Jumaat, April 30, 2010

RENCANA : kerja sambilan tampung kos sara hidup tinggi

pix_gal0


MAHASISWA yang mendapat pembiayaan kerajaan atau swasta melalui biasiswa dan pinjaman, biasanya menarik nafas lega apabila melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Namun, ada juga mahasiswa yang tidak memperoleh sebarang pembiayaan atau pembiayaan tidak mencukupi, sehinggakan ada yang terpaksa berkerja sambilan bagi menampung keperluan ketika di kampus.

Lantas untuk memastikan kelangsungan hidup dan meneruskan pengajian mereka, ramai yang melakukan kerja sambilan seperti membaiki motosikal, komputer, bekerja sambilan di restoran makanan segera atau berniaga di pasar malam. Walaupun pendapatan diraih mereka tidak sebesar mana, namun ia sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup mereka.
Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Shukery Mohamed, berkata fenomena pelajar membuat kerja sambilan ini bukan perkara baru dan tidak menjadikan pelajar berkenaan mengabaikan pengajian mereka asal saja pandai membahagikan masa.
“Kerja sambilan dibuat pelajar ini ada yang disebabkan tidak mendapat pinjaman atau biasiswa dan mungkin akibat desakan kos sara hidup yang tinggi. Tidak semua pelajar yang buat kerja sambilan itu tidak mendapat pinjaman, tetapi mungkin atas sebab ingin mencari duit tambahan untuk membeli barangan keperluan lain seperti telefon bimbit atau pakaian berjenama.

“Jumlah pelajar yang tidak menerima pembiayaan kerajaan atau swasta tidak ramai sebenarnya. Jadi, mungkin ada faktor lain yang menyebabkan mereka terus membuat kerja sambilan ini. Ada pelajar yang mengakui ada kemahiran membaiki komputer dan motosikal misalnya, jadi mereka menawarkan perkhidmatan itu di kalangan kenalan rapat saja dan boleh mengisi duit poket mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, pelajar di IPTA atau IPTS tidak boleh dihalang untuk membuat kerja sampingan asalkan pekerjaan itu tidak menjejaskan nama IPTA dan IPTS serta tidak mengganggu prestasi pengajian mereka.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk pelajar mencari duit tambahan dan biasanya pelajar turut digalakkan membuat kerja sambilan pada musim cuti semester untuk mengisi masa terluang itu daripada dibazirkan dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
“Macam-macam kerja boleh pelajar lakukan sebenarnya. Paling popular dan menjadi pilihan pelajar ialah kerja sambilan di restoran makanan segera, tetapi itu untuk latihan awal saja dan selebihnya mereka perlu mencari kerja sambilan yang lebih hampir dengan bidang kursus pengajian diikuti.

“Paling mengecewakan, ada juga pelajar yang dikatakan membuat kerja sambilan yang kurang sesuai iaitu menjadi pelayan perhubungan pelanggan (GRO), perkara ini saya tidak pasti kebenarannya. Cuma, setakat ini ia hanya dakwaan dilemparkan sesetengah pihak dan belum dibuktikan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua, Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Nur Fakhruddin Hassan, berkata kos sara hidup yang tinggi di bandar besar seperti Kuala Lumpur tidak memberi banyak pilihan kepada pelajar yang tidak mendapat pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Mara atau lain-lain biasiswa membuatkan mereka perlu membuat kerja sambilan.

“Kebanyakan IPTA dan IPTS ini berada di ibu negara, ini jelas memberikan tekanan dari aspek kos sara hidup kepada pelajar itu sendiri. Mereka yang memperoleh pinjaman pengajian PTPTN atau Mara juga tidak terlepas daripada mengalami kekangan perbelanjaan, apatah lagi bagi pelajar yang langsung tidak mendapat dana seperti ini.

“Ada rakan saya yang memiliki kemahiran membaiki motosikal dan komputer menawarkan perkhidmatan ini kepada rakan pelajar lain. Perkhidmatan ini pun pada awalnya lebih kepada membantu rakan-rakan saja, namun selepas beberapa ketika, pelajar berkenaan menawarkan perkhidmatan itu sebagai punca pendapatan sampingan mereka untuk menampung kos pengajian,” katanya, ditemui ketika membaiki motosikal rakannya yang rosak, baru-baru ini.

Pendapat Nur Fakhruddin itu turut dipersetujui rakannya, Mohammad Hanif Napi yang mengakui kos sara hidup yang tinggi di ibu negara memaksa sesetengah pelajar membuat kerja sambilan.

Katanya, dana pinjaman disediakan PTPTN diakui tidak mencukupi untuk menampung pengajian mereka sepanjang berada di IPTA.

“Jumlah pinjaman diberikan PTPTN adalah untuk membayar yuran pengajian saja. Jadi, baki untuk pelajar gunakan untuk menampung kehidupan harian tidak banyak. Adakalanya, pelajar perlu juga mengikat perut dan ini boleh memberikan masalah kesihatan.

“Jadi, kebanyakan pelajar perlu mencari sumber pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan mereka. Pihak IPTA juga ada menyediakan bantuan namun tidak semua pelajar yang mendapatnya. Sama ada suka atau tidak, mereka perlu dapatkan sumber pendapatan sampingan untuk memastikan pengajian mereka tidak terjejas,” katanya.