Jumaat, Julai 15, 2011

Lawatan Kebajikan PMUKM ke Kelantan

Pada 1 hingga 3 Julai 2011 yang lalu, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) yang diwakili oleh MPP Nurazidah Binti Mashan selaku Bendahari Kehormat PMUKM dan MPP Nurul Akma Binti Zulkiflie selaku Biro Kebajikan dan Aduan PMUKM telah mengadakan satu lawatan kebajikan bersama Puan Ruslinah dan Encik Azrin dari Unit Kebajikan Pelajar (UKP) ke Kelantan. Lawatan ini diadakan bagi menziarahi dua orang pelajar UKM di sana yang sedang sakit iaitu saudari Nor Syamimi binti Mohd dan saudari Maisarah Binti MD Ghazali.

Ziarah yang pertama telah dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk melawat saudari Nor Syamimi Binti Mohd, pelajar tahun 2 Fakulti Pengajian Islam yang sedang terlantar akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya bersama adiknya sewaktu perkahwinan abang beliau. Saudari Nor Syamimi mengalami kecederaan parah dari bahagian paha hingga kaki. Semasa lawatan dibuat, doktor memaklumkan bahawa beliau sedang menunggu untuk menjalani pembedahan. MPP Azidah bersama pihak UKP telah menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban Syamimi.



Seterusnya, lawatan kedua telah dijalankan di Machang, Kelantan bagi menziarahi Saudari Maisarah Binti MD Ghazali, pelajar Fakulti Pengajian Islam tahun 3 di rumahnya bagi menyerahkan Guarantee Letter (GL) untuk beliau menjalani pembedahan mengeluarkan besi di kakinya akibat kemalangan ngeri yang menimpa tahun lepas. Sedikit buah tangan telah diberikan kepada Saudari Maisarah.



Kami di barisan kepimpinan PMUKM 10/11 dan seluruh warga kampus mendoakan agar Saudari Syamimi dan Saudari Maisarah  bertambah baik dan beransur sembuh serta kembali bersemangat meneruskan pengajian dan menuntut ilmu Allah di bumi UKM ini.

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~