PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Selasa, Mei 27, 2014

TAHNIAH PENGURUSAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA




24 April 2014, UKM Bangi - Merujuk kepada surat kelulusan DN00319/2014, saya selaku YDP PMUKM mengucapkan tahniah dan syabas buat pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana kembali mengiktiraf kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi walaupun beberapa kampus lain tidak menunjukkan sikap sedemikian.


Maka perlu saya ungkapkan pengiktirafan kebebasan akademik sebagaimana yang terkandung dalam perundangan UKM sendiri:

“Kod ini adalah bertujuan untuk menjamin kebebasan akademik semua pelajar untuk meneroka dan menyelidik,belajar dan bersuara di khalayak ramai secara telus mengikut suara hati yang jujur tanpa perasaan takut akan dipersalahkan atau kemungkinan diambil tindakan” Kod Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatakelakuan Aktiviti Politik Pelajar dan Badan Pelajar)

Saya percaya, sebagai sebuah gedung ilmu yang terulung, UKM sepatutnya menjadi pusat perbincangan yang sihat terhadap sebarang isu, lebih-lebih lagi isu negara bersesuaian dengan penubuhan UKM itu sendiri. Budaya perdebatan dan wacana perlu digiatkan lagi agar “solusi-solusi masak” mampu dihidangkan kepada rakyat demi membina negara Malaysia yang lebih baik.

Usaha ini akan menjadi sejarah setelah 16 tahun yang lalu, satu Debat Perdana yang mempertemukan wakil kerajaan dan pembangkang dalam satu pentas. Pada tahun 1998, Debat Perdana UKM yang mengupas tajuk “Wajarkah Mahasiswa Berpolitik?” telah diadakan di DECTAR UKM, memperlihatkan wakil UMNO dan wakil PAS mengetengahkan pendirian parti terhadap usul debat tersebut selain disaksikan oleh wakil-wakil mahasiswa untuk bersama dalam program bersejarah tersebut.

Diharapkan, pendirian ini dapat diteruskan oleh UKM bagi menjamin kebebasan akademik dalam kalangan warga UKM. Semoga UKM terus maju dalam usaha menjadi “Guardian of The Nation” dan seruan saya buat seluruh mahasiswa/I UKM, nantikan suatu lagi sejarah pentas politik tanah air di UKM.






Mustapha Kamil Husen Bin Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP PMUKM Sesi 13/14






TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

OBAMA : MALAYSIA MESTI BERTEGAS





Esok 27 April 2014, bertempat di Dewan Tun Canselor, Universiti Malaya, dengan berkonsepkan “Town Hall” satu sesi dialog antara Presiden Barack Obama dan pimpinan belia di Malaysia akan diadakan. Saya selaku YDP PMUKM telah dijemput serta mewakili suara mahasiswa UKM untuk menghadiri sesi dialog tersebut. Justeru, saya akan menggunakan peluang dan ruang ini untuk mendapatkan info dan maklum balas secara langsung daripada Presiden Amerika Syarikat tersebut. Kunjungan terakhir presiden dari negara ‘helang putih’ itu, ialah pada tahun 1966 semasa jawatan tersebut digalas oleh Presiden Lyndon Baines Johnson.



Kedatangan Presiden Obama ke Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Wujud sebahagian golongan masyarakat yang merasa bangga terhadap presiden tersebut sehinggakan ingin menamakan sebuah jalan di Malaysia bersempena dengan nama beliau. Manakala, ada juga yang menentang dengan menggelar Presiden Obama sebagai “The True Terrorist”.


Tercetusnya respon-respon sebegini lantaran persoalan hubungan antara Malaysia-Amerika, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Malaysia bersetuju untuk terus terlibat dalam perbincangan Perjanjian Trans – Pacific Partnership (TPPA). Selain itu, dasar dan polisi Amerika terhadap isu-isu di Timur Tengah, demokrasi dan pemburuan pengganas turut menjadi elemen dalam reaksi yang ditimbulkan. Justeru, kedatangan Presiden Obama ke Malaysia pastinya terus menjadi buah mulut rakyat Malaysia.

Jalinan diplomatik dengan negara luar perlu dalam membina kekuatan negara. Dalam hal ini, saya tertarik dengan hubungan diplomatik yang dimetrai diantara Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip Erdogan bersama Presiden Barack Obama berkenaan beberapa isu penting berkenaan dengan hubungan ekonomi dan politik diantara Turki dan Amerika. Obama dan Erdogan juga bersetuju untuk menghentikan keganasan dan mendapat kesepakatan untuk menghalau Bashar Assad keluar daripada bumi Syria. Setelah hubungan tersebut termetrai, ia tidak pernah menjejaskan prinsip Erdogan dalam mentadbir Turki.

Kritikan Barat terhadap layanan kerajaan Turki terhadap demonstrasi di Taksim Square tidak menjejaskan Erdogan dalam meneruskan agendanya. Malah, beliau juga merupakan pemimpin pertama yang tidak menerima rampasan kuasa terhadap Presiden Morsi dan berprinsip untuk setia bersama mempertahankan demokrasi di Mesir. Sesungguhnya hanya pemimpin dan rakyat yang mampu mempertahankan keunggulan negara, bukan negara asing yang datang dengan kepentingan sendiri.

Semoga pertemuan bersama Presiden Obama pada hari esok akan memberikan manfaat buat saya untuk dikongsikan bersama kepada rakan-rakan mahasiswa. Saya juga yakin, bahawa isu-isu kritikal yang berlaku diantara Malaysia dan Amerika akan dapat disuarakan dan dibincangkan secara lebih mendalam semasa sesi dialog tersebut.




Mustapha Kamil Husen Bin Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 13/14


TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

YDP PMUKM : SEJENAK BERSAMA PERDANA MENTERI MALAYSIA



2 Mei 2014, UKM Bangi -  Kedatangan “mengejut” Perdana Menteri Malaysia ke UKM pada hari jumaat yang lalu telah memeriahkan suasana UKM. Usai menunaikan solat jumaat, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan diiringi Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali sempat bersalaman dengan para jemaah yang hadir. Selepas itu, sesi jamuan makan diadakan dan saya berkesempatan untuk duduk semeja dengan beliau.


Sambil menikmati jamuan, beberapa perkara menjadi topik perbincangan kami. Antara perkara yang sempat kami bincangkan ialah berkenaan dengan pembangunan universiti. Pokok utama yang dibincangkan ialah kaedah dan langkah yang paling berkesan dalam membina hubungan antara universiti dan industri. Dalam hal ini , YAB Dato’ Seri menjadikan beberapa universiti di Amerika sebagai contoh terbaik. Sememangnya wujud jaringan sedemikian di UKM, UKM-MTDC misalannya, tetapi masih perlu difikirkan kaedah yang sangat sesuai.

Perbualan bertambah menarik apabila saya mendapat respon Perdana Menteri terhadap perhimpunan Bantah GST pada 1 Mei 2014. Jelas beliau, “Bantah GST adalah semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan”. Pihak kerajaan menantikan “intellectual Argument” daripada pihak pembangkang. Beliau menambah, “sekiranya mereka membantah GST, apakah alternatif yang mereka mampu sediakan? Pembangkang sekadar melaungkan kos sara hidup tinggi, harga barang naik dan sebagainya.” Saya memberi respon denagan mengemukakan perkongsian daripada Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming, bahawa saya pernah bertanya kepada beliau tentang alternatif dariada pihak PR sekiranya mereka menolak GST. MP Serdang tersebut menjawab ringkas dengan membanteras ketirisan sepertimana dalam laporan Audit Negara 2013, kita mampu menyelamatkan sejumlah wang yang lebih banyak daripada kutipan GST setiap tahun. Dato’ Seri Mohd Najib menjelaskan lagi bahawa laporan audit negara masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diteliti. Namun begitu, belum sempat Dato’ Seri menghabiskan huraiannya, teman-teman semeja yang lain menjelaskan kelebihan dan kebaikan GST yang dilihat sebagai jalan terbaik kerajaan dalam meningkatkan “Revenue Income” negara pada masa akan datang.

Saya cuba mencelah perbualan mereka sekali lagi dan bertanya kepada Perdana Menteri berkenaan dengan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersama Amerika. Beliau menjawab bahawa sebenarnya perjanjian tersebut merupakan suatu langkah bijak dalam “investment”. Kini, hanya ada 12 negara yang terlibat. Beliau memberi bayangan pada masa akan datang sekiranya ada 20 buah negara yag terlibat, pastinya akan memberi keuntungan kepada negara. Sekali lagi, teman-teman di meja menyokong respon tersebut. Jelas Dato’ Seri lagi, kita masih dalam tempoh perbincangan untuk menjelaskan beberapa perkara. Perjanjian perkongsian TPP belum mendapat kata putus yang muktamad. Dato’ Seri menegaskan, sebelum ini kita pernah mengadakan perjanjian Free Trade Agreement (FTA) bersama kerajaan Turki, tetapi mereka (Pembangkang) tidak pernah membantah .

Dato’ Seri meluahkan perasaan kekecewaan terhadap PERKASA yang menuntut agar “reward” kepada pelajar yang mendapat “First Class Degree” bagi peminjam PTPTN dimansuhkan. Menurut beliau, kita kena mengurangkan nilai “Ethnicity” dalam pengurusan kerajaan. Dato’ Seri menambah ada banyak cara yang beliau telah lakukan demi membantu bumiputra di Malaysia. Perkongsian beliau terpaksa dihentikan atas kekangan masa. Kemudian, Naib Canselor UKM memberikan cenderahati kepada beliau atas tanda penghargaan dan penutup majlis.

Persoalan dan perkongsian yang saya cuba tujukan tidak dapat dibahas panjang. Demi menyahut saranan NC UKM dalam merealisasikan UKM sebagai “Guardian of the Nation”, PMUKM akan terus berusaha untuk memastikan Forum Perdana pada 10 Mei 2014 dilaksanakan agar perkongsian sihat daripada ahli akademik, pembangkang serta pihak kerajaan dapat dinilai oleh masyarakat dalam membuat keputusan yang jelas.





Mustapha Kamil Husen Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
YDP PMUKM Sesi 13/14







TINTA YDP PMUKM
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::


18 MEI : ULANG TAHUN KE- 44 PENUBUHAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

PERSATUAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA mengucapkan "Selamat Ulang Tahun Ke-44 penubuhan UKM" [ 18 MEI 1970]



"Tarikh keramat 18 Mei 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan secara rasmi. Kampus sementaranya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Bangi setelah bangunan siap. Universiti ini hasil gabungan citarasa ‘kebangsaan’ dan ’Islam’. Pelajar sulungnya seramai 192 orang. Terdapat tiga buah fakulti perintis iaitu Fakulti Sastera, Fakulti Sains dan Fakulti Islam.

Penubuhan UKM ini telah disulami dengan pasak yang jelas iaitu Falsafah UKM yang menjadi kebanggaan warga Universiti. ‘Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan’ Universiti’ adalah jelas implementasi visi yang jelas yang mudah dihadami setiap warganya agar bergerak seiring dengan aspirasi hasrat mulia pelopor penubuhan UKM suatu ketika dahulu yang menginginkan sebuah ‘Universiti Islam bercorak kebangsaan'.


::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::


Ahad, Mei 11, 2014

SISWI : THE ONLY ONE



11 Mei 2014, UKM Bangi - Hari ini adalah merupakan hari yang sangat ‘special’ buat insan yang bergelar IBU. Terbayang setiap pengorbanan yang telah di lakukan tanpa apa-apa balasan yang diharapkan. Doa yang dititipkan oleh IBU kepada kita yang bergelar seorang anak sentiasa meniti dibibir. 

Pastinya, IBU sentiasa mengharapkan kejayaan yang terbaik buat anak-anak mereka dalam pelbagai keadaan. 


Kekuatan serta ketabahan hati seorang IBU tiada tandingannya. Ibu adalah orang yang paling berjasa dalam hidup seseorang. Simbol kasih sayang sepanjang masa, cinta sejati yang datang dari hati untuk mengasihi. Janganlah sampai kita membuat mereka bersedih dan kecewa. Berusahalah membahagiakan hati mereka semoga dalam setiap hari-harinya terdapat senyuman yang diukir. 

Hargai kedua-dua Ibu Bapa kita dan titipkanlah doa kepada mereka. 

Oleh itu, kami dari PMUKM mengucapkan SELAMAT HARI IBU 2014 “Hal yang dapat membuat hati seorang ibu bahagia bukanlah Harta, tapi melainkan Akhlak seorang anak yang mulia"






Hasyimah Ibrahim
MPP Umum Tahun 1/2
Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial PMUKM Sesi 13/14





::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Rabu, Mei 07, 2014

YOUTH RECREATION’S STYLE (YOURS) : PMUKM MENGAJAK MAHASISWI BERSUKAN


28 April 2014, Melaka - YOURS anjuran PMUKM telah berjaya dijalankan pada 26-27 April yang lalu bertempat di Redtma Recreation Sport Centre, Melaka bersama para siswi UKM yang teruja dengan aktiviti yang telah direncanakan. Antara aktiviti menarik yang dilalui oleh para peserta termasuklah ‘team-building’, sukan memanah, ‘night-walk’, ‘wall-climbing’ dan berkayak.

Selain itu, suatu aktiviti yang dinamakan sidang pleno turut diadakan bagi menguji kemahiran berfikir dan berhujah para peserta berdasarkan situasi dan tajuk yang diberi seperti ‘Sukan untuk Wanita’. Melalui slot ini, ternyata terdapat bakat terpendam yang dapat dicungkil selain membentuk keyakinan diri para peserta untuk berani bersuara.

YOURS diharapkan berjaya menyumbang dalam usaha menggilap potensi dan menyerlah peribadi golongan sisiwi UKM khususnya melalui aktiviti santai dan mencabar untuk diteruskan pada masa hadapan.


















Nur Afifah Binti Abdul Rahim
MPP Umum Tahun 3/4
Naib YDP PMUKM II Sesi 13/14

::Bersama Mahasisiwa Memacu Varsiti::

Selasa, Mei 06, 2014

SATU DALAM SEJUTA: AHMAD AMMAR INSPIRASI ANAK MUDA


15 April 2014, UKM Bangi - Telah berlangsung forum ilmu di Dewan Anuar Mahmud yang bertajuk 'Bicara Cinta : Anakku Sebutir Permata.Program ini dianjurkan oleh PEMATRA dengan kerjasama PMUKM dan ISIUKM. Penal yang dijemput adalah Ibu bapa Ahmad Ammar sendiri dan bersama moderator PU Rahmat.      

       Program ini bermula pada jam 8.30 malam, bermula dengan persembahan daripada PU Rahmat. PU Rahmat telah menyampai pidato berkaitan isu kemanusiaan di Rohingya. Pada masa yang sama, tabung kemanusiaan untuk kanak-kanak Rohingya telah digerakkan dan berjaya mengutip sumbangan ikhlas sebanyak lebih RM7000.Sumbangan ini telah disalurkan terus ke Rohingya Education Center(REC) yang uruskan oleh Pn Nur Azlina Abdul Aziz (Ibu kepada Ahmad Ammar).

      Forum Ahmad Ammar bermula lebih kurang 9.15 malam. Bapa Ahmad Ammar, menerangkan penekanan yang diberikan kepada anaknya untuk menjadi seorang yang mempunyai wawasan hidup. Seterusnya, ibunya telah menerangkan berkaitan sikap-sikap dan akhlak anaknya. Bapa Ammar telah berkata 'untuk menjadi umat yang terbaik mesti menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan untuk melaksankannya mesti beriman'

 Kesimpulannya, Ahmad Ammar adalah seorang anak muda satu dalam sejuta. Kisahnya hidupnya, menjadi inspirasi kepada generasi muda masa kini. Fenomenanya, membuatkan ramai anak muda terutamanya mahasiswa lebih cenderung kepada program-program ilmu. Saya mewakili pihak penganjur program, memohon maaf jika ada kekurangan dan kelemahan semasa program. segala yang baik dan lemah itu datangnya daripada Allah yang disandarkan kepada diri kami sendiri.









Ahmed Amri Bin Zulkafli
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 1/2
Biro Penerbitan dan Komunikasi PMUKM Sesi 13/14






::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::


Sabtu, Mei 03, 2014

PENGANTARABANGSAAN : PMUKM DAN KELAB SAHABAT AQSA MENGETENGAHKAN ISU SYRIA

Pada 17 April 2014, UKM Bangi -  Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dengan kerjasama Kelab Sahabat Aqsa UKM mengadakan satu forum yang bertajuk “ Assad Makin Terdesak , Kemenangan Semakin Hampir” dengan penampilkan panel yang hebat dari Aqsa Syarif iaitu Dr Tahir dan Puan Muzlipah dan moderator dari pelajar Master Sains Politik , Saudara Ahad Mustaqim. Sepanjang forum itu, Dr Tahir dan Puan Muzlipah berkongsi pengalaman beliau ketika mengikuti misi kemanusiaan untuk membantu pelarian penduduk Syria yang berada di Jordan. Beliau turut berkongsi sejarah ringkas tentang Syria dari sudut pelbagai sudut baik politik dan pentadbiran. 

Selain itu , beliau berkongsi maklumat mengenai situasi dan keadaan terbaru ketika beliau berada di Syria. Sebagai seorang sukarelawan dan aktivis , beliau banyak menekankan peranan mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk membantu mereka baik dari sudut kewangan , sokongan sosial kepada mangsa kezaliman di Syria. Pihak penganjur juga dipuji dan disarankan untuk sentiasa menyedarkan masyarakat kampus serta masyarakat luar untuk celik dan mengetahui isu-isu berkaitan tentang Syria , Palestin dan Mesir agar hak mereka dapat dibela daripada cengkaman musuh dan golongan zalim.








Puteri Nor'Adilah bt Mohd Zaharudin
MPP Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 1/2
Biro Perhubungan dan Antarabangsa PMUKM Sesi 13/14





::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Jumaat, Mei 02, 2014

TSUNAMI BUKU JALANAN : PEMBUDAYAAN AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN MAHASISWA



Pada 30 April 2014, UKM Bangi - Satu program berbentuk santai telah dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) di bawah Biro Pembangunan Mahasiswa iaitu Tsunami Buku Jalanan yang bertempat di Aras 3, Bangunan Pusanika. Program buku jalanan ini akan dilaksanakan bersama-sama pengasas buku jalanan terpilih yang ada di sekitar Selangor. Selain itu, program ini juga akan dihadiri oleh penduduk Bandar Baru Bangi. Penglibatan mereka adalah sangat penting untuk menyediakan satu platform interaksi antara mahasiswa dan juga masyarakat setempat. 


Satu medium dua hala disediakan untuk mahasiswa bertukar ilmu bersama penulis buku, pengasas buku jalanan, cendekiawan dan juga masyarakat setempat. Pertukaran ilmu tersebut adalah melalui pengucapan awam yang dilakukan oleh peserta-peserta yang hadir mengenai buku yang dibaca oleh mereka. Ianya juga adalah bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca disamping meningkatkan keyakinan mahasiswa untuk berkomunikasi di hadapan orang ramai. 

Program ini dijalankan adalah untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan mahasiswa di Ukm dengan menarik minat mereka dengan medium yang lebih ringan dan santai namun mempunyai kandungan yang berat untuk difikirkan. Hal ini berikutan, program buku jalanan kali ini membawakan perbezaan daripada buku jalanan sebelum ini yang mana penganjur telah memuatkan kandungan seperti perkongsian ilmu daripada penulis-penulis buku seperti Prof Che Husna Azhari yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Selain mengetengahkan pensyarah, penganjur juga membuka peluang dan kebebasan kepada para pelajar untuk turut serta dalam menyampaikan idea mereka melalui perkongsian ilmu tersebut. 

Antara pelajar yang terlibat seperti Yasier Mahayudin, pelajar tahun tiga Sains Politik yang berkongsi mengenai ‘Membaca dan Revolusi’. Turut serta dalam perkongsian ini adalah pelajar daripada Fakulti Pengajian Islam iaitu Anis yang membawakan perkongsian ringkas mengenai ilmu falsafah. Bahkan juga, program ini disertai oleh Timbalan PKPIM iaitu Saudara Fazril yang membincangkan isu pembudayaan ilmu. Lebih hangat lagi, jemputan Benz Ali menaikkan suasana apabila membincangkan isu ‘Mahasiswa dan Membaca’. Sedikit intipati yang dapat dikongsi bersama adalah Benz Ali menyeru kepada mahasiswa untuk bukan sekadar membaca semata-mata bahkan menulis untuk mencambahkan lagi pemikiran sedia ada. Selain itu juga, Tsunami Buku Jalanan turut membawakan kepada mahasiswa bacaan puisi yang dideklamasikan oleh Dayang Nur Sakini, Maisarah, Razan dan juga Syazwana. Walau bagaimanapun, seorang jemputan iaitu Prof Datuk Dr Agus tidak dapat hadir lantaran mempunyai tugas lain di Putrajaya. 

Tsunami Buku Jalanan ini diharapkan dapat membantu mahasiswa untuk lebih progresif dan membantu melatih mahasiswa untuk membiasakan diri dengan pelbagai lapangan ilmu yang ada. Bahkan ini juga satu suasana dan keadaan yang baru untuk ditelesuri oleh mahasiswa di Ukm.







Fatin Zulaikha Hamdan
MPP Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 3/4
Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM sesi 13/14







::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

Khamis, Mei 01, 2014

SISWI : UKM LADIES DAY


 25 April 2014, UKM Bangi - Buat julung kalinya, ‘UKM Ladies Day’ dengan tema “Bringing You Smile” anjuran PMUKM telah dilancarkan pada Jumaat lalu oleh MPP Umum ½ iaitu Saudari Hasyimah Ibrahim selepas berlangsungnya Forum Citra Siswi Mega anjuran PMFPI.


‘UKM Ladies Day’ diadakan bagi meraikan para wanita yang mendominasi alam kampus selain membawa satu pembaharuan untuk mendekati golongan wanita termasuklah para siswi, pensyarah wanita, siswi antarabangsa dan pekerja wanita yang gigih menuntut ilmu dan berbakti di perbukitan ilmu ini. Matlamatnya jelas bagi merapatkan jurang yang ada dari setiap golongan wanita ini untuk bersama-sama memberi sokongan sosial ke arah membentuk wanita berketerampilan dan tekun memberi sumbangan kepada masyarakat.





Pelbagai perancangan telah diatur bagi menjayakan ‘UKM Ladies Day’ dengan lebih mesra-wanita dan pastinya memberi manfaat khususnya buat para wanita UKM dan masyarakat luar. PMUKM mengharapkan ‘UKM Ladies Day’ pada tahun yang mendatang akan lebih meriah dan dapat meraih perhatian yang luar biasa dari golongan ladies dan diterima baik oleh semua pihak.






Hasyimah Binti Ibrahim
MPP Umum Tahun 1/2
Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::

KESELAMATAN SISWI : PROGRAM 360° STAY SAFE


Pada 23-24 April 2014, UKM Bangi -  Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial telah mengadakan program 360° Stay Safe. Program ini merangkumi pertandingan poster yang telah dibuka 2 minggu sebelum program ini berlangsung dan dimana seramai 8 orang pemenang telah di pilih. 

Pada 23 April 2014 , telah di adakan pameran berkaitan keselamatan daripada Pusat Kesihatan UKM, Wisma Aman UKM, dan juga pihak Insurans di samping pembahagian topi keledar percuma daripada PMUKM kepada mahasiswa/I yang bertuah. Kemudian pada malamnya pula, pihak kami juga telah mengadakan Program talk bercorak demostrasi dalam menjaga keselamatan. Talk tersebut telah disampaikan oleh Master Saiful dari Kick Start Academy. 

Pada 24 April 2014, telah berlangsungnya majlis Perasmian Penutut yang telah dirasmikan oleh Tuan Hj Musa Zainal Abidin Othman dan juga pembahagian hadiah kepada pemenang pertandingan poster.



 Bersama Master Saiful dan Team KickStart Academy







Hasyimah binti Ibrahim
MPP Umum Tahun 1/2
Biro Kebajikan Dan Khidmat Sosial PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::