Khamis, Ogos 28, 2014

MMP : PMUKM MAHU BANTU


7 Ogos 2014,UKM Bangi - Perjumpaan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama Naib Canselor UKM, Prof Datuk Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof Datin Noor Aziah dan Prof Madya Dr. Roslee Rajikan, Ketua Pusat Khidmat Siswa* telah diadakan bagi membincangkan perjalanan Minggu Mesra Pelajar Sesi 2014/2015 (MMP). Perjumpaan tersebut juga disertai oleh beberapa pegawai kanan di bawah seliaan TNC HEPA UKM. Beberapa perkara telah dibincangkan dan butiran adalah seperti berikut:

1. Keterlibatan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) semasa MMP.
NC memaklumkan bahawa pihak kementerian sendiri yang telah menetapkan individu-individu yang boleh berada di kampus semasa MMP. Justeru pada sesi kali ini, sekali lagi PMF tidak akan terlibat sepanjang MMP dan perkara ini juga telah disokong oleh TNC HEPA sendiri. Pihak kami memaklumkan perkara tersebut tidak adil kerana mengikut pengalaman beberapa YPD persatuan fakulti dan persatuan induk, sepanjang MMP fasilitator-fasilitator yang mana sebahagian mereka juga merupakan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) kolej akan menghebahkan kepada pelajar-pelajar baru untuk menyertai program-program di bawah kendalian mereka, selain itu pendaftaran untuk memasuki exco-exco di bawah MEP juga akan dibuka. 

Sehubungan dengan itu NC UKM telah “BERJANJI” perkara tersebut tidak akan berlaku pada MMP sesi kali ini, beliau dengan kapasiti sebagai NC akan berusaha untuk menghalangnya. Hebahan program-program dan kemasukan/pendaftaran sebagai ahli exo untuk setiap persatuan sama ada kolej, induk dan fakulti serta MEP hanya boleh dilaksanakan pada minggu ke III setelah kemasukan. TNC HEPA juga memaklumkan Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar akan dilaksanakan pada minggu ke III setelah kemasukan pelajar tahun 1. NC juga memaklumkan hanya persatuan Unit Beruniform SAHAJA yang dibenarkan untuk mengadakan pendaftaran semasa MMP.

2. Pembaharuan – pembaharuan MMP yang telah dibincangkan bersama semasa pertemuan lepas. 
NC menjelaskan dan menjanjikan bahawa MMP pada sesi kali ini berbeza dengan MMP sebelumnya. Berteraskan kepada 6 perkara Bidang Keberhasilan Utama UKM, minggu mesra pelajar pada kali ini akan memfokuskan tawaran-tawaran dan peluang yang mesti dimiliki oleh setiap mahasiswa/i yang berada di UKM sebagai contoh peluang untuk ke luar negara, program inter-fakulti, dan kepentingan mahasiswa/i UKM memiliki Identiti UKM. TNC HEPA juga menerangkan sedikit perjalanan berkenaan MMP selama seminggu bermula pada 1/9/2014*. 

Hanya ada satu sahaja program yang diadakan di DECTAR iaitu untuk upacara mengangkat sumpah. Bacaan Yasin pula akan diteruskan seperti biasa dan terdapat dua hari MMP diadakan di Fakulti iaitu satu hari untuk ibu bapa bersama para pensyarah dan satu hari yang lain untuk para mahasiswa bersama para pensyarah. Selebihnya adalah program yang berfokus di kolej justeru saya mengharapkan bukan program-program bersifat “kekolej-an” yang di laksanakan, kolej hanyalah TEMPAT dan 6 Bidang Keberhasilan Utama keberhasilan UKM tersebut adalah programnya.

3. Jawatankuasa yang terlibat semasa MMP
Untuk perkara ini, NC menyarankan pihak PMUKM untuk bertemu sendiri dengan Prof Madya Dr. Roslee Rajikan untuk mendapatkan maklumat berkenaan. Saya juga telah menyuarakan kepada Prof Madya Dr. Roslee agar menimbang semula keterlibatan PMUKM dalam minggu mesra pelajar kali ini sekurang-kurangnya dapat berada di UKM dan menyaksikan sendiri program-program yang akan dijalankan atas dasar PMUKM adalah perwakilan rasmi pelajar UKM. Beliau menyatakan persetujuan dalam kalangan pengetua perlu didapatkan dan beliau tidak ada masalah untuk menjalankan perbincangan lanjut bersama PMUKM. 

4. Penglibatan PMUKM sepanjang MMP
TNC HEPA memaklumkan bahawa PMUKM akan dijemput untuk menghadirkan diri ketika program mengangkat sumpah dijalankan di DECTAR. Pihak kami menghargai jemputan tersebut dan akan sedaya upaya memberikan komitmen yang sebaiknya. 

Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati terhadap penerimaan NC dan kakitangan TNC HEPA kerana sudi berbincang bersam-sama pihak PMUKM dalam menjayakan MMP sesi kali ini. Walaupun, keputusan tidak menampakkan keadilan ruang yang telah diberikan akan kami gunakan dengan sebaik mungkin.




Mustapha Kamil Husen Abdul Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
Yang Dipertua UKM Sesi 13/14 








28 Ogos 2014, UKM Bangi - Badan induk kepada mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) telah mengambil inisiatif membuat kerjasama dengan pihak-pihak yang terlibat semasa Minggu Mesra Pelajar (MMP) untuk memastikan kelancaran sepanjang MMP berlangsung. Kami telah menyampaikan hasrat kami kepada dekan setiap Fakulti, Pusat Islam serta Wisma Aman. Kami akan bersama-sama dengan mereka untuk kelancaran program minggu Mesra Pelajar(MMP).







AMARAN PERANG DECTAR






4 September 2014, UKM Bangi - Walaupun sudah berulang kali ditegah serta dikecam daripada berlangsungya perang dectar, masih ada yang tidak mengambil pusing tahap keseriusan aktiviti ini. PMUKM berpendirian bahawa Perang Dectar tidak wajar diadakan berikutan ia mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan kepada siswa/I UKM. 

Pastinya perang dectar tidak menonjolkan imej yang selaras dengan cetusan baru dari NC UKM dalam menjadikan UKM sebagai Guardian of Nation. Sekiranya “Slot” perang dectar masih ingin dilaksanakan, kami menegaskan agar tiada sebarang penderaan dari aspek mental dan fizikal terhadap siswa/I baru UKM. Jika PMUKM menerima sebarang aduan mengenai “kesan” dari perang dectar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan atas melakukan deraan (ragging) mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh TNC HEPA UKM.

Kami berharap serta memberi penegasan keras kepada pihak Pemudahcara (PC) untuk bersama-sama membendung aktiviti ini daripada berlaku demi kesejahteraan kita bersama. 



Muhammad Sallehudin Bin Khalid
MPP Umum Tahun 3/4
Naib Yang Dipertua PMUKM Sesi 13/14





:: Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti ::