KENYATAAN RASMI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP)
GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM)
GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM)
29 November 2010
MPP Gabungan Mahsiswa UKM (GMUKM) amat prihatin dan memandang berat akan situasi tegang dan kurang senang di Semenanjung Korea ekoran ketegangan yang timbul antara Korea Utara dan Korea Selatan yang kelihatan semakin memuncak selepas tentera Korea Utara membedil pulau Yeonpyeong Sharp pada 23 November lalu dan telah mengakibatkan empat orang terbunuh. Kita mengambil sikap menggesa semua pihak di segenap peringkat antarabangsa yang berauthoriti agar cakna dan prihatin serta berusaha mengelak tindakan yang boleh memburukkan keadaan lagi.
Kita amat bersetuju dengan Datuk Seri Anifah Aman selaku Menteri Luar Malaysia yang menyarankan supaya semua pihak berusaha ke arah langkah membina kembali kepercayaan dan keyakinan ekoran kelihatan dua faktor tersebut langsung tidak wujud di antara pihak-pihak yang bertelagah kini.
Kita di peringkat MPP GMUKM juga berpandangan yang sama dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru negara-negara kuasa besar yang mempunyai kuasa veto di PBB seperti Amerika Syarikat dan China memainkan peranan bagi meredakan keadaan di Semenanjung Korea tersebut. Kedua-dua negara berkenaan jelas mempunyai pengaruh besar yang masing-masing yang boleh membawa kepada usaha memulihkan konflik dan ketegangan di rantau tersebut.
Ini selaras dengan pandangan Wisma Putra yang berpendapat sebarang ketegangan di mana-mana rantau di dunia ini akan turut menjejaskan kemakmuran rantau ASEAN ini ekoran isu keselamatan dunia kini bukan lagi bersikap eksklusif, tetapi jelas adalah masalah inklusif semua negara dunia pada era globalisasi hari ini.
Untuk rekod, insiden ketegangan di antara Korea Utara dan Korea Selatan yang bermula di pulau Yeonpyeong Sharp pada 23 November lalu sehingga kini masih belum selesai. Dikhuatiri ketegangan ini turut akan menyebabkan banyak aktiviti di kedua-dua negara dan negara-negara sekeliling terganggu akibat ketegangan tersebut.
Dikeluarkan Oleh :
Unit Media & Penerangan
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
Gabungan Mahasiswa UKM
http://pm-ukm.blogspot.com