BANGI, UKM : Berikutan pengumuman kerajaan untuk menaikkan tambang pengangkutan awam, Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) hari ini membantah cadangan tersebut memandangkan krisis ekonomi yang melanda masih belum lagi pulih sepenuhnya. MPP Umumnya,Hisyamuddin Che Ali ketika dihubungi memberitahu, apa pun alasan kerajaan, tambang pengangkutan awam tidak perlu dinaikkan dalam suasana ekonomi yang menguncup sekarang. “ Apa relevannyanya kerajaan menyokong para pengusaha untuk menaikkan tambang pengangkutan awam?" “ Dalam ekonomi yang menguncup, kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri, bahawa rakyat perlu didahulukan,” katanya
Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mohamad Nazri Aziz yang berkata bahawa kadar tambang baru bas ekspres telah dinaikkan 2 sen menjadi 8 sen bagi setiap kilometer, manakala tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur akan dinaikkan 25 sen hingga 70 sen mengikut zon-zon tertentu. Malahan, Kerajaan dilaporkan bersetuju pada dasarnya memberi kenaikan tambang teksi bagi satu kilometer pertama dinaikkan dari RM2 kepada RM3 mulai 1 Ogos. Caj tambahan 50 peratus bagi perkhidmatan selepas 12 tengah malam masih dikekalkan tetapi ia dihitung sewaktu penumpang turun, bukan sewaktu memasuki teksi.
Selain itu, kadar tambang bas sekolah berhawa dingin dibenarkan naik sehingga 30 peratus bermula tarikh yang sama, katanya. Di kawasan bandar, kenaikan tambang dari RM21.10 ke RM27.43 bagi satu kilometer, dan dari RM1.55 ke RM2.02 bagi setiap satu kilometer tambahan.“ Inilah satu kesusahan baru buat mahasiswa dan rakyat jelata yang telah terbeban selama ini dengan kos harga barang yang naik mendadak sejak inflasi melanda negara ini” “ Adakah ini satu keadilan buat saya yang menaiki bas ekspres dari Terengganu ke Kajang, terpaksa membelanjakan wang kira-kira RM 57.20 untuk perjalanan satu hala sedangkan dahulu, harganya adalah RM 42.90 sahaja,” ujarnya.
Hisyamuddin, menegaskan agar menjadi tanggungjawab kerajaan menyerap apa jua kos yang timbul dalam pengangkutan awam dengan memberikan pengecualian dan insentif yang sesuai. Dalam hubungan ini katanya, kerajaan perlu mencari mekanisme untuk membantu syarikat bas tersebut daripada terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan alat ganti kenderaan yang semakin mahal. ''Kerajaan kita tidak memberi bantuan dan subsidi sebanyak yang diberikan oleh kerajaan di negara-negara maju kepada syarikat pengendali bas dan pengangkutan awam,'' jelasnya.
Hisyamuddin menambah, kerajaan sepatutnya memberikan subsidi minyak ataupun pengecualian cukai kepada pengusaha syarikat bas tanpa had dan ini membolehkan syarikat tersebut dapat menyerap kenaikan kos yang diuar-uarkan oleh mereka itu sejak musim perayaan yang lalu. Tambahnya lagi bahawa tindakan beliau membantah kenaikan tambang bukannya bersifat anti kerajaan, tetapi lebih membantu kerajaan dalam menyuarakan pandangan golongan bawahan terhadap pengumuman terbaru ini.