Kerajaan digesa mengkaji semula cadangan untuk membina Menara Warisan bernilai 5 billion yang termuat dalam Pembentangan Bajet 2011 jumaat lalu. Perdana Menteri menjelaskan bahawa menara 100 tingkat itu dirancang dan dicadangkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) kepada kerajaan. Projek tersebut dijangka siap pada tahun 2015.
Projek ini mendapat maklumbalas negatif daripada beberapa pihak dan dianggap sebagai suatu pembaziran.
Terdahulu, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara tersebut oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.
"Banyak kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga Bumiputera dan bukan Bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan”, kata PM lagi.
Pandangan tersebut mendapat reaksi MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail.
“Projek ni untuk siapa sebenarnya? Rakyat mana yang untung? Kontraktor? Yang kaya akan terus kaya kerana dapat projek kerajaan. Selagi terdapat rakyat yang kebulur, tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya, tidak punya rumah dan terpaksa tinggal di ‘reban’, selagi itu Menara Warisan bukan suatu keutamaan, lebih-lebih lagi kita dah ada menara Petronas sebagai mercu tanda”,katanya.
Selain tidak mengutamakan rakyat miskin, kos pembinaan menara tersebut juga dilihat tinggi jika hendak dibandingkan dengan RM2.1 bilion yang diperuntukkan untuk membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“5 billion bukan jumlah yang kecil. Sekiranya dimanfaatkan untuk keperluan rakyat bawahan yang miskin, ia lebih utama. Berapa ramai rakyat miskin yang belum berjaya menjejakkan kaki ke Menara Berkembar Petronas? Mereka bukan mahu menara, mereka mahukan mendapatkan hak mereka daripada ‘pemegang amanah rakyat’ (kerajaan BN) Apa keperluan pembinaan mercu tanda kedua (Menara Warisan) pada masa sekarang?”,ulas MPP Faiz.
Faiz juga menyatakan keperluan bajet tersebut untuk sektor yang lain.
“Kerajaan terlalu berkira untuk memberikan peruntukan kepada sektor pendidikan. Kami di peringkat mahasiswa sudah ‘muak’ menerima alasan ‘kerajaan tiada peruntukan’. Biasiswa KPM sudah tidak ditawarkan, elaun latihan industri tiada, peruntukan untuk aktiviti berpesatuan dihadkan dan macam-macam lagi. Padahal sektor pendidikan merupakan sektor penting dan lebih utama berbanding pembinaan menara tersebut”,ujar beliau.