Khamis, Januari 20, 2011

Selamat Hari Thaipusam

Sumber : Wikipedia

Pengenalan
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.

Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Namun begitu tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar.

Pada hari itu mereka akan membawa susu yang berwarna putih kerana susu itu dianggap paling suci . Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Namun begitu tidak semua penganut Hindu perlu membawa belanga berisi susu ini.

Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini terdiri daripada lelaki , perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung kepada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain.

Perbandingan Perayaan Thaipusam di Malaysia dan India
Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia berbanding dengan di India, Di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Thaipusam dapat menyatukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar dan bertumpu kepada beberapa kuil Hindu yang besar sahaja.

Cuti Am
Di Malaysia, hari Thaipusam merupakan cuti umum di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Tanggal 20 Januari 2008, Perdana Menteri Malaysia ketika itu , (Tun) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bercuti umum sempena hari Thaipusam. Namun begitu negeri Pahang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah , Sarawak dan Melaka masih belum menjadikan Thaipusam sebagau cuti umum.