Khamis, April 09, 2009

PMUKM TIDAK KOMITED


PMUKM HANYA MENGADAKAN MESYUARAT SATU KALI SAHAJA SEPANJANG SEMESTER 2 SESI 2008/2009.

DI MANAKAH KOMITMEN UNTUK MEMBELA NASIB MAHASISWA?


Inilah komitmen yang ditunjukkan oleh PMUKM Sesi 2008/2009 di bawah pimpinan Presiden PMUKM Mohamad Nasir bin Mohamed Nazri. Semenjak mesyuarat bertarikh 18 Mac 2009 (Rabu) yang menyaksikan 6 usul diluluskan kerana gesaan hebat 12 MPP Mahasiswa (sila rujuk artikel blog GMUKM pada 20 Mac 2009), MPP Aspirasi pimpinan Nasir seolah-olah amat takut untuk mengadakan mesyuarat PMUKM. Tarikh mesyuarat kedua yang sepatutnya berlangsung pada 14 Apr 2009 telah dibatalkan. Ia sepatutnya diadakan ketika cuti minggu ulangkaji (13-19 Apr 2009). Mesyuarat PMUKM memerlukan quorum minimum 2/3 ahli (minimum 22/33 ahli MPP) untuk memulakan mesyuarat di bawah Perkara 2.1 Peraturan Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Segala ketetapan mesyuarat PMUKM yang tidak memenuhi quorum 2/3 adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Alasan pembatalan adalah ramai ahli MPP yang dijangka pulang ke kampung masing-masing ketika minggu ulangkaji dan dengan itu tidak dapat memenuhi quorum 2/3.


Persoalan penting adalah mengapa mesyuarat yang kedua sengaja ditetapkan pada minggu ulang kaji dan bukannya pada minggu kuliah (Minggu ke-13 atau ke-14). Apakah Presiden dan Setiausaha Agong tidak merujuk kepada kalender ketika menetapkan tarikh mesyuarat sehingga memilih tarikh yang tidak sesuai? Saya telah beberapa kali mendesak Setiausaha Agong PMUKM Siti Nazihan Hj Abdul Rahman dan Presiden Nasir untuk melihat kembali kesesuaian tarikh 14 Apr 2009 dan mencadangkan agar mesyuarat diadakan selewat-lewatnya hari Khamis/Jumaat minggu ke-14. Setiausaha Siti Nazihan masih mempunyai masa untuk mengeluarkan notis 7 hari kepada semua ahli MPP menurut Perkara 1.2 Peraturan Mesyuarat. Malangnya, mesyuarat tidak diawalkan tetapi dibatalkan begitu sahaja. Kami 12 MPP Mahasiswa amat kecewa dan melihat elemen ketidakjujuran dalam pembatalan mesyuarat kedua PMUKM. Ini kerana semenjak mesyuarat pertama (18 Mar 2009) sehingga sekarang, MPP Mahasiswa telah mengumpul pelbagai aduan mahasiswa dan menunggu mesyuarat PMUKM untuk diketengahkan agar dapat dicari penyelesaiannya secara kolektif.


MPP Mahasiswa amat komited terhadap mesyuarat PMUKM. Buktinya ialah 10/12 orang MPP Mahasiswa (83.33%) menghadiri mesyuarat pertama pada 18 Mac 2009 berbanding 12/21 orang MPP Aspirasi (57.14%) sahaja. Itupun sidang mesyuarat terpaksa menunggu kehadiran MPP Aspirasi yang lewat agar quorum mencukupi. Malahan, terdapat beberapa MPP Aspirasi yang meninggalkan mesyuarat di pertengahan jalan, khasnya Presiden Nasir sendiri. Kesemua 10 MPP Mahasiswa menyertai mesyuarat sehingga pengakhirannya. Kami tidak faham mengapa Presiden Nasir selaku pemimpin no. 1 di UKM ini boleh meninggalkan mesyuarat dengan alasan perlu menghadiri mesyuarat yang lain. Adakah terdapat mesyuarat lain yang lebih penting daripada Mesyuarat Rasmi PMUKM yang diterajui oleh beliau sendiri?


6 usul telah diluluskan tetapi hanya diperingkat permulaan sahaja. Contohnya, usul Mesyuarat Agong Tahunan untuk JAKSA kolej kediaman dan PMUKM tidak diperincikan mekanisme pelaksanaannya. Sidang mesyuarat hanya bersetuju untuk menjalankannya. Tentu sekali perincian pelaksanaan harus dibincang pada mesyuarat PMUKM yang seterusnya. Usul AGM JAKSA disokong oleh 18 daripada 21 ahli MPP yang masih berada pada sesi mesyuarat dan usul AGM PMUKM disokong hanya 11 daripada 19 ahli MPP. Ketiadaan mesyuarat berkala untuk membincangkan perincian kedua-dua usul ini jelas menunjukkan PMUKM pimpinan Presiden Nasir tiada keikhlasan untuk membela nasib mahasiswa. Usul ini bertujuan untuk membuka ruang kepada seluruh mahasiswa UKM untuk membela kebajikan masing-masing dengan menyemak laporan kewangan dan aktiviti tahunan kedua-dua pertubuhan JAKSA dan PMUKM. Ketiadaan tindakan susulan Presiden Nasir jelas menunjukkan beliau mempunyai niat untuk mengekang hak mahasiswa untuk bersuara.


Terdapat juga usul yang tidak memerlukan perincian mendalam iaitu usul mesyuarat PMUKM dijalankan secara berkala iaitu sebulan 2 kali. Usul ini telah melalui segala proses pengusulan, perdebatan dan pengundian menurut peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat MPP dan disokong oleh 18 daripada 19 ahli MPP yang masih tinggal semasa pengundian. Usul ini sepatutnya berkuatkuasa serta-merta dan dari tarikh mesyuarat pertama (18 Mac 2009) sehingga permulaan minggu ulangkaji (13 Apr 2009) iaitu selama 25 hari, PMUKM wajib mengadakan 2 kali mesyuarat sebulan menurut usul yang diluluskan.


Kami 12 MPP Mahasiswa amat kesal kerana dalam tempoh ini, tiada satu pun mesyuarat PMUKM yang diadakan. Presiden Nasir dan Majlis Tertingginya telah gagal melaksanakan usul yang telah diluluskan secara sah berlandaskan peruntukan Peraturan Mesyuarat PMUKM. Ini adalah penghinaan kepada seluruh perwakilan MPP terutamanya kepada 19 ahli MPP yang mengundi menyokong usul ini. Amat jelas bahawa kuasa budi bicara seorang Presiden Nasir boleh membatalkan ketetapan 19 orang ahli MPP. Beliau bukan sahaja tidak menghormati 12 ahli MPP Mahasiswa yang mengundi usul ini, tetapi juga 7 orang ahli MPP Aspirasi yang turut menyokong.


Melihat kepada perkembangan semasa dan keikhlasan Presiden Nasir, kami 12 MPP Mahasiswa mula berasa risau tentang pelaksanaan 6 usul yang berjaya diluluskan itu. Keenam-enam usul itu diluluskan untuk meningkatkan kebajikan mahasiswa seluruh UKM dan wajib dijalankan setelah diluluskan oleh sidang mesyuarat MPP yang pertama. Kami 12 MPP Mahasiswa berjanji akan memperjuangkan pelaksanaan 6 usul tersebut, terutamanya usul mengadakan AGM untuk JAKSA Kolej Kediaman dan PMUKM itu sendiri. Kami juga ingin memberi peringatan kepada Presiden Nasir supaya menghormati segala usul Mesyuarat MPP yang berjaya diluluskan. Sesungguhnya, Presiden Nasir telah meninggalkan mesyuarat sebelum pengundian usul bermula dan awal-awal lagi menunjukkan bahawa beliau tidak ikhlas untuk menghormati ketetapan sidang mesyuarat MPP.


Sekian, terima kasih


PHOON KAR LIANG

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar

Universiti Kebangsaan Malaysia

PMUKM Sesi 2008/2009

Wakil Fakulti Undang-undang

017-2399052

phoonkarliang@yahoo.com