Jumaat, Oktober 03, 2014

KENAIKAN HARGA MINYAK RON95 DAN DIESEL



2 Oktober 2014 - Kerajaan Malaysia dibawah Dato’ Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan harga minyak Ron95 dan Diesel sekaligus menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat. Seperti biasa, apabila diajukan mengenai isu kenaikan harga komoditi ini Kerajaan masih lagi menggunakan alasan yang sama iaitu untuk mengurangkan beban subsidi petrol yang terpaksa ditanggung kerajaan saban tahun. Namun, kerajaanberjanji untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan meningkatkan nilai bantuan (BR1M) dalam pembentangan Bajet 2015 akan datang.

Melihat kepada trend kenaikan harga petrol dalam tempoh setahun terdapat beberapa persoalan yang boleh dibangkitkan berkenaan dengan tindakan kerajaan ini. Apa yang dapat dilihat, rakyat sekali lagi berdepan dengan kenaikan kos sara hidup melalui kenaikan harga dan ditambah pula dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan dalam masa kurang dari setahun. Pastinya jumlah pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan nilai wang yang dibelanjakan menyebabkan kuasa beli pengguna menurun dan jumlah penggunaan isi rumah turut merosot. Hal ini turut menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi lembab. Kesan daripada iklim ekonomi yang lembab menyebabkan kadar pengangguran meningkat lebih-lebih lagi dalam kalangan mahasiswa yang baru menamatkan pengajian. Golongan peniaga yang tidak beretika pula akan mengambil kesempatan ini dengan menaikkan harga makanan dan minuman di kedai masing-masing atas alsan kenaikan harga minyak. 

Rentetan dari kenaikan harga minyak tempiasnya turut dirasai oleh mahasiswa khususnya yang mempunyai kenderaan pasti mereka akan berfikir banyak kali sebelum mengisi petrol untuk memastikan perbelanjaan sepanjang pengajian mencukupi. Namun mahasiswa tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa menelan hakikat bahawa kenaikan harga petrol tidak dapat tidak terpaksa jua ditempuhi oleh mereka. Mahasiswa hanya boleh membantah dan bersuara menyatakan ketidakpuasan hati mereka tetapi apakan daya mahasiswa hanya boleh bertindak sekadar itu sahaja kerana kuasa menaikkan dan menurunkan terletak di tangan kerajaan. 

Bagi pihak PMUKM, kami berasa amat kesal dengan tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak dikala Hari Raya Aidiladha bakal menjelma beberapa hari lagi dan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap harga ternakan korban dan bagi mahasiswa yang ingin pulang ke kampung juga akan terkena tempiasnya. 
Kami tegas dengan pendirian untuk tidak menyokong akan kenaikan ini dan pelaksanaannya dibuat tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak.





Muhammad Sallehudin Khalid 
MPP Umum Tahun 3/4
Naib Yang Dipertua 
PMUKM 2013/2014




::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::