Rabu, Mei 19, 2010

Model Autonomi Pentadbiran Universiti Harus Diperjuangkan - Tuanku Muhriz

BANGI, 18 Mei (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah bahawa model autonomi bagi pentadbiran universiti harus diperjuangkan untuk memandu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baginda yang juga Canselor UKM bertitah model autonomi yang dibangunkan itu harus dapat memperkasa tadbir urus dan perundangan universiti, di mana institusi pengajian tinggi itu mempunyai kuasa membuat dan melaksana keputusan sendiri berdasarkan tadbir urus yang cekap dan akauntabiliti yang tinggi bagi mencapai matlamat universiti, pembangunan negara dan masyarakat sejagat.

Ia juga perlu mencapai matlamat peningkatan autonomi pengurusan kewangan dan penjanaan pendapatan, peningkatan autonomi pengurusan akademik dan kemasukan pelajar serta peningkatan autonomi pengurusan modal insan, di mana universiti berkuasa menetapkan dasar berkaitan pembangunan organisasi, sistem saraan dan urusan perkhidmatan bagi menarik, membangun dan mengekalkan modal insan terbaik.

"Autonomi mestilah diungkap sebagai suatu instrumen peningkatan keberkesanan pentadbiran bagi membantu UKM dalam mencapai matlamat menjadi universiti penyelidikan terkehadapan.

Bertitah sempena sambutan ulang tahun UKM ke-40 di sini hari ini, autonomi institusi merangkumi perluasan atau penurunan kuasa membuat dan melaksana keputusan sendiri berdasarkan sistem tadbir urus yang cekap dan berkesan.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat pada majlis itu.

Tuanku Muhriz bertitah sejajar dengan Misi UKM, Bahasa Melayu harus terus dimantap dan dimartabatkan dalam pelbagai peranan kerana ia adalah bahasa istana, bahasa adat istiadat, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan bahasa wahana pembentukan jati diri kebangsaan.

Malah titah baginda, Bahasa Melayu juga sebagai bahasa antarabangsa, yang dikaji di beberapa institusi terkemuka dunia seperti di School of Oriental and African Studies, University of London dan Victoria University of Wellington, New Zealand.

"Beta percaya UKM harus terus menerus menjana ilmu yang menjadi rujukan tertinggi di peringkat global, dengan cara memperkaya khazanah ilmu watan dan serantau. Dengan cara menyumbang kepada khazanah ilmu sedemikian, UKM akan dapat menarik para ilmuwan dunia datang untuk bersama-sama menyelidik dan menyebar ilmu yang dibina di rantau ini.

"UKM mesti cemerlang di dunia tetapi tidak asing dan berakar umbi pada masyarakatnya," titah baginda.

Pada majlis itu, Tuanku Muriz turut melancarkan 80 buku terbaru keluaran UKM, setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama serta portal berita UKM.

-- BERNAMA