Selasa, Ogos 26, 2014

MALAYSIA : APA IDENTITI KITA YANG SEBENARNYA?

26 Ogos 2014, UKM Bangi -  Identiti adalah satu topik yang sangat memberikan permasalahan yang besar di Malaysia. Hakikatnya untuk mendapatkan sesuatu di Malaysia “identiti” perlulah dijelaskan terlebih dahulu. Malah, pemberian “privilage” untuk memiliki identiti sebenarnya telah menyebabkan Malaysia pada hari ini mendapat nasib yang kurang baik. Walau demikian identiti sesebuah negara penting bagi pimpinan negara mampu mengorak langkah untuk menyediakan masa depan yang lebih baik untuk generasi pada masa akan datang. 


Definisi identiti berbeza mengikut pandangan dan kepentingan seseorang sebagai contoh Lim Kit Siang mengatakan bahawa beliau adalah “Malaysian first and Chinese second”. Daripada penyataan tersebut jelas menggambarkan beliau seorang yang berjiwa besar dan ingin melihat dan memimpin Malaysia di luar elemen-elemen bangsa dan perbezaan. Tidak dapat dinafikan kemungkinan ada daripada rakyat Malaysia yang berbangsa cina tidak menyukai kenyataan beliau dengan menyifatkan beliau telah mengetepikan kepentingan bangsa cina di Malaysia. Begitu juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau “Malay first and Malaysian second”. Kenyataan tersebut memberikan gambaran yang buruk terhadap beliau sehingga mengatakan beliau adalah seorang yang bersifat perkauman tetapi jelas sekali menurut beliau, kepentingan Malaysia tetap menjadi keutamaan beliau dalam memimpin. Apakah keperluan yang sebenar untuk mengetahui apa yang terdahulu dan apa yang terkemudian?

Malaysia sudah berusia hampir 51 tahun, dan untuk 50 tahun yang akan datang setiap rakyat di Malaysia perlu menilai pembentukan negara dari aspek yang berbeza. Ada yang mengatakan “Sekiranya meletakkan Melayu,Cina, India dulu bermaksud rencana-rencana kerajaan hanya memberikan manfaat kepada golongan tertentu ini tidak adil”. Sebahagian yang lain menyifatkan keperluan untuk meletakkan Malaysia dahulu penting agar polisi-polisi yang bakal dijalankan oleh kerajaan dapat dirasai oleh semua rakyat dan benar-benar memenuhi kehendak dan tuntutan daripada rakyat marhaen. Jika difikirkan semula, perlukah soalan tersebut di utarakan semata-mata untuk mendapatkan kepastian yang sedemikian. Seorang yang berbangsa Kadazan berkata kepada teman-temanya “Saya Malaysia dulu, Kadazan kemudian” teman-temannya lantas berkata kepada beliau, “Wah, Jadi bahasa apa yang kamu gunakan di rumah?” Apa yang ingin disampaikan ialah, persoalan sebegini sepatutnya tidak ditimbulkan kerana akhirnya akan membawa kepada persoalan yang tidak munasabah dan tidak memberikan gambaran yang jelas dalam memberikan keadilan dan pemilikan polisi-polisi yang menyeluruh.


Saya tertarik dengan jawapan Prof Tariq Ramadan ketika ditanya “Are you a Muslim first or Europe first?” beliau menjawab “I am Swiss by Nationality, Muslim by Religion, Europe by culture and an Egyptian by memories”. Sebenarnya kita memiliki identiti yang pelbagai dan bertanggungjawab terhadap setiap identiti tersebut. Setuju ataupun tidak, setiap elemen tersebut menjadikan siapa kita yang sebenarnya. Maka apabila kita mengaku dan bersumpah sebagai warganegara Malaysia, kita mempunyai tanggung jawab terhadap setiap rakyat Malaysia. Dengan memahami kepentingan menjadi warganegara Malaysia kita mampu memberikan keadilan yang lebih. 


Sedarlah kita memiliki kewarganegaraan Malaysia, yang terdiri pelbagai bangsa contohnya seperti Cina, India, Kadazan, Iban, Dayak, Orang Asli, Melayu, dan setiapnya memilih Buddha, Hindu, Kristian,Islam sebagai agama.


TINTA YDP PMUKM
:: Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti ::