9 Julai 2014, UKM Bangi - PT 3 yang memerlukan pelajar Tingkatan 3 di Malaysia untuk menjalankan “Kes Kajian” bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi telah dimulakan pada 1 hingga 18 Julai 2014. Sistem ini diperkenalkan seawal 2011 yang mana PMR akan digantikan dengan PBS. Kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap PBS setelah didesak hebat oleh rakyat dengan harapan kes sedemikian tidak akan berulang kembali. Namun, PT 3 yang disahkan pada 31 Mac 2014 memberikan kejutan besar buat pelajar-pelajar, para cikgu dan ibu bapa. Justeru, persoalan “kesediaan kerajaan” menjadi tanda tanya semula.
Tidak dinafikan sistem tersebut merupakan langkah yang baik untuk menjamin kualiti pendidikan negara pada masa akan datang. Namun, perlaksanaannya melalui makluman yang sangat lewat mendatangkan permasalahan besar terhadap pihak yang terlibat. Sebagai contoh, para cikgu memerlukan masa untuk memahamkan sistem tersebut kepada para pelajar, para pelajar perlu didedahkan dan dibiasakan untuk memahami kaedah soalan dan pemarkahan. Selain itu ibu bapa perlu mendapatkan kefahaman agar mereka berupaya memberikan bantuan secukupnya kepada anak mereka yang terlibat.
PMUKM bersama MPP ITPA/S lain dan beberapa IPGM telah menyempurnakan kertas kerja untuk dibentangkan semasa Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan pada bulan Mei 2014. Kertas kerja tersebut bertajuk PPPM: Kesediaan Malaysia ke arah Mencapai Pendidikan Berkesan dan telah dibentangkan di hadapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin. Kertas kerja tersebut memohon agar kerajaan mampu mengemaskini sistem pendidikan dengan lebih sistematik dan teratur agar “kes-kes ekor” seperti permasalahan PBS tidak akan berulang kembali. Respon YAB pada waktu itu mengatakan kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang telah diselaraskan di dalam PPPM 2013-2025.
Justeru, maklum balas awal yang berjaya dikesan seperti mana yang telah disenaraikan oleh Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming 1 menunjukkan kerajaan sedia ada masih gagal dalam membuktikan kesediaannya bagi mengepalai transformasi pendidikan negara. Saya meyakini, pelbagai syor dan cadangan telah diutarakan kepada kerajaan dalam hal ini. Diharapkan agar kerajaan memandangnya sebagai satu “penyelesaian universal”. Kerajaan diharapkan agar tidak sambil lewa dalam melaksanakan perubahan dasar semata-mata mengejar “date line” PPPM, namun serlahkanlah anugerah akal yang dikurniakan untuk memimpin rakyat yang telah memperjudikan harapan terhadap kerajaan.
TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::