KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kira-kira 24 tahun lepas, bumi  Ukraine, ketika itu di bawah Kesatuan Soviet, dikejutkan dengan insiden  letupan yang berlaku di loji janakuasa nuklear Chernobyl akibat  kegagalan reaktor keempatnya.
 Insiden yang berlaku pada 26 April 1986 itu menyebabkan kepulan asap  radioaktif memasuki ruang udara sebelum menyelubungi kawasan berdekatan,  termasuk di bandar Pripyat.
 Asap dan debu radioaktif itu kemudian bergerak meliputi sebahagian  kawasan barat Kesatuan Soviet dan sebahagian kawasan timur, barat dan  utara Eropah, memaksa lebih 336,000 penduduk Ukraine, Belarus dan Rusia  dipindahkan.
 Dilaporkan beribu-ribu nyawa terkorban ekoran insiden itu, akibat  terdedah kepada radiasi dan kemudian ramai lagi mati disebabkan kanser  dan komplikasi lain.
 Begitulah dahsyatnya risiko membabitkan insiden loji janakuasa nuklear.
 Sehingga hari ini, Chernobyl diklasifikasikan sebagai tragedi terburuk  dalam sejarah peradaban manusia sejagat dan merupakan satu-satunya  insiden tahap ketujuh dalam "International Nuclear Event Scale".
 Rentetan daripada fakta sejarah itu, tidak hairanlah kenapa sebilangan  besar rakyat, individu atau badan bukan kerajaan (NGO), memberikan  reaksi pelbagai mengenai cadangan pembinaan janakuasa nuklear pertama di  negara ini pada 2021. 
KRISIS TENAGA Persoalan pokok yang menjadi perhatian ialah adakah loji janakuasa  nuklear yang akan dibina itu selamat dan bagaimana sisa buangan  radioaktifnya diuruskan?
 Beberapa saintis merumuskan opsyen nuklear sebagai sumber tenaga  elektrik pasca 2020 tidak boleh ditolak selepas negara diramalkan  mengalami krisis tenaga jika masih bergantung kepada sumber fosil yang  semakin menyusut.
 Hakikatnya, teknologi nuklear bukanlah perkara asing kepada Malaysia  kerana negara ini mempunyai reaktor nuklear, Reaktor Triga Puspati (RTP)  yang  beroperasi sejak 1982 bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan  dalam bidang perubatan, pertanian dan kajian neutron.
 Malaysia juga dikatakan mempunyai jumlah pakar nuklear tertinggi di  rantau Asia Tenggara dengan kebanyakannya bertugas di Agensi Nuklear  Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi  Nuklear Malaysia (MINT).
 Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad meramalkan keperluan  kepada sumber tenaga alternatif bagi menjana elektrik semakin kritikal  menjelang 2019 selepas sumber fosil khususnya gas semakin menyusut dan  tidak lestari.
 Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin pada 4  Mei lepas mengumumkan kerajaan berhasrat meneruskan projek nuklear yang  pernah ditangguhkan pada 1970-an bagi menampung permintaan tenaga yang  semakin meningkat ekoran peningkatan populasi dan kepesatan ekonomi. 
SYARAT KETAT ANTARABANGSA Loji janakuasa nuklear yang dicadang dibina pada 2021 dengan anggaran  kos RM9.75 billon mempunyai jangka hayat 50 hingga 70 tahun.
 Saintis Jabatan Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof  Datuk Dr Sukiman Sarmani berkata pembinaan loji janakuasa nuklear itu  tertakluk kepada syarat ketat International Atomic Energy Agency (IAEA)  bagi memastikan pembinaannya mengikut spesifikasi keselamatan  ditetapkan.
 Beliau berkata pembinaannya juga memerlukan persediaan awal,  sekurang-kurangnya 10 tahun, bagi memastikan aspek keselamatan, sumber  manusia dan lokasinya diperincikan selain pembinaannya juga memakan masa  yang lama.
 "Reaktor yang akan kita bina ialah rektor generasi ketiga... Ia tidak  sama seperti reaktor generasi pertama pada zaman 70-an, termasuk di  Chernobyl.
 "Reaktor generasi ketiga lebih selamat dan kurang campur tangan  menusia," kata Prof Sukiman kepada Bernama menjelaskan insiden di  Chernobyl berlaku disebabkan kesilapan manusia dan bukannya teknologi  terbabit.
 Secara ringkasnya, janakuasa nuklear akan menggunakan uranium dalam  bentuk isotop untuk menghasilkan haba yang banyak daripada beberapa siri  tindak balas sebelum haba itu digunakan untuk memutarkan turbin  menghasilkan elektrik. 
SUMBER TENAGA ALTERNATIF Ketika ini, lebih 80 peratus daripada penjanaan elektrik negara  bergantung kepada sumber konvensional fosil iaitu gas (60 peratus) dan  arang batu (24 peratus) dengan selebihnya dijana daripada hidro dan  biomas.
 Ini bermakna sumber tenaga alternatif untuk menjana elektrik masih  rapuh dengan sebahagian besarnya bergantung kepada bahan api fosil yang  tidak lestari dan tidak mesra alam.
 Keadaan ini bertentangan dengan hasrat Malaysia yang mahu bergerak ke  arah ekonomi karbon-rendah bagi menangani perubahan iklim dunia akibat  pembebasan karbon dioksida, antara lain, melalui pembakaran bahan api  fosil.
 Malaysia juga menetapkan sasaran mengurangkan 40 peratus emisi  karbonnya dan komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Tun Razak pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai  Perubahan Iklim di Copenhangen, Denmark, pada akhir tahun lepas.
 Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini dilaporkan berkata,  jika projek janakuasa nuklear itu dimuktamadkan, Malaysia akan  menggunakan teknologi nuklear dari Korea Selatan, China, Perancis atau  Jepun. 
KOS YANG KOMPETITIF Jika projek opsyen nuklear itu diteruskan, seorang pakar tenaga boleh  diperbaharui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Dr Mohamad Yusof  Sulaiman mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan "Pressurised  Water Reaktor" (PWR) berbanding "Boiling Water Reactor".
 "Kedua-duanya ialah rektor generasi ketiga tetapi PWR lebih selamat,"  kata Yusof sebelum ini mencadangkan teknologi kuasa angin "offshore"  dikaji sebagai sumber tenaga alternatif sebelum opsyen nuklear  digunakan.
 Profesor Kejuruteraan Kimia Prof Dr Hamdani Saidi berkata antara  kelebihan nuklear ialah ia tidak membebaskan gas rumah hijau dan  mengeluarkan tenaga yang tinggi (bermakna lebih banyak elektrik dijana)  berbanding sumber tenaga lain.
 "Kosnya juga lebih kompetitif berbanding bahan api fosil," kata Hamdani  yang juga Pengarah Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia  (UTM) Kuala Lumpur.
 Media pada Jun 2008 melaporkan terdapat tarikan untuk menggunakan  tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik memandangkan kosnya hanya  USD1.72 per kilo watt berbanding USD9.63 menggunakan petroluem dan  USD6.75 bagi gas.
 Hamdani bagaimanapun mengakui kos permulaan bagi pembinaan janakuasa  nuklear agak tinggi. 
PENGURUSAN SISA Selain aspek keselamatan loji janakuasa nuklear, antara perkara yang  menjadi kebimbangan sebahagian besar masyarakat ialah mengenai  pengurusan sisa bahan radioaktif yang dihasilkan.
 Isu yang sama mendapat perhatian beberapa NGO antaranya Centre for  Environment, Technology and Development yang dilaporkan berkata  pembinaan janakuasa nuklear itu mendatangkan risiko melalui pembuangan  sisa radioaktifnya.
 Tidak dinafikan sememangnya terdapat perkembangan dalam teknologi  penyimpanan sisa radioaktif, namun pihak berwajib misalnya Agensi  Nuklear Malaysia perlu memberi penerangan yang telus mengenai perkara  ini.
 Ini bagi memastikan insiden membabitkan rare earth processing plant di  Bukit Merah, Ipoh, yang mendapat tentangan ramai pihak pada pertengahan  1980-an tidak berulang lagi.
 Dalam insiden itu, rare earth processing plant milik syarikat Asian  Rare Earth (ARE) yang mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi)  daripada monazit ditutup pada Januari 1994 selepas didakwa, antara lain,  tidak menepati standard penyimpanan sisa buangan radioaktif.
 Dalam hal ini, pihak terbabit termasuk kerajaan harus sedar dalam  memenuhi keperluan bekalan tenaga untuk memacu ekonomi negara, aspek  keselamatan rakyat dan kelangsungan alam sekitar tidak boleh  diperjudikan dengan kajian mendalam perlu dilakukan.
 Apa yang penting, pertimbangan untuk meneruskan opsyen nuklear perlu  berlandaskan kepada pelbagai faktor dengan memastikan negara benar-benar  berkeupayaan menguruskan sebuah loji nuklear dengan efisyen dan selamat  bagi mengelak insiden seperti di Chernobyl berlaku di sini.
 -- 
BERNAMABernama menyiarkan dua artikel mengenai tenaga nuklear hari ini  berikutan pengumuman Malaysia merancang membina janakuasa nuklear  pertama menjelang 2021.