Isnin, September 16, 2013

PMUKM DALAM USAHA MEMARTABATKAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

PMUKM hampir melabuhkan tirainya untuk sesi kepimpinan 2012/13. Atas dasar autonomi mahasiswa, PMUKM berusaha merealisasikan falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia melalui perlaksanaan empat dasar yang telah dibentangkan dihadapan Ybhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,  Naib Cencelor UKM. Empat dasar tersebut ialah:
1. Mendasari kebajikan ke arah kepimpinan sejahtera
2. Pembudayaan suasana keilmuan dan pemerkasaan intelektualisme
3. Perpaduan kaum dan integrasi nasional
4. Dasar pengantarabangsaan ke arah kesatuan global

Melalui kesatuan mahasiswa, PMUKM telah menjalankan program-program kearah merealisasikan paksi-paksi tersebut, iaitu dengan menggalakkan penglibatan mahasiswa/i UKM bagi bersama-sama merealisasikan misi mengangkat martabat varsiti tercinta ini. Pelbagai program telah direncanakan seperti perbincangan ilmiah yang sangat konstruktif terhadap perubahan masyarakat varsiti dan juga masyarakat Malaysia adalah perkara yang paling banyak diketengahkan. Program Pembudayaan Ilmu, yang di rasmikan oleh YBhg Dato’ Saifuddin Abdullah merupakan pembuktian yang kukuh terhadap usaha PMUKM. Beliau juga sempat menjadi panel dalam siri Bedah Buku: Politik Baru. Program Suara Kampus, Varsiti: Krisis Nilai dan Kepentingan yang mempersembahkan ahli panel yang hebat iaitu Prof. Dr. Sidek Baba, Pensyarah Pendidikan UIA, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, TNC HEAA UKM dan Tuan Hj Ibrahim Bin Ali, wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga merupakan manifestasi usaha PMUKM kearah memartabatkan intelektualisme masyarakat UKM.

PMUKM juga menyedari kepentingan agenda pengantarabangsaan dalam membuktikan kemampuan UKM di peringkat global. Speaker PMUKM, Saudara Arief Othman antara yang terawal sekali menggerakan usaha ini apabila beliau bersama beberapa delegasi dari Malaysia, melawat ke negara Thailand bagi membincangkan peranan mahasiswa dalam menggerakkan penubuhan ASEAN COMMUNITY 2015 . PMUKM juga telah berjaya menghantar 20 orang pelajar tahun satu dari UKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi menjayakan program Kesukarelawanan Siswa Antara Rantau (KESUTRA) yang berlangsung selama seminggu di Jogjakarta, Indonesia.

Dakwaan bahawa PMUKM cenderung memburukan nama UKM merupakan “desperate accusation” daripada pihak yang tidak peka dan bersifat kepentingan politik. PMUKM sekali lagi senantiasa menjadi pemangkin dalam memartabatkan varsiti. Usaha PMUKM ini dihargai pengurusan Universiti apabila dijemput untuk berkongsi idea bersama-sama Persatuan- Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) UKM,  di dalam plan transformasi pendidikan UKM yang dikendalikan sendiri oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali. Plan tersebut merupakan “Liberalisasi Pendidikan UKM”. Bukan itu sahaja, PMUKM juga bersama-sama YBhg. Prof. Dato’ Dr. Saran Kaur Gill dalam meningkatkan mutu jaringan industri universiti ini yang mana perbincangan tersebut bertujuan untuk mengkaji semula sistem latihan industri di UKM.

Sebagai persatuan induk yang menaungi persatuan-persatuan lain yang wujud di UKM, PMUKM melalui penggerak utamanya iaitu ahli Majlis Perwakilan Pelajar, akan senantiasa berusaha memastikan pembawaan PMUKM ke arah memartabatkan taraf Universiti Kebangsaan Malaysia ke tahap yang lebih baik. Ranking varsiti boleh dipulihkan dengan penglibatan mahasiswa yang aktif. Oleh itu, segala aktiviti bersifat “enjoyment” perlu dikaji semula perlaksanaannya terutama di kolej-kolej agar kualiti aktiviti yang dilaksanakan itu bersifat membina keintelektualisme mahasiswa.








Mustapha Kamil Husen Abd. Kadir
Pengerusi Biro Perhubungan dan Antarabangsa PMUKM


AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI