Khamis, Mei 13, 2010

Syarahan Diraja Antara Acara Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UKM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Syarahan Diraja oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah antara pelbagai acara yang telah disusun sempena sambutan ulang tahun ke-40 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Selasa depan.

Menurut kenyataan UKM Rabu, Tuanku Muhriz, yang juga Canselor UKM, akan menyampaikan syarahan bertajuk "UKM Universiti Untuk Dunia" yang akan mengisahkan kejayaan serta usaha yang dilaksanakan oleh UKM bagi menangani cabaran di abad 21 dan juga pengantarabangsaan.

Satu pameran mengenai perjalanan UKM sejak penubuhannya akan diadakan di Foyer Canselori yang bertemakan "Mencerna Warisan Memacu Wawasan".

Acara lain termasuk pelancaran buku terbaru, setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama, pelancaran portal berita UKM serta beberapa seminar, acara sukan dan program khidmat masyarakat.

Menurut kenyataan itu, kemuncak sambutan ialah Konsert Diraja yang akan diadakan pada 22 Mei di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM.