Khamis, September 26, 2013

MANIFESTO MPP GM FSSK: ISU YURAN LATIHAN INDUSTRI DIJANGKA SELESAI PADA SESI 2013/2014

Dalam usaha untuk merealisasikan manifesto berkaitan pengurangan yuran Latihan Industri (LI) sebanyak 50% kepada pihak fakulti, MPP Azrai Ahmad Zamri terlebih dahulu telah mendapatkan penjelasan terperinci daripada Bendahari UKM berkaitan perkara tersebut pada 21 November 2012. Pertemuan itu kemudiannya mengesahkan bahawa penetapan kadar yuran LI bukanlah berada di bawah bidang kuasa Dekan fakulti, sebaliknya di bawah kendalian pengurusan tertinggi universiti sebagai yuran wajib pengajian (sama seperti yuran pengajian yang dikenakan bagi subjek-subjek berkredit yang lain). Oleh sebab itu, pengurangan yuran LI adalah sesuatu yang sukar dilaksanakan kerana ianya melibatkan kesemua pelajar di kesemua fakulti yang ada mengambil kursus Latihan Amali/Industri.

Dalam perbincangan lanjut bersama pegawai dan Dekan fakulti pada 25 Mac 2013, MPP Azrai menekankan bahawa proses pembayaran yuran LI sering menjadi isu adalah kerana kebanyakan pelajar FSSK menjalani LI di luar semester biasa (iaitu pada Semester 3 tahun akhir), di mana yuran pengajian bagi kursus LI sebanyak RM180 (RM30 X 6 Jam Kredit) perlu dibayar berasingan daripada yuran pengajian di Semester 2. Oleh sebab itu, pembayaran yuran LI di Semester 3 bukan sahaja menyulitkan pelajar dari aspek prosedurnya tatkala kebanyakan mereka tidak lagi berada di dalam kampus, bahkan mereka juga tidak lagi dibiayai oleh mana-mana pinjaman (PTPTN) atau biasiswa dalam tempoh tersebut. Dengan demikian, satu keputusan telah diambil agar proses pembayaran yuran LI FSSK dibuat melalui pemotongan secara terus daripada pinjaman atau biasiswa pelajar bagi pembayaran yuran pengajian Semester 2 tahun akhir.

Cadangan agar yuran LI FSSK dikenakan dalam yuran pengajian Semester 2 tersebut kemudiannya telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan Pelajar (MJKP) Bil.2/2013 pada 30 Mei 2013 dan mendapat reaksi positif daripada pihak pengurusan UKM. Naib Canselor sendiri beranggapan bahawa masalah tersebut cuma bersifat teknikal dan meminta agar Bendahari UKM mengambil tindakan segera. Walau bagaimanapun, oleh kerana proses pembayaran yuran pengajian Semester 2 bagi Sesi 2012/2013 telah berlalu, maka ianya dijangka hanya dapat dilaksanakan bermula Sesi 2013/2014.







Azrai bin Ahmad Zamri
Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM


AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI