MPP GMUKM berkesempatan mengunjungi ruang laman sosial Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan tertarik dengan persoalan yang dilontarkan oleh beliau berkenaan roh di dalam kondisi pelajaran dan universiti hari ini.
Kata beliau, "Philosophy forms d soul of university. A university without philosophy classes risks becoming a university without soul (Falsafah membentuk jiwa universiti. Sebuah universiti tanpa (memahami) hakikat falsafah berisiko menjadi universiti tanpa jiwa.)
Pada pandangan kami, yang dimaksudkan oleh Dato Saifuddin bukan menyalahkan sistem pendidikan hari ini (walaupun umum mengetahui terlalu exam-oriented) tetapi kita semua selaku mahasiswa harus menyedari dan memahami hakikat sebenar (atau lebih harmoni dikenali sebagai FALSAFAH) ilmu pelajaran & pendidikan itu sendiri.
Kedapatan mahasiswa hari ini tanpa disedari telah menjurus kepada menjadi 'robot bergerak' kerana walaupun berjaya memperoleh segulung sijil, diploma, ijazah mahupun doktor falsafah, tetapi gagal menghayati dan memahami apa maksud sebenar ilmu dan pelajaran yang sedang dipelajari.
Sama ada kita mahu akui atau tidak, ilmu yang kita pelajari kini hanyalah untuk peperiksaan sahaja. Fakta-fakta dan teori-teori yang diingati hanyalah sekadar untuk mengisi ruangan kertas jawapan. Huraian berdasarkan kajian dan pendapat para sarjana dan ilmuwan hanya sekadar memenuhi syarat mendapat segulung ijazah sarjana muda, sarjana tinggi dan PhD.
Kalau ilmu yang dituntut sekadar yang dimaksudkan di atas, maka tiada gunanya ilmu tersebut bagi mahasiswa. Keadaan ini tidak sedikit pun memberi faedah kepada mereka. Alangkah malangnya, ilmu yang sebegitu mulia dan tinggi darjatnya, diperlakukan sebegitu sahaja. Ilmu yang dituntut kini hanya dari bilik kuliah sahaja tanpa ada inisiatif untuk mendalaminya dengan lebih lanjut dengan melakukan pembacaan rujukan asal mahupun kajian-kajian sendiri tanpa paksaan; dan sebagainya. Lebih malang lagi jika dinawaitukan ilmu tersebut sekadar untuk peperiksaan.
Seharusnya ilmu pelajaran yang dipelajari bukan bertujuan untuk mencari pekerjaan, rumah dan kereta besar semata-mata. Tidak sekadar merangkul segulung ijazah, tidak juga memperalatkannya untuk mengambil hati pasangan yang diminati serta membuatkan bakal ibu dan bapa mertua menyukainya.
Seorang sarjana, Seyyed Hossein Nasr (lahir 7 April 1933 di Tehran) pernah meluahkan kebimbangan beliau, dewan kuliah di institusi pendidikan barangkali akan tinggal nama sahaja tanpa memiliki semangat dan visi keintelektualan. Barangkali berbetulan dengan apa yang cuba dimaksudkan Dato' Saifuddin Abdullah, di awal perbincangan kita tadi yang umumnya mahasiswa mengenali beliau sebagai seorang timbalan menteri yang kritis terhadap isu mahasiswa hari ini.
Sebagai pengakhir kalam, kami di MPP GMUKM menyeru rakan-rakan agar sama-sama kita membetulkan kembali pendirian kita terhadap peperiksaan dan hakikat sebenar keintelektualan, kesarjanaan dan pencarian ilmu.Janganlah beranggapan peperiksaan sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Sebaliknya hayati firman Allah Taala dalam surah Ali 'Imran, ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung."
Pesanan ikhlas kami, hanya keikhlasan yang menentukan apakah pendirian sebenar kalian.
Selamat bercuti.
Ber-GM Lebih Baik!