Jumaat, April 18, 2014

SIMPOSIUM JEBAT : SATU PERMULAAN MELAHIRKAN MAHASISWA KRITIS

18 April 2014, UKM Bangi - Pihak PMUKM berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan mahasiswa/i UKM dalam menganjurkan program yang mampu mewujudkan suasana keilmuan di dalam UKM.

PMUKM sendiri telah mengadakan beberapa siri Suara Kampus yang menjadi platform perbincangan golongan cendekiawan. Selain itu, Tsunami Buku Jalanan yang bakal berlangsung pada 30 April 2014 nanti, akan menjadi medan berkumpulnya golongan muda yang bakal mengupas secara kritis tentang ilmu daripada pelbagai genre buku. 

Salah satu paksi pembawakan PMUKM pada sesi 2013/2014 adalah keintelektualan dengan meletakkan fakulti sebagai pusat kegiatan kecemerlangan. PMUKM berusaha bekerjasama dengan persatuan mahasiswa fakulti dan kelab-kelab pengajian dalam menjalankan program berorientasikan akademik dan wacana ilmu. Penganjuran Simposium seperti ini merupakan salah satu langkah mewujudkan mahasiswa/I UKM yang mampu melontarkan idea-idea dalam ruang disiplin ilmu masing-masing. Apa yang lebih penting, usaha murni ini merupakan salah satu langkah mahasiswa bagi menyelesaikan masalah-masalah dan isu yang berlegar di sekitar masyarakat. 

Harapannya, agar simposium yang dijalankan ini dapat mewujudkan persepakatan dan jalinan kerjasama di antara mahasiswa/i dari UKM dan Universti yang terlibat. Simposium ini bakal menjadi saksi bahawa mahasiswa/i pada hari ini sudah matang dan mampu berbicara secara rasional tentang isu-isu semasa. Tidak mustahil jika setiap kertas kerja yang dibentangkan oleh mahasiswa/i sepanjang simposium ini berlangsung akan menjadi rujukan ahli politik, pembuat dasar dan mahasiwa/i negara luar. Simposium ini akan menjadi lakaran baru bidang pendidikan dalam melahirkan golongan pemikir muda negara. Justeru itu, PMUKM akan sentiasa mendokong dan meletakkan keutamaan dalam membantu usaha mahasiswa/i untuk menganjurkan lebih banyak program yang bercorakkan keilmuan, kepimpinan mahasiswa dan berimpak tinggi seperti yang dijalankan oleh PESEPSI.








Mustapha Kamil Husen Abd Kadir
MPP Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Tahun 3/4
Yang Dipertua PMUKM Sesi 13/14
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::