang telah ditawarkan tempat mengikuti pengajian di IPTA bagi sesi kali ini.

Untuk makluman semua, ramai lagi calon yang memohon tetapi tidak mendapat tawaran. Oleh itu saya menyeru agar saudara-saudari tidak mempersia-siakan peluang yang telah diberikan ini. Belajarlah bersungguh-sungguh agar tercapai segala cita-cita dan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan di atas bahu saudara-saudari sekalian terlaksana. Hanya mahasiswa yang memiliki jiwa besar, berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Sebagai golonga terpelajar, saudara-saudari diharap dapat mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Hindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara dan peraturan yang ditetapkan. Ini kerana saudara-saudari semua merupakan role model kepada masyarakat. Saudara-saudari semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran, ilmu yang dipelajari, negara bahkan dunia secara amnya. Tanggungjawab dan kewajipan ini adalah amanah yang mesti ditunaikan.

Akhir sekali, kepada semua pelajar IPT sesi kemasukan 2011/2012 yang ada pada hari ini, saya mendoakan semoga anda semua mencapai kejayaan cemerlang demi kemajuan agama, keluarga, bangsa dan negara.

Sekian, wabillahitaufikwalhidayah Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarokatuh.

Ikhlas daripada saya,

MOHAMED KHALED BIN HAJI NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia