Jumaat, Mei 21, 2010

Dana wakaf UKM bantu pelajar miskin

BANGI 21 Mei - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan dana wakaf sebagai usaha membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan dalam membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dana itu juga akan disalurkan kepada tabung kebajikan kelolaan UKM seperti Tabung Pendidikan dan Kebajikan Pelajar serta Tabung Penyelidikan dan Pembangunan Akademik.

Menurutnya, kejayaan mewujudkan dana wakaf tersebut adalah hasil kerjasama serta sokongan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pemegang amanah tunggal kepada harta wakaf di negeri ini.

''Pihak MAIS juga telah memberi keizinan kepada UKM untuk membuka satu Tabung Dana Wakaf UKM di MAIS Shah Alam.

''Kita harap dengan adanya dana wakaf ini mampu memperkasakan agenda akademik, penyelidikan dan perkhidmatan UKM,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UKM dengan MAIS sempena pelancaran Dana Wakaf UKM di sini hari ini.