Rabu, Januari 19, 2011

AKSIS ucap tahniah kepada RapidKL



Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS) gembira dan menyambut baik langkah Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan bas RapidKL yang berjaya melancarkan bas khusus untuk penumpang wanita secara rasmi semalam.

Perkhidmatan bas khusus untuk penumpang wanita yang telah memulakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas untuk golongan wanita sahaja, yang dikenali sebagai Rapid Bas Wanita, mulai bulan lepas telah dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Menurut Pengarah Kumpulan Bas Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berdasarkan soal selidik terhadap 1,400 responden semasa tempoh percubaan, sebanyak 92 peratus amat bersetuju dan menyokong sepenuhnya perkhidmatan Bas Wanita tersebut serta memohon untuk ditambah perluasan operasi Bas Wanita tersebut.

Duta AKSIS tahun 1/2, Nur Izzati Othman dari Fakulti Sains & Teknologi (FST) ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan mengucapkan tahniah di atas usaha pihak syarikat pengendali bas RapidKL tersebut.

" Kita di AKSIS mengucapkan terima kasih dan syabas di atas usaha murni pihak RapidKL ini.

" Sekian lama kaum wanita mengalami masalah (untuk) menggunakan bas, akhirnya suara kaum wanita kini didengari. (Umum ketahui) Ada sebilangan wanita enggan menggunakan perkhidmatan awam bukan kerana berlagak, tetapi (akibat) risiko diraba atau dicabul menyebabkan kami kaum wanita kurang (gemar) menggunakan perkhidmatan awam.

" Insyallah selepas ini, akan ramai mahasiswi yang bertukar kepada perkhidmatan awam (selepas kewujudan Bas Wanita ini). Kita harapkan, usaha sebegini akan diteruskan dan lebih banyak kawasan (operasi) akan menyediakan perkhidmatan sebegini, " tambah Izzati.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam ketika merasmikan pelancaran Bas Wanita berkata, bas seumpama itu merupakan pilihan terbaik untuk golongan wanita ketika menggunakan pengangkutan awam kerana wanita didapati mendominasi penggunaan kenderaan sama ada persendirian atau pengangkutan awam di ibu kota.

Justeru usaha pihak Syarikat Prasarana amat bertepatan dalam memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat ibu kota.

Untuk makluman, bas khusus untuk penumpang wanita ini tertera perkataan 'Bas Wanita' akan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini dengan dua perkhidmatan disediakan bagi setiap laluan di waktu pagi dan petang.

Namun walaupun dikhaskan untuk wanita sahaja, kanak-kanak di bawah usia dua belas tahun dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas tersebut dengan ditemani rakan atau saudara perempuan.

Ikon bas 'untuk wanita sahaja' akan diletakkan pada cermin depan bas, tingkap, pintu dan skrin LED dalam kenderaan itu bagi membezakannya daripada bas biasa.

Lapan laluan terbaru yang ditambah ialah bagi yang bernombor U6 dari Taman Jasa Utama ke Medan Pasar, U31 (Pandan Indah ke Maybank Puduraya), U46 (Damai Perdana ke Bukit Bintang), U66 (Taman Medan ke Pasar Seni), U68 (Taman Sentosa ke Pasar Seni), U82 (Bandar Utama ke KL Sentral), U224 (Taman Dato' Senu ke Pasar Seni) dan U623 (Stesen LRT Kelana Jaya ke Subang Parade, melalui Sunway Pyramid).

Laluan terdahulu ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves ke Medan pasar, U8 (Hab Damansara Damai ke Medan Pasar), U22 (Hab Sri Nilam ke Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Terminal Kajang ke Pasar Seni), U60 (Hab Puchong Utama ke Hab Pasar Seni), U80 (Hab UiTM Shah Alam ke Pasar Seni) dan U81(Hab Subang Suria ke Hab Pasar Seni).

Bagi perjalanan di sebelah pagi untuk penumpang wanita ke tempat kerja, ia akan berlepas pada pukul 6.45 pagi dan 7.30 pagi manakala di sebelah petang untuk penumpang pulang selepas bekerja, ia akan berlepas pada pukul 6 petang dan 6.45 petang.

Sumber : Blog GMUKM