31 Ogos 2014, UKM Bangi - Satu pertemuan di antara PMUKM dan Pemudah Cara (PC) UKM berjaya diadakan bertempat di Bilik PMUKM. Perjumpaan tersebut hanyalah bertujuan untuk memastikan pihak PMUKM mengetahui dengan lebih jelas tentang perjalanan Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) dan sebagi medium kepada pihak PMUKM untuk memberikan syor ataupun cadangan. Wakil PC UKM hadir ialah Timbalan Ketua PC UKM iaitu Saudara Akim Shahbudin, beliau menggantikan saudara Izwan Salleh yang tidak dapat hadir disebabkan tugasan yang perlu diselesaikan.
Beberapa perkara yang dapat dijelaskan ialah, berkenaan dengan program-program yang bakal di jalankan di dalam kampus seperti berikut:
· Kenapa saya di UKM
· Malam Ramah Mesra
· Di sini lahirnya sebuah cinta
· Mencari Bintang
· Tautan Ukhwah
· Malam kreativiti
· Apresiasi Aspirasi
Program-program yang bakal dijalankan adalah berdasarkan kepada TEMA yang diberikan oleh NC UKM dan terpulang kepada pihak kolej dan PC kolej untuk menjalankannya sesuai dengan kreativiti masing-masing. Program yang dijalankan pula mestilah berlandaskan 6 KRA UKM iaitu:
· Graduan beridentiti nasional, berkompeten dan berdaya inovasi
· Penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi
· Perhubungan strategik dan perkongsian pintar
· Tenaga kerja kompeten dan inovatif
· Penjanaan kekayaan strategik dan intensif
· Prasarana Ilmu yang kondusif
Sebagai contoh bagi program Apresiasi Aspirasi di Kolej Rahim Kajai, pihak kolej akan memanggil para alumni untuk berkongsi pengalaman mereka sepanjang di UKM. Sesi “Guardian of The Nation” adalah slot yang bakal dijalankan oleh NC UKM dan akan menyaksikan penglibatan pihak pentadbiran UKM di tahap yang maksimum. Bagi slot Pelancaran UKM 1M4U dan UKM 4 Bangi melibatkan aktiviti yang pelbagai, dikhabarkan bahawa 7 bas akan disediakan untuk ke luar kampus untuk melawat Kelab Rukun Tetangga di Bangi seterusnya aktiviti seperti khidmat siswa akan dijalankan.
PC PUSAT UKM juga telah memaklumkan bahawa jadual yang diberikan adalah menjadi rujukan yang diberikan kepada para PC Kolej. Mereka juga sedia maklum bahawa selewat-lewatnya pada pukul 11.00 malam program perlu ditamatkan seperti mana permintaan TNC HEPA, Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal. Tambahan wakil PC lagi, mereka akan menggunakan kuasa yang diberikan untuk mengarah sebarang aktiviti lewat yang telah mendapat kebenaran pengetua untuk diberhentikan agar para pelajar boleh bersedia untuk tidur pada jam 12.00 malam.
Justeru, pihak PMUKM ingin mendapatkan beberapa kepastian daripada pihak PC atas perkara tersebut:
1. Hebahan/ajakan untuk menyertai program-program kendalian kolej ataupun sebagai Ajk MEP
PMUKM telah berbincang bersama NC UKM, dan melalui perbincangan tersebut, kami mendapat persetujuan bahawa tidak ada mana-mana persatuan, program yang dibenarkan dihebahkan dan tidak ada sesi “rekrut” melainkan untuk badan-badan beruniform. Wakil PC menjelaskan bahawa semua PC telah maklum, termasuk MEP yang menjadi PC. Kami mengharapkan agar persetujuan ini dihormati kerana turut dipersetujui oleh TNC HEPA.
2. Perang DECTAR
Wakil PC menerangkan bahawa mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghalang terjadinya perang DECTAR lantaran persediaan bagi program yang mendatang dan urusan bas juga telah ditetapkan. PMUKM menjelaskan bahawa sekiranya Perang Dectar terjadi perkara tersebut mesti dipatuhi:
· Tidak ada paksaan, sesiapa yang tidak mahu menyertai perang DECTAR diberikan kebebasan.
· Tidak ada sebarang latihan Cheers melebihi waktu yang telah ditetapkan, latihan mestilah dalam ruang waktu seperti yang ditetapkan dalam jadual, termasuk waktu-waktu alternatif yang dijelaskan sebelum ini. Sekiranya berlaku dan terdapat laporan, PMUKM mengklasifikasikan perkara tersebut sebagai satu bentuk “ragging” atau buli, dan PMUKM akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara tersebut di bawah kesalahan Tatatertib Pelajar UKM serta berdasarkan rujukan UKM3.3.8/5/3 Jld 11 dan keputusan persidangan Naib Canselor ke-22 pada 21.7.1989.
· PERANG DECTAR lebih baik tidak dijalankan langsung.
3. Program-program di kolej dan sepanjang MMM
Program-program mestilah bebas daripada sebarang hebahan berkenaan ASPIRASI dan bebas dari cubaan memburukkan GMUKM. PC memaklumkan, pada kali ini mereka akan berusaha untuk memenuhi kehendak NC dan tidak akan melibatkan unsur-unsur tersebut dalam MMM sesi kali ini.
4. Solat dan Ceramah/tazkirah
Kami memohon agar waktu solat dipatuhi dan menjadi tanggungjawab untuk PC untuk memastikan demikian. PC memaklumkan bahawa, kelonggaran akan diberikan untuk memastikan kesempurnaan perlaksanaan solat. PMUKM juga memberitahu bahawa, sekiranya sesi ceramah/tazkirah kekurangan penceramah berkebolehan, ISIUKM sedia untuk membantu.
Akhir sekali PC memaklumkan bahawa rujukan berkenaan kebenaran untuk PMUKM berada di MMM boleh ditujukan kepada Cik Njawa dan Encik Zaili di Pusat Khidmat Siswa. PC juga mengesahkan bahawa sehingga ke perjumpaan kami tadi, tentatif itu telah solid dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dan PMUKM boleh merujuk kepada beliau.
Pihak PMUKM sangat bebesar hati dengan keterbukaan daripada PC UKM kerana sudi berjumpa dan mendengar syor-syor daripada pihak kami. Kami akan memberikan sepenuhnya kerjasama dan kepercayaan kepada PC UKM untuk memastikan kelancaran MMM selagi mana perkara-perkara yang kita bincangkan semasa sesi pertemuan ini dihormati, dan kami meyakini pihak PC mampu untuk berbuat demikian.
1 September : Saudara Izwan Salleh ke pejabat PMUKM untuk mempersetujui isu yang telah dibincangkan. |
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::