Sabtu, Januari 07, 2012

HEBAHAN SIARAN MEDIA SYABAS : Pengeluaran Air Tidak Dapat Menampung Permintaan Bekalan Air

SIARAN MEDIA SYARIKAT BEKALAN AIR SELANGOR SDN BHD (393257-T)
Pengeluaran Di Loji Rawatan Air Semenyih Dan Hulu Langat Tidak Dapat Menampung Permintaan Bekalan Air

Tarikh : 6 JANUARI 2012

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Sungai Langat tidak dapat menampung permintaan bekalan air walaupun loji-loji tersebut telah beroperasi di tahap maksimum.

Akibat daripada kejadian ini, beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah.

Untuk makluman, gangguan bekalan air ini berlaku disebabkan tahap pengeluaran air tidak dapat menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, tahap pengeluaran air daripada kedua-dua loji air tersebut hanya sekadar mencukupi untuk menampung permintaan bekalan air semasa di kawasan ini. 

Walaubagaimanapun, disebabkan peningkatan permintaan beberapa hari ini oleh pengguna yang mungkin disebabkan oleh faktor cuaca panas dan persediaan musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, perkara ini telah mengakibatkan kedua-dua loji rawatan air tersebut tidak berupaya untuk menampung peningkatan permintaan bekalan air oleh pengguna.

Kawasan-kawasan yang terlibat ini memperolehi bekalan air menerusi dua (2) loji utama iaitu LRA Sungai Langat dan LRA Sungai Semenyih dimana kedua-dua loji tersebut telah beroperasi melebihi tahap rekabentuknya. Kedua-dua loji tersebut masing-masing diuruskan oleh Puncak Niaga (M) Sdn bhd dan juga Konsortium ABASS.

Untuk makluman juga, bagi LRA Sungai Langat, kadar pengeluaran semasa adalah 466 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti rekabentuknya iaitu 386 JLH manakala Loji Sungai Semenyih, kadar pengeluaran semasa adalah 688 JLH berbanding kapasiti rekabentuknya iaitu 545 JLH. Sehubungan itu, kadar pengeluaran kini telah mencapai tahap maksimum dan tidak boleh dipertingkatkan lagi.

Untuk kawasan bekalan dari kedua-dua loji tersebut, bekalan air alternatif daripada sumber yang lain ke kawasan ini juga telahpun mencapai tahap maksimum.

Sekiranya cuaca panas berlaku secara berterusan dan permintaan terhadap bekalan air terus meningkat, adalah dijangkakan lebih banyak lagi kawasan yang akan menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah.

Sebagai penyelesaian kepada situasi ini untuk waktu semasa adalah, pihak SYABAS ingin mengesyorkan kepada semua pengguna untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran bagi menghadapi situasi ini dan menyelesaikan masalah ini secara bersama.

Bagi membantu pengguna yang terlibat dari segi gangguan bekalan air dan tekanan air rendah, pihak SYABAS telah menyediakan sebanyak 42 buah lori tangki air dan sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Sebagai penyelesaian jangka masa panjang, SYABAS ingin mengesyorkan supaya pihak berkaitan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan kapasiti bekalan air dimana perlaksanaan dan pembangunan ini adalah terletak di bawah tanggungjawab pihak kerajaan negeri Selangor.

Sehubungan itu, mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini disaran agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.

-TAMAT-