Selasa, September 18, 2012

PRK 2012 : Memilih Pemimpin Sejati

Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Siang tadi telah diumumkan tarikh pembubaran dan penamaan calon serta hari pengundian bagi Pemilihan MPP 2012 atau lebih dikenali sebagai Pilihan Raya Kampus (PRK) melalui notis yang ditampal oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Pemilihan Pelajar (JPMPP) 2012 di sekitar kampus UKM Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Mahasiswa UKM yang telah ditubuhkan sejak 40 tahun lalu oleh Jawatankuasa Penaja PMUKM yang diketuai saudara Ramli Ibrahim yang kemudian dilantik sebagai Yang DiPertua PMUKM setahun selepas itu (tahun 1972) sejak penubuhannya melalui pelbagai onak dan ranjau.

Temubual dengan Pengasas PMUKM
Hasil temubual barisan PMUKM sesi lalu dengan beliau di kediaman rumah beliau tahun lalu telah banyak menceritakan pahit getir ketika beliau dan rakan-rakan bersama-sama ingin menubuhkan PMUKM.

Malahan dengan suasana Islamik dan semangat kebangsaan yang turut ditonjolkan oleh mahasiswa-mahasiswa telah banyak membantu mencapai misi dan visi penubuhan PMUKM ketika itu.

Dan dengan itu, nyatalah tidak benar cakap-cakap kosong oleh pihak lawan bahawa PMUKM ini dikuasai oleh mereka (TSB) sejak penubuhan PMUKM 4 dekad yang lalu.

Pemimpin sejati wajar dicontohi
Kami di Gabungan Mahasiswa UKM yang menerajui barisan Majlis Tertinggi PMUKM sesi 2010-2012 dengan ini juga turut mengingatkan bahawa adalah lebih mudah bagi pihak yang menggilai jawatan tetapi ternyata amat sukar bagi mereka untuk memenuhi amanah jawatan tersebut.
Daripada Abu Zhar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya (sebagai ketua) ?"  Rasulullah bersabda, " Hai Abu Zhar, engkau seorang yang lemah, Sedangkan (jawatan ketua) itu sebagai amanah pada hari Kiamat. (Ia) hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan (di hari Kiamat). Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya. (Hadis riwayat Muslim)
Dan lebih jelas di dalam Al-Quran yang menerangkan ciri-ciri orang yang beramanah terhadap masyarakat yan dipimpinnya untuk memimpin ke jalan yang diredhai-Nya ; "Orang-orang yang apabila telah Kami berikan kedudukan yang kukuh di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kepada Allah jua akibat segala urusan."

Ciri-ciri pemimpin yang disebut merangkumi oleh sikap mereka yang;
- mendirikan solat
- menunaikan zakat
- mengajak ke arah yang makruf (kebaikan)
- mencegah kepada yang mungkar (keburukan)
- mengembalikan niat dan segalanya kepada Tuhan serta bertawakal.

Maka menjelang Pemilihan MPP 2012 yang dijadualkan berlangsung hari penamaan calon pada hari Jumaat, 21 September 2012 dan Hari Pembuangan Undi 25 September 2012 (Selasa) maka diharapkan rakan-rakan mahasiswa bersama-sama bijak dalam memilih pemimpin yang mengajak ke arah kebaikan dan mengelak daripada keburukan.


Editor
BB Bangi
18 Sept 2012