Jumaat, April 30, 2010

Manfaatkan cuti semester ini


Terlebih dahulu MPP Mahasiswa UKM mengucapkan selamat menjalani cuti semester kepada semua rakan mahasiswa. Semoga melalui cuti yang agak panjang ini akan memberikan motivasi kembali kepada rakan-rakan mahasiswa sekiranya perjalanan semester ini agak kurang memberangsangkan.

MPP Mahasiswa ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk merenung kembali, selama hampir dua bulan sebagai mahasiswa, sejauh mana kita merancang untuk memanfaatkan cuti kita ini? Adakah kita merancang untuk hanya duduk di rumah menonton televisyen, keluar bersama rakan-rakan, atau sekadar makan tidur di rumah. Ingat, " we plan to fail if we fail to plan! "

Sungguh indah kata-kata hikmah Arab, "
Masa itu ibarat pedang. Sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu." Ungkapan ini menerangkan seolah-olah akibat buruk akan menimpa seseorang yang tidak tahu menggunakan masanya. isikanlah masa lapang dengan perkara yang bermanfaat untuk anda pada masa akan datang. Jangan disia-siakan baki cuti yang masih ada.

Masa yang telah berlalu telah menjadi sejarah hidup, masa yang mendatang akan merencanakan hala tuju hidup anda. Sama ada kegembiraan atau tangisan yang akan menemui anda kelak, semuanya bergantung kepada bagaimana anda manfaatkan masa anda.

Allah bersumpah dengan masa dalam Surah al-Asr. Surah ini kita sering baca bila berakhir sesuatu majlis namun isi kandungan diabaikan begitu sahaja. Di dalamnya Allah bersumpah bahawa manusia berada dalam kerugian melainkan empat golongan iaitu orang yang beriman, beramal soleh, golongan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

MPP Mahasiswa ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk sama-sama merencana aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk diri dan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, sebenarnya banyak perkara mahasiswa boleh lakukan umpamanya turun kepada lapangan masyarakat. Sekadar contoh,para mahasiswa boleh menyertai program persatuan belia, atau menjadi fasilitator dan urusetia bagi program remaja merupakan peluang yang sangat lumayan untuk berinteraksi dengan masyarakat. Lebih menarik lagi sekiranya dapat menyertai program operasi khidmat masyarakat, atau membantu masyarakat yang kesusahan akibat banjir.

Di akhir kalam , ingin dibawakan sabda Rasulullah SAW yang bertepatan dengan pengurusan masa ini iaitu ;

"Dua nikmat yang dipersia-siakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan MASA YANG TERLUANG."( Riwayat Imam al-Bukhari )

Memang benar dan tepat sabdaan Nabi saw. Masa sihat dan waktu lapang dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah penyakit manusia pada masa kini. Dengan cabaran kehidupan yang semakin mencabar, ada di kalangan kita yang tidak pernah berusaha untuk memajukan diri berbanding dengan rakan-rakan ain. Terdapat rakan-rakan apabila ditanya apa yang dilakukan sepanjang cuti dengan selamba sahaja dia menjawab tidak buat apa-apa. Hanya baca novel, menonton tv dan lepak-lepak.


Harus diingatkan, masa depan anda untuk menggapai kejayaan yang cemerlang dan gemilang bermula dari sekarang. Masa sentiasa berjalan, masa tidak pernah berehat dan masa tidak pernah menunggu kita. Sama ada kegembiraan atau tangisan yang akan menemui anda kelak, semuanya bergantung kepada bagaimana anda manfaatkan masa anda. Ingat ! Masa adalah masa depan anda. MANFAATKAN MASA ANDA!