Isnin, November 22, 2010

Menanti 'Parlimen Mahasiswa' sebenar

Sekadar Hiasan : Parlimen Mahasiswa di UK


Parlimen merupakan institusi agung bagi meluluskan rang undang-undang di negara yang mengamalkan demokrasi. Ahli parlimen mempunyai tugas penting untuk berbahas bagi menyelesaikan isu semasa demi kesejahteraan rakyat.

Pada awal tahun ini pihak Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa sebagai platform untuk golongan itu mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan yang berkaitan.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, parlimen mahasiswa tersebut adalah sebagai landasan terbaik untuk mahasiswa bersuara justeru setiap universiti perlu mempunyai model Parlimen Mahasiswa sendiri

Sebelum ini, proses menyalurkan pendapat dilakukan melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan, tetapi kedapatan ia kurang berkesan dalam mewakili suara mahasiswa.

Persidangan Parlimen Mahasiswa pertama telah diadakan buat kali pertama di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) 23 Oktober lepas. Sebelum itu Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM dan MPP telah mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.

Namun cakap-cakap dengan para peserta bengkel tersebut mendakwa terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan dan fungsi parlimen mahasiswa tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang suasana 'tidak kena' kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang.Justeru akan ada perbahasan yang sedia maklum akan menjangkaui 'isu-isu sensitif' dan bersifat dalaman.

Isu ini telah dibangkitkan oleh YB Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap yang mendakwa Parlimen Mahasiswa di negara ini masih dibayangi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), berbeza dengan Parlimen Mahasiswa yang diwujudkan di United Kingdom.

Di UK seperti mana yang kita ketahui, Parlimen Mahasiswa ditubuhkan,mereka mempunyai akta khusus menyebabkan mahasiswa yang memberikan pandangan dalam forum tersebut mempunyai kebebasan untuk menyatakan pandangan-pandangan mereka.

"Di Malaysia kita masih lagi mempunyai sekatan-sekatan seperti Auku yang menghalang kebebasan mahasiswa daripada menyuarakan pandangan.

"Sejauh mana inisiatif yang dibuat oleh menteri boleh memberikan mahasiswa suara yang ketiga dalam pembangunan negara kita?" soal beliau.

YB Nasir dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengajian Tinggi (KPT) menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa (Student Parliament/Youth Parliament) seperti mana yang dilaksanakan di UK sebagai bukti keterbukaan kerajaan mengiktiraf suara mahasiswa sebagai suara ketiga dalam menjadi rakan pembangunan negara dan juga menggalakkan mahasiswa terlibat secara progresif dan positif dalam politik negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung dalam jawapannya memberitahu bahawa KPT sememangnya menyokong dan menggalakkan pelaksanaan program-program pembangunan sahsiah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk melalui pembentukan Parlimen Mahasiswa.

"Sesuai dengan kuasa autonomi yang ada pada IPT, Naib-Naib Canselor telah diberi kuasa dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkara ini di IPT masing-masing," kata beliau.

Menurutnya, setakat ini USM telah melaksanakan model Parlimen Mahasiswanya yang tersendiri secara rasmi pada 23 Oktober lalu dengan dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP).

Beliau bagaimanapun tidak menjawab persoalan sebenar mengenai kekangan mahasiswa di bawah Auku.

Isu Parlimen Mahasiswa ini juga turut disokong Datuk Bung Mokhtar Raden, Ahli Parlimen Kinabatangan yang mahu kerajaan melaksanakan Parlimen Mahasiswa secara keseluruhan (total).

"Persoalannya sekarang dengan keyakinan jitu daripada kementerian,apa halangannya untuk pihak kerajaan mewujudkan secara total Parlimen Mahasiswa kerana mahasiswa ini adalah aset negara.

"Daripada awal kita latih mereka, didik mereka bagaimana menjadi wakil rakyat, bagaimana nak bincang isu-isu yang relevan," katanya.