Ahad, Oktober 06, 2013

UNIVERSITI DAN PENGIKTIRAFAN: KE MANA KEGHAIRAHAN KITA? - HAZMAN BAHAROM

Saya merasa terganggu dengan pengumuman yang banyak kebelakangan ini, bila mana universiti negara kita mencatatkan “kejayaan” di Malaysia Book of Records. Terbaru, Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Darul Aman berjaya membina bendera Malaysia terbesar daripada gumpalan kertas. Tidak sampai seminggu kemudian pula, UKM mengumumkan untuk memecahkan rekod Malaysia dengan menganjurkan program bersenam tanpa henti selama 36 jam.
Kesemua ini menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya fungsi universiti di tengah-tengah masyarakat negara membangun seperti Malaysia? Adakah wajar sebuah universiti menghabiskan ribuan ringgit hanya untuk mengejar status memecahkan rekod Malaysia sahaja?
Mencatatkan sesuatu rekod — melakukan sesuatu yang belum pernah dicapai orang lain — sewajarnya merupakan suatu kebanggaan yang akan dikenang. Namun, kita perlu bertanya semula, adakah pencapaian yang dicapai itu benar-benar cocok dan layak dengan makna serta iltizam sebuah institusi ilmu? Atau dibuat hanya sekadar menjadi rekod Malaysia sahaja?
Kala universiti di Malaysia semakin corot dalam QS University Ranking 2013 (saya tahu sistem ranking ini bukannya boleh diguna pakai setiap masa, tetapi pengukuran ini diambil secara umum), kita masih gagal meletakkan universiti kita sebagai hab menjana keilmuan baharu yang bukan sekadar mengulang-ulang pengetahuan berpuluh tahun dahulu. Lebih parah, kita sendiri tidak mengambil tindakan yang bersifat konkrit terhadap kedudukan IPT kita yang semakin merudum di persada dunia!
Hal yang saya sebutkan awal tadi amat merunsingkan saya, apatah lagi apabila kita merenung kembali matlamat sebuah institusi pengajian tinggi yang merupakan satu cita-cita besar, yakni sebagai pusat keilmuan dan idea.
Tinjauan ke atas iltizam universiti
Ketika Prof John Henry Newman merasmikan kampus University College Dublin (UCD) yang bersejarah itu, beliau telah menyampaikan syarahannya yang dikompilasikan dalam penerbitan tahun 1873 yang berjudul The Idea of a University.
Syarahan ini dianggap sebagai sebuah autoriti dalam memahami apakah iltizam sebuah universiti diwujudkan. Menerusi syarahan tersebut juga, kita tahu bahawa cita-cita besar di sebalik penubuhan UCD adalah untuk seolah-olah menjadi Oxford di Ireland, yang meletakkan asas pendidikan pada tradisi Katolik serta pengajian teologi Kristian sebagai bidang teras pengajiannya. Aspirasi Newman sesungguhnya merupakan sebuah cita-cita besar; selain menjadikan UCD sebagai pusat keilmuan pelbagai bidang (biarpun selepas itu hanya sekolah perubatannya yang menyerlah), beliau juga menekankan akan hasrat universiti sebagai wadah pembentukan insan yang budiman.
Selain itu, hasrat sebuah universiti adalah sebagai pusat pembentukan akal budi (terjemahan dari bahasa Inggeris cultivation of the mind; saya mengelak daripada menggunakan perkataan minda untuk menafsir “mind” atas sebab semantik dan etimologi), bukan sekadar menghasilkan pekerja yang berguna untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi. Atas sebab itulah Newman merupakan antara pelopor pendidikan liberal (liberal education).
Memetik Newman: “Now this is what some great men are very slow to allow; they insist that education should be confined to some particular and narrow end, and should issue in some definite work, which can be weighed and measured. They argue as if every thing, as well as every person, had its price; and that where there has been a great outlay, they have a right to expect a return in kind. This they call making Education and Instruction ‘useful’, and ‘Utility’ becomes their watchword”.
Petikan di atas menerangkan kritikan Newman ke atas keghairahan dunia akademik pada waktu itu untuk menghasilkan manusia yang mempunyai nilai material, yakni melihat universiti hanya sebagai tempat latihan pekerja industri.
Untuk beliau, universiti seharusnya bergerak lebih jauh daripada hanya menyediakan manusia yang mampu menjana pulangan dari sudut material semata-mata seperti jurutera dan saintis.
Newman menyambung lagi: “With a fundamental principle of this nature, they very naturally go on to ask, what there is to show for the expense of a University; what is the real worth in the market of the article called ‘a Liberal Education’, on the supposition that it does not teach us definitely how to advance our manufactures, or to improve our lands, or to better our civil economy; or again, if it does not make this man a lawyer, that an engineer, and that a surgeon […]”.
Di sini, tampak jelas bahawa Newman tidak menggemari kecenderungan yang wujud pada zaman beliau, iaitu universiti hanya dilihat berperanan sebagai “kilang” menghasilkan pekerja semata-mata. Sebab itulah, beliau menggagaskan kemudiannya satu idea yang lebih besar, iaitu universiti sebagai hab pengembangan pengetahuan serta pembentukan akal budi manusia.
Sepanjang sejarah, kita melihat pelbagai perubahan dalam orientasi dan fungsi universiti. Kebanyakan universiti di negara maju, setelah melalui detik pasca-industrialisme, mula berubah orientasi subjeknya daripada hanya “berasaskan praktikal” (seperti menghasilkan jurutera yang mampu mengendalikan mesin di kilang) kepada kemunculan disiplin ilmunya sendiri.
Sebagai contoh, subjek antropologi yang pada mulanya merupakan kursus yang diajar untuk para pegawai kolonial, pada hari ini telah menjadi disiplin ilmu yang mampu berdiri sendiri. Begitu juga dengan subjek kesusasteraan dan sejarah. Namun, kita tidak berminat untuk menelusuri aspek sejarah intelektual dan perkembangan disiplin ilmu di sini. Cukuplah dengan sedikit latar belakang tentangnya.
Selain itu, pemerkasaan demokrasi juga dapat bermula dari dalam tembok universiti. Filasuf wanita Martha Nussbaum menerusi bukunya Not For Profit: Why Democracy Needs the Humanities berhujah bahawa pemerkasaan demokrasi akan berlaku seandainya pengajian bidang kemanusiaan diberi tempat yang sewajarnya disebabkan ciri subjek kemanusiaan yang berteraskan inkuiri kritis dan bebas terhadap idea-idea yang dibentangkan.
Kesemua ini lahir dan wujud di kuliah-kuliah universiti. Hal ini kemudiannya akan melahirkan individu yang bisa mempersoal secara kritis akan apa sahaja idea yang dibentangkan kepadanya. Oleh itu, adalah maha penting untuk ruang universiti (1) kekal bebas daripada pengaruh kuasa dan (2) meletakkan penekanan terhadap pengajian kemanusiaan seiring dengan pengajian subjek sains dan teknikal.
Maka, di sini dapatlah dilihat bahawa ruang inkuiri yang wujud di universiti, ditambah dengan kewujudan pengajian kemanusiaan sepatutnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa menyumbang ke arah mencerdikkan masyarakat seluruhnya, lantas memerkasakan demokrasi di sesebuah negara.
Prof Stefan Collini, sarjana sejarah intelektual dan kesusasteraan Inggeris di Universiti Cambridge juga berkali-kali menegaskan melalui buku beliau What Are Universities For?, bahawa universiti seharusnya menjadi satu ruang inkuiri bebas yang sentiasa dilindungi daripada pengaruh kuasa dan institusi kekuasaan (state institutions), contohnya institusi agama. Kesemua ini merupakan antara prasyarat untuk memungkinkan inovasi baharu yang akan meluaskan sempadan keilmuan yang bermanfaat untuk manusia sejagat.
Beliau juga merumuskan secara jelas akan cita-cita sebuah universiti melalui bab The Highest Aspirations and Ideals: Universities as a Public Good. Di sini, beliau menegaskan bahawa universiti berperanan penting sebagai institusi yang seharusnya menjadi penggerak keilmuan dalam masyarakat.
Mereka seharusnya berfokus kepada inovasi serta penerokaan ilmu baharu, bukan sekadar menjadi medium memindahkan ilmu daripada pensyarah kepada mahasiswa semata-mata. Selain menjadi medan untuk manusia menaiki tangga sosial melalui pendidikan tinggi, ia juga wajar menyedari peranan serta kemampuannya membentuk kebudayaan di tengah-tengah masyarakat.
Hal inilah yang sepatutnya disedari apabila universiti yang seharusnya menanam semangat perbahasan kritis dalam kalangan mahasiswa (yang kemudiannya akan bertanggungjawab dalam proses demokrasi) telah diturunkan martabatnya kepada hanya sebuah ‘medan memecahkan rekod’ yang sia-sia akhirnya.
Kesimpulan
Malaysia sedang menuju kematangan demokrasi. Hakikat ini dapat dilihat menerusi wacana umum berkaitan politik dan masa depan negara yang semakin rancak pasca-Reformasi dan PRU-12. Namun, antara masalah yang masih dihadapi oleh negara kita ialah ketandusan wacana yang berani memecahkan tembok sensitiviti — umpamanya dalam isu melibatkan hubungan kaum dan institusi raja-raja.
Contohnya, institusi raja bagaikan satu entiti sakral yang haram dipersoal dan disentuh, yang akhirnya mewujudkan pandangan umum yang seolah-olah menanggapi perbuatan mengkritik raja-raja sebagai satu “dosa”.
Di sinilah institusi ilmu seperti universiti sepatutnya memainkan peranannya. Universiti sebagai medan perkembangan ilmu sewajarnya menjadi antara pelopor kepada wacana yang bersifat kritis dan berani supaya masyarakat semakin terdidik, bukan semata-mata ghairah mencari rekod Malaysia sahaja.
Lebih memalukan, apabila ada universiti tempatan (yang diwara-warakan sebagai taman ilmu dan budi) yang dengan tidak semena-mena membatalkan program-program diskusi yang sedikit berani pada saat-saat akhir baru-baru ini.
Dengan jelasnya kita akan fungsi sebuah universiti yang bertanggungjawab menjadikan sebuah masyarakat lebih cerdik, maka adalah sungguh hina sekali untuk merendahkan martabat universiti dengan hanya mengejar pengiktirafan rekod Malaysia semata-mata. Bukan sesiapa pun yang merendahkan martabat sesebuah universiti, tetapi warganya sendirilah yang melakukannya.
Pernahkah kita persoalkan, setakat mana kualiti penyelidikan serta inovasi di universiti kita? Kala universiti di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan China berlumba-lumba menghasilkan penerima Hadiah Nobel, kita pula berlumba menghasilkan bendera terbesar daripada gumpalan kertas? - 22 September, 2013.
* Hazman Baharom merupakan mahasiswa di University of Manchester, UK. Juga merupakan salah seorang kru Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM).
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI