Jumaat, September 12, 2014

SISTEM PINTU BERPALANG DI KKM TIDAK RELEVAN, PMUKM TUNTUT TANGGUH PERLAKSANAAN

12 September 2014, UKM Bangi - Merujuk kepada surat makluman UKM2.10/237/2, pihak pengurusan Kolej Keris Mas (KKM) yang diterajui oleh Prof Madya Dr. Muhammad Hussin telah mengisytiharkan untuk melaksanakan sistem pintu berpalang di jalan masuk ke kompleks pentadbiran KKM. Berdasarkan surat tersebut, setelah sistemsiap dipasang KESEMUA pakir yang wujud di kolej tersebut akan dikenakan bayaran dan pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang aktif sahaja. Tambahan lagi sistem ini bertujuan untuk membantu Bomba dan Ambulan ketika kecemasan di samping membantu kerja-kerja mengutip sampah.




PMUKM dengan rasminya menolak pemasangan sistem tersebut dan menuntut untuk ditangguhkan perlaksanaannya. Penolakan PMUKM terhadap sistem tersebut atas beberapa sebab:

i. Bayaran untuk pakir yang tidak relevan, sungguhpun kadar pakir belum dikeluarkan bayaran yang dikenakan tidak munasabah kerana mahasiswa/i di KKM merupakan antara pembayar yuran kolej (untuk bilik sahaja tidak termasuk elektrik dan cas-cas lain) TERMAHAL di UKM Bangi, iaitu RM 600 atau lebih berbanding kolej lain pada kadar RM300-400 sahaja.

ii. Sistem merit iaitu “penilaian pelajar yang aktif” tidak mempunyai sebarang indikator tetap yang bersifat telus dan adil. UKM sebelum ini pernah melaksanakan sistem demikian, hasilnya ramai mahasiswa/i yang dibuang kolej kerana PENGETUA tidak menyukai aktiviti yang disertai oleh mahasiswa/i tersebut. Sistem ini terbukti GAGAL dan telah dimansuhkan pada Tahun 2012. Mengapakah pihak pentadbiran KKM masih berkehendak pada KEGAGALAN ini?

iii. Alasan membantu Bomba, Ambulan dan kerja pengutipan sampah yang tidak logik. KKM merupakan kolej yang paling terjejas dengan permasalahan air. Hanya lori membawa air sahaja yang pernah mengadu tentang kemasukan ke kolej yang sukar. Namun, setelah dimaklumkan kepada pelajar lori tersebut akhirnya berjaya untuk menghantar bekalan air. PMUKM menyifatkan pentadbiran KKM tidak mengetahui isu pokok dan menggunakan alasan picisan untuk mendapat jalan selamat.

Justeru, kami menuntut untuk sistem ini ditangguhkan dan perbincangan yang konstruktif di antara PMUKM, Majlis Eksekutif Pelajar KKM dan pihak pentadbiran KKM dapat dijalankan dengan kadar yang segera. Kami ingin mengelakkan pentadbiran KKM dipandang sebagai “PERAGUT” mahasiswa/i UKM. Kami berpendapat sekiranya perkhidmatan yang diberikan pada tahap yang memuaskan maka perkhidmatan tersebut layak untuk dibayar pada nilai yang secukupnya. Janganlah mengharapkan bayaran seperti hotel lima bintang sedangkan yang disediakan hanyalah sebuah kontena kosong yang menggelikan.




Muhammad Sallehudin Bin Khalid
MPP Umum Tahun 3/4
Naib Yang Dipertua PMUKM Sesi 13/14





::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti ::