Selasa, April 10, 2012

TPM lancar Dialog Nasional Pendidikan Negara

Bangi, 9 April 2012 : Bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi Selangor satu majlis 'Dialog Nasional Pendidikan Negara' telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia di sini semalam.


Seramai 2385 orang peserta menghadiri sesi dialog tersebut yang terdiri daripada Pegawai Kementerian, Jabatan Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah , (PPD) Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan Wilayah Persekutuan dan Selangor berhimpun untuk membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan negara.

Fokus utama Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 ialah melahirkan modal insan negara bertaraf dunia yang mempunyai minda kelas pertama. Siri dialog ini merupakan wacana ilmiah sebagai medan perkongsian idea dalam kalangan pendidik untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.


Pada sebelah pagi Ucaputama telah disampaikan oleh YBhg Dato' Sri Abdul Ghaffar Mahmud selaku Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) yang menyentuh berkenaan hala tuju pendidikan negara merangkumi sembilan bidang utama iaitu Kualiti Guru, kepimpinan sekolah, Kualiti Sekolah, Kurikulum dan Pentaksiran, Profisiensi Pelbagai Bahasa, Peluang Lepasan Menengah, Ibu bapa, komuniti dan swasta, Kecekapan dan Keberkesanan Sumber Kementerian dan Kapasiti Keupayaan Penyampaian Kementerian.

Para peserta dibahagikan kepada 9 kumpulan mengikut bidang keutamaan yang ditetapkan. Dialog sehari ini akan dijadikan asas untuk melakukan perubahan dalam memperkasa Pelan Transformasi Pendidikan Negara (Education Blueprint) yang telah dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara bidang keutamaan tersebut;
1. Bidang Kualiti Guru - Mentranformasi dan menyegarkan profesion keguruan sebagai profesion utama pilihan.
2. Kepimpinan Sekolah - Mentranformasi dan meningkatkan keupayaan kepimpinan pemimpin sekolah sedia ada dan akan datang.
3. Kualiti Sekolah - Meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dan memastikan setiap sekolah memenuhi standard garis asas yang minimum bagi infrastruktur.
4. Kurikulum dan pentafsiran - Memperkukuh dan mengantarabangsakan rangka kerja kurikulum dan pentafsiran.
5. Profisiensi Pelbagai Bahasa - Memperkukuh Bahasa Melayu, meningkatkan profisiensi Bahasa Inggeris dengan cepat dan memperluas peluang setiap kanak-kanak untuk mempelajari bahasa ketiga.
6. Peluang Lepasan Menengah - Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pekerjaan dalam pasaran kerja.
7. Ibu bapa, Komuniti dan Sektor Swasta - Menganjak sistem pendidikan daripada sistem sekolah kepada sistem pembelajaran dengan lebih penglibatan ibu bapa, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.
8. Kecekapan dan Keberkesanan Sumber Kementerian - Mengurangkan pembaziran, merasionalkan program, menjimatkan kos dan meningkatkan produktiviti KPM,JPN dan PPD.
9. Kapisiti dan Keupayaan Penyampaian Kementerian - Meningkatkan penyampaian dan pelaksanaan, membina kapasiti kepimpinan KPM, JPN dan PPD.

Antara lain yang sempat dibahaskan semalam dirumuskan berdasarkan falsafah pendidikan bahasa yang menjadi asas, baik untuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama mahupun untuk bahasa-bahasa asing.

DNPN diadakan di setiap negeri dalam tiga bulan

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin juga berkata, rakyat akan diberi peluang seluas-luasnya untuk memberikan pandangan, kritikan dan harapan dalam Dialog Nasional Pendidikan Negara yang bakal diadakan di setiap negeri dalam tempoh tiga bulan.

Peluang itu menurut beliau, bukan sahaja dibuka kepada ibu bapa dan warga pendidik tetapi kepada golongan berkepentingan seperti agensi kerajaan, pihak industri, sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu.

Beliau menambah, perbincangan akan dibuat secara terbuka tanpa sekatan terhadap sebarang cadangan atau pandangan yang dikemukakan dalam siri-siri dialog yang akan diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin yang bakal diadakan sekurang-kurangnya sekali di setiap negeri dan wilayah-wilayah persekutuan.

Mana-mana pihak yang berminat menyertainya boleh mendaftar lebih awal melalu laman web www.eduMedia.com.my