Sabtu, September 06, 2014

MAKLUMAN LANJUT MENGENAI SEKATAN PENDAFTARAN SEMESTER BAGI PELAJAR YANG BELUM MENJELASKAN YURAN PENGAJIAN


6 September 2014, UKM Bangi - Mengikut peraturan Universiti, pelajar dikehendaki menjelaskan semua yuran dalam tempoh satu(1) bulan selepas tarikh pendaftaran. Walaubagaimanpun, peraturan ini tidak diketatkan pada semester-semester sebelum ini. Pelajar dibenarkan membuat pendaftaran pada semester berikutnya dan hanya disekat untuk membuat semakan keputusan peperiksaan semester. 


Berdasarkan hebahan daripada Bahagian Pengurusan Kewangan Pelajaran UKM mengenai sekatan pendaftaran ini dilihat telah membebankan pelajar. Mereka tidak mampu menjelaskan yuran mengikut tempoh syarat yang telah ditetapkan seperti yang termaktub dalam peraturan universiti. Daripada aduan pelajar yang PMUKM terima, terdapat 3 faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini. Antaranya :



1) Pelajar terpaksa menanggung keluarga yang susah walaupun menerima pembiayaan PTPTN
2) Kemasukan pembiayaan PTPTN yang tidak teratur disebabkan penagguhan semester
3) Kesukaran untuk mendapatkan bantuan seperti zakat UKM



Pada 4 September yang lalu, saya telah berjumpa dengan Encik Isman Bin Hamad, Pegawai Kewangan W41, Bahagian Pengurusan Kewangan Pelajar untuk mendapatkan makluman yang jelas mengenai sekatan pendaftaran ini supaya tidak timbul persoalan yang tidak jelas daripada kalangan pelajar dan berharap segala kesulitan yang dihadapi pelajar dapat diselesaikan. Hasil perbincangan dan maklum balas beliau mengenai hal ini telah saya ringkaskan seperti di bawah : 



1) Pihak Bendahari telah mengeluarkan notis pembayaran yuran dari semasa ke semasa dan ini bermakna pelajar telah sedia maklum dari awal lagi mengenai notis ini dan perlu mengambil perhatian serta tindakan awal yang sepatutnya untuk menjelaskan yuran. Bagi peminjam PTPTN, untuk sesi kali ini pihak bendahari telah meminta kelulusan daripada PTPTN untuk mengkreditkan pembiayaan PTPTN pelajar walaupun pelajar tidak membuat pengesahan pendaftaran awal kursus (juga yang tidak menjelaskan hutang yuran). Berbeza dengan semester-semester sebelum ini dimana pembiayaan PTPTN akan dikreditkan lewat jika pelajar lewat membuat pengesahan pendaftaran awal kursus. Hutang pelajar pada semester sebelum pula ini telah ditolak ‘siap-siap’daripada pembiayaan PTPTN semester 1 sesi 2014/2015. Jumlah tolakan hutang daripada pembiayaan PTPTN bergantung kepada jumlah hutang pelajar. Jika hutang pelajar melebihi daripada jumlah pembiayaan PTPTN untuk setiap semester, UKM tidak akan membuat tolakan melebihi daripada pembiayaan tersebut. Jika hutang yang ditolak telah selesai, pelajar dibenarkan untuk membuat pendaftaran kursus (pada 8 SEPTEMBER 2014 di Pusat Pengurusan Akademik di lingkungan kedua). Jika masih tidak selesai, pelajar perlu menjelaskan yuran yang tertunggak dahulu. Untuk mengetahui status kewangan pelajar, anda boleh membuat semakan di portal e-kewangan pelajar ATAU boleh menghubungi/pergi ke kaunter Jabatan Bendahari Pelajar. 



2) Bagi pelajar yang menerima pembiayaan PTPTN dan membuat penangguhan semester, anda perlu mengisi borang penangguhan semester di Unit Kebajikan Pelajar UKM terlebih dahulu bagi memastikan status pendaftaran pengajian anda dapat dimaklumkan kepada PTPTN. Dengan ini, masalah kemasukan pembiayaan PTPTN pada setiap semester tidak akan timbul. 



3) Bagi pelajar yang berlatar belakang daripada keluarga yang susah, anda boleh membuat permohonan bantuan zakat ukm. Tetapi pelajar perlu sedia maklum bahawa pelajar yang telah mendapat pembiayaan PTPTN atau mana-mana tajaan pengajian kebiasaanya sukar untuk mendapatkan bantuan zakat jika mereka memohon BANTUAN YURAN PENGAJIAN di zakat ukm. Pelajar yang ingin membuat permohonan zakat atas faktor KOS SARA HIDUP, akan dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, pelajar boleh terus ke Unit Zakat UKM untuk mengetahui makluman lanjut. Pelajar boleh membuat permohonan bantuan zakat bagi sesi 1 2014/2015 dengan memuat turun borang permohonan zakat di http://www.ukm.my/bendahari dan membuat permohonan bermula pada 8 SEPTEMBER 2014. 





Nurul Syifa' Bt Mohd Shukri
MPP Fakulti Sains Teknologi Tahun 1/2
Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial PMUKM Sesi 2013/2014
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::