Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2013, 28 September ini.
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua graduan terbabit diharap dapat bersabar kerana kedudukan mereka sebagai guru akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada hari itu.
"Ada timbul isu masalah pengangguran bagi graduan pendidikan kerana selepas menamatkan pelajaran dan memperoleh ijazah, mereka tidak ditawarkan pekerjaan di Kementerian Pelajaran.
"Bagaimanapun, kita sudah dimaklumkan masalah ini dan jalan penyelesaian telah pun diambil namun ia hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Politeknik Nilai di sini, pada Khamis.
Ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik untuk paragraduan tersebut, Mohamed Khaled berkata beliau sendiri tidak mengetahuinya, namun berharap ia merupakan khabar gembira kepada para graduan terbabit.-BERNAMA