PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Rabu, Oktober 09, 2013

DIALOG MAHASISWA BERSAMA EXCO KERAJAAN NEGERI, SYABAS SDN BHD., JPP UKM

*Jom sama-sama hadirkan diri anda mendengar pencerahan masalah isu air dan 'absolute solution' daripada pihak berwajib.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI

Ahad, Oktober 06, 2013

UNIVERSITI DAN PENGIKTIRAFAN: KE MANA KEGHAIRAHAN KITA? - HAZMAN BAHAROM

Saya merasa terganggu dengan pengumuman yang banyak kebelakangan ini, bila mana universiti negara kita mencatatkan “kejayaan” di Malaysia Book of Records. Terbaru, Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Darul Aman berjaya membina bendera Malaysia terbesar daripada gumpalan kertas. Tidak sampai seminggu kemudian pula, UKM mengumumkan untuk memecahkan rekod Malaysia dengan menganjurkan program bersenam tanpa henti selama 36 jam.
Kesemua ini menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya fungsi universiti di tengah-tengah masyarakat negara membangun seperti Malaysia? Adakah wajar sebuah universiti menghabiskan ribuan ringgit hanya untuk mengejar status memecahkan rekod Malaysia sahaja?
Mencatatkan sesuatu rekod — melakukan sesuatu yang belum pernah dicapai orang lain — sewajarnya merupakan suatu kebanggaan yang akan dikenang. Namun, kita perlu bertanya semula, adakah pencapaian yang dicapai itu benar-benar cocok dan layak dengan makna serta iltizam sebuah institusi ilmu? Atau dibuat hanya sekadar menjadi rekod Malaysia sahaja?
Kala universiti di Malaysia semakin corot dalam QS University Ranking 2013 (saya tahu sistem ranking ini bukannya boleh diguna pakai setiap masa, tetapi pengukuran ini diambil secara umum), kita masih gagal meletakkan universiti kita sebagai hab menjana keilmuan baharu yang bukan sekadar mengulang-ulang pengetahuan berpuluh tahun dahulu. Lebih parah, kita sendiri tidak mengambil tindakan yang bersifat konkrit terhadap kedudukan IPT kita yang semakin merudum di persada dunia!
Hal yang saya sebutkan awal tadi amat merunsingkan saya, apatah lagi apabila kita merenung kembali matlamat sebuah institusi pengajian tinggi yang merupakan satu cita-cita besar, yakni sebagai pusat keilmuan dan idea.
Tinjauan ke atas iltizam universiti
Ketika Prof John Henry Newman merasmikan kampus University College Dublin (UCD) yang bersejarah itu, beliau telah menyampaikan syarahannya yang dikompilasikan dalam penerbitan tahun 1873 yang berjudul The Idea of a University.
Syarahan ini dianggap sebagai sebuah autoriti dalam memahami apakah iltizam sebuah universiti diwujudkan. Menerusi syarahan tersebut juga, kita tahu bahawa cita-cita besar di sebalik penubuhan UCD adalah untuk seolah-olah menjadi Oxford di Ireland, yang meletakkan asas pendidikan pada tradisi Katolik serta pengajian teologi Kristian sebagai bidang teras pengajiannya. Aspirasi Newman sesungguhnya merupakan sebuah cita-cita besar; selain menjadikan UCD sebagai pusat keilmuan pelbagai bidang (biarpun selepas itu hanya sekolah perubatannya yang menyerlah), beliau juga menekankan akan hasrat universiti sebagai wadah pembentukan insan yang budiman.
Selain itu, hasrat sebuah universiti adalah sebagai pusat pembentukan akal budi (terjemahan dari bahasa Inggeris cultivation of the mind; saya mengelak daripada menggunakan perkataan minda untuk menafsir “mind” atas sebab semantik dan etimologi), bukan sekadar menghasilkan pekerja yang berguna untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi. Atas sebab itulah Newman merupakan antara pelopor pendidikan liberal (liberal education).
Memetik Newman: “Now this is what some great men are very slow to allow; they insist that education should be confined to some particular and narrow end, and should issue in some definite work, which can be weighed and measured. They argue as if every thing, as well as every person, had its price; and that where there has been a great outlay, they have a right to expect a return in kind. This they call making Education and Instruction ‘useful’, and ‘Utility’ becomes their watchword”.
Petikan di atas menerangkan kritikan Newman ke atas keghairahan dunia akademik pada waktu itu untuk menghasilkan manusia yang mempunyai nilai material, yakni melihat universiti hanya sebagai tempat latihan pekerja industri.
Untuk beliau, universiti seharusnya bergerak lebih jauh daripada hanya menyediakan manusia yang mampu menjana pulangan dari sudut material semata-mata seperti jurutera dan saintis.
Newman menyambung lagi: “With a fundamental principle of this nature, they very naturally go on to ask, what there is to show for the expense of a University; what is the real worth in the market of the article called ‘a Liberal Education’, on the supposition that it does not teach us definitely how to advance our manufactures, or to improve our lands, or to better our civil economy; or again, if it does not make this man a lawyer, that an engineer, and that a surgeon […]”.
Di sini, tampak jelas bahawa Newman tidak menggemari kecenderungan yang wujud pada zaman beliau, iaitu universiti hanya dilihat berperanan sebagai “kilang” menghasilkan pekerja semata-mata. Sebab itulah, beliau menggagaskan kemudiannya satu idea yang lebih besar, iaitu universiti sebagai hab pengembangan pengetahuan serta pembentukan akal budi manusia.
Sepanjang sejarah, kita melihat pelbagai perubahan dalam orientasi dan fungsi universiti. Kebanyakan universiti di negara maju, setelah melalui detik pasca-industrialisme, mula berubah orientasi subjeknya daripada hanya “berasaskan praktikal” (seperti menghasilkan jurutera yang mampu mengendalikan mesin di kilang) kepada kemunculan disiplin ilmunya sendiri.
Sebagai contoh, subjek antropologi yang pada mulanya merupakan kursus yang diajar untuk para pegawai kolonial, pada hari ini telah menjadi disiplin ilmu yang mampu berdiri sendiri. Begitu juga dengan subjek kesusasteraan dan sejarah. Namun, kita tidak berminat untuk menelusuri aspek sejarah intelektual dan perkembangan disiplin ilmu di sini. Cukuplah dengan sedikit latar belakang tentangnya.
Selain itu, pemerkasaan demokrasi juga dapat bermula dari dalam tembok universiti. Filasuf wanita Martha Nussbaum menerusi bukunya Not For Profit: Why Democracy Needs the Humanities berhujah bahawa pemerkasaan demokrasi akan berlaku seandainya pengajian bidang kemanusiaan diberi tempat yang sewajarnya disebabkan ciri subjek kemanusiaan yang berteraskan inkuiri kritis dan bebas terhadap idea-idea yang dibentangkan.
Kesemua ini lahir dan wujud di kuliah-kuliah universiti. Hal ini kemudiannya akan melahirkan individu yang bisa mempersoal secara kritis akan apa sahaja idea yang dibentangkan kepadanya. Oleh itu, adalah maha penting untuk ruang universiti (1) kekal bebas daripada pengaruh kuasa dan (2) meletakkan penekanan terhadap pengajian kemanusiaan seiring dengan pengajian subjek sains dan teknikal.
Maka, di sini dapatlah dilihat bahawa ruang inkuiri yang wujud di universiti, ditambah dengan kewujudan pengajian kemanusiaan sepatutnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa menyumbang ke arah mencerdikkan masyarakat seluruhnya, lantas memerkasakan demokrasi di sesebuah negara.
Prof Stefan Collini, sarjana sejarah intelektual dan kesusasteraan Inggeris di Universiti Cambridge juga berkali-kali menegaskan melalui buku beliau What Are Universities For?, bahawa universiti seharusnya menjadi satu ruang inkuiri bebas yang sentiasa dilindungi daripada pengaruh kuasa dan institusi kekuasaan (state institutions), contohnya institusi agama. Kesemua ini merupakan antara prasyarat untuk memungkinkan inovasi baharu yang akan meluaskan sempadan keilmuan yang bermanfaat untuk manusia sejagat.
Beliau juga merumuskan secara jelas akan cita-cita sebuah universiti melalui bab The Highest Aspirations and Ideals: Universities as a Public Good. Di sini, beliau menegaskan bahawa universiti berperanan penting sebagai institusi yang seharusnya menjadi penggerak keilmuan dalam masyarakat.
Mereka seharusnya berfokus kepada inovasi serta penerokaan ilmu baharu, bukan sekadar menjadi medium memindahkan ilmu daripada pensyarah kepada mahasiswa semata-mata. Selain menjadi medan untuk manusia menaiki tangga sosial melalui pendidikan tinggi, ia juga wajar menyedari peranan serta kemampuannya membentuk kebudayaan di tengah-tengah masyarakat.
Hal inilah yang sepatutnya disedari apabila universiti yang seharusnya menanam semangat perbahasan kritis dalam kalangan mahasiswa (yang kemudiannya akan bertanggungjawab dalam proses demokrasi) telah diturunkan martabatnya kepada hanya sebuah ‘medan memecahkan rekod’ yang sia-sia akhirnya.
Kesimpulan
Malaysia sedang menuju kematangan demokrasi. Hakikat ini dapat dilihat menerusi wacana umum berkaitan politik dan masa depan negara yang semakin rancak pasca-Reformasi dan PRU-12. Namun, antara masalah yang masih dihadapi oleh negara kita ialah ketandusan wacana yang berani memecahkan tembok sensitiviti — umpamanya dalam isu melibatkan hubungan kaum dan institusi raja-raja.
Contohnya, institusi raja bagaikan satu entiti sakral yang haram dipersoal dan disentuh, yang akhirnya mewujudkan pandangan umum yang seolah-olah menanggapi perbuatan mengkritik raja-raja sebagai satu “dosa”.
Di sinilah institusi ilmu seperti universiti sepatutnya memainkan peranannya. Universiti sebagai medan perkembangan ilmu sewajarnya menjadi antara pelopor kepada wacana yang bersifat kritis dan berani supaya masyarakat semakin terdidik, bukan semata-mata ghairah mencari rekod Malaysia sahaja.
Lebih memalukan, apabila ada universiti tempatan (yang diwara-warakan sebagai taman ilmu dan budi) yang dengan tidak semena-mena membatalkan program-program diskusi yang sedikit berani pada saat-saat akhir baru-baru ini.
Dengan jelasnya kita akan fungsi sebuah universiti yang bertanggungjawab menjadikan sebuah masyarakat lebih cerdik, maka adalah sungguh hina sekali untuk merendahkan martabat universiti dengan hanya mengejar pengiktirafan rekod Malaysia semata-mata. Bukan sesiapa pun yang merendahkan martabat sesebuah universiti, tetapi warganya sendirilah yang melakukannya.
Pernahkah kita persoalkan, setakat mana kualiti penyelidikan serta inovasi di universiti kita? Kala universiti di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan China berlumba-lumba menghasilkan penerima Hadiah Nobel, kita pula berlumba menghasilkan bendera terbesar daripada gumpalan kertas? - 22 September, 2013.
* Hazman Baharom merupakan mahasiswa di University of Manchester, UK. Juga merupakan salah seorang kru Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM).
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI


Sabtu, Oktober 05, 2013

MAHASISWA NAK AIR

4 Oktober 2013 – Kutipan tanda tangan untuk petisyen ‘Mahasiswa Nak Air’ daripada mahasiswa/i UKM merupakan tanda sokongan mahasiswa yang mahu isu air mempunyai absolute solution setelah berlanjutan bertahun lamanya. Sasaran dengan 1000 tanda tangan mahasiswa sebagai sokongan kepada petisyen ini berjaya dicapai. Berikutan daripada keberjayaan petisyen ini, PMUKM telah memulakan langkah yang seterusnya untuk membawa kepada pihak yang bertanggungjawab.

PMUKM bersama SUK Exco
Kerajaan Negeri Selangor.
MPP Mufaddal yang memimpin rombongan mahasiswa UKM telah membuat pertemuan dengan SUK Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor. MPP Mufaddal telah membuat perbincangan mengenai masalah air dan juga menyerahkan petisyen ‘Mahasiswa Nak Air’.

PMUKM di Puncak Niaga
Holdings BHD.
MPP Afifah pula telah mengetuai rombongan mahasiswa UKM, menyerahkan petisyen ‘Mahasiswa Nak Air’ dan meminta penjelasan mengenai masalah air daripada Puncak Niaga Holdings BHD. yang juga merupakan syarikat pembekal air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) SDN. BHD.

Kedua-dua pihak yang bertanggungjawab di atas telah memberi respon yang positif dan bersedia untuk memberi kerjasama dengan PMUKM dalam usaha menyelesaikan masalah air ini.

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI

Jumaat, Oktober 04, 2013

PETISYEN MAHASISWA NAK AIR

Petisyen Mahasiswa Nak Air.

3 Oktober 2013, UKM Bangi - PMUKM dengan kerjasama beberapa Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) telah berjaya mengumpulkan tanda tangan untuk petisyen daripada mahasiswa/i UKM agar menuntut isu air ini diselesaikan dengan segera. Sehingga hari ini, pihak PMUKM sudah menerima lebih 600 tanda tangan daripada mahasiswa/i UKM.

Petisyen ini membuktikan bahawa solidatiri mahasiswa UKM untuk mencari absolute solution terhadap masalah air yang berlanjutan bertahun lamanya. 

Ayuh mahasiswa/i semua bersama kami agar dapat mengumpul 1000 petisyen sebagai suara mahasiswa yang benar-benar mahukan isu air ini diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab dengan segera.

"MAHASISWA NAK AIR!"

AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI

Khamis, Oktober 03, 2013

PPPM: CIRI MURID YANG DIPERLUKAN

 PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan baru-baru ini memberikan penekanan tentang pentingnya setiap kanak-kanak menguasai literasi (celik ilmu) dan numerasi (celik angka).
Kemahiran asas ini adalah sangat penting bagi membolehkan disiplin ilmu yang pelbagai dikuasai secara menyeluruh dan tumpuan memperkasa kemahiran Sains dan Matematik dijadikan fokus.
Penyuburan dan pengukuhan ilmu pengetahuan dan kemahiran adalah penting bagi menyediakan murid dan pelajar yang mampu respons kepada tuntutan zaman yang pantas berubah, terutama faktor globalisasi yang sifatnya dinamik.
Dalam apa sistem pendidikan, faktor ilmu pengetahuan menjadi sesuatu yang amat utama. Kurikulum yang terbina harus sifatnya menyeluruh kerana proses pembentukan watak murid tidak saja sifatnya kognitif atau menyuburkan faktor akliah dan membolehkan murid berfikir dan menyerap ilmu dengan baik, tetapi dalam masa yang sama faktor afektif atau dalaman diri murid harus dibina sama.
Pendidikan bukan sekadar suatu proses pemindahan maklumat dan kemahiran daripada guru kepada murid, tetapi suatu proses transformasi terhadap sikap, pekerti dan watak. Ilmu yang benar dan bermanfaat membentuk akal dan hati supaya pendidikan menjadikan mereka beradab.
PPPM yang dilatari oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin menjadikan murid memiliki peribadi seimbang dan harmonis. Justeru, terbinanya asas literasi dan numerasi yang baik di kalangan murid membolehkan persiapan yang baik terjadi bagi menghadapi cabaran alaf 21.
Cabaran alaf 21 memperlihatkan sifat ilmu pengetahuan yang berkembang dan cabaran membangun watak yang seimbang terjadi. Amat perlu pengajaran literasi mengenai bahasa, sejarah, geografi diberikan asas etika supaya integrasi nilai berlaku. Sifat ilmu yang sepadu tautannya ialah kepada nilai (value-laden). Nilai adalah ukur tara yang memandu murid tentang baik-buruk akan sesuatu. Tanpa nilai pengajaran dan pembelajaran menjadi mekanistik.
Hatta pengajaran numerasi juga terkait dengan etika. Konsep hasaba, hisab dan muhasabah dalam tradisi Islam umpamanya memberikan asas ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti.
Asas ini boleh menjadi pedoman kepada murid supaya penguasaan kemahiran numerasi terbina atas asas nilai.
Hal yang sama terjadi kepada pengajaran sains dan teknologi.
Ia tidak saja ilmu yang mengkaji fenomena secara empiris dan uji kaji, tetapi terdapat hikmah di sebalik kajian yang dilakukan supaya sains terhubung dengan Penciptaan.
Teknologi selamanya alat bukannya matlamat. Sangat penting nilai guna dalam teknologi diajar supaya salah guna teknologi tidak berlaku. Di samping mempelajari teknologi tinggi (high-tech) akhirnya, para murid dan pelajar harus diberi kemahiran sentuhan keinsanan (high-touch) supaya teknologi itu disantuni secara manusiawi.
Proses transformasi ilmu pengetahuan harus seiring dengan asas-asas fundamental dalam pendidikan. Membangun potensi insani yang memberikan fokus kepada kekuatan akliah (kognitif), rohaniah (afektif) dan jasmaniah (psikomotor) menuntut keseimbangan terjadi.
Jika ini berlaku asas ketamadunan atau peradaban akan terjadi.
Ilmu pengetahuan yang benar dan bermanfaat memberi suluh kepada kehidupan murid. Harus ada tautan fikir dan hati supaya faktor amal menjadi lebih terarah.
Ilmu pengetahuan yang berorientasikan tamadun harus dijadikan fokus utama kerana maksud transformasi (tajdid) itu sendiri menuntut perubahan yang menyeluruh berlaku. Oleh itu pengetahuan yang diajar harus memberi kekuatan kepada murid atau pelajar untuk menghadapi cabaran terkini dan masa depan.
Dalam tradisi Islam umpamanya membangun ilmu mengurus diri yang berkaitan dengan etika dan akhlak adalah penting.
Dalam masa yang sama membangun ilmu mengurus sistem (Matematik dan Sains) adalah penting juga.
Kelemahan umat Islam kini ialah kerana produktiviti rohaniahnya relatif tinggi tetapi produktiviti amaliahnya relatif rendah. Ia menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain dan tidak menjadi penyumbang kepada kekuatan umat manusia.
Oleh itu fokus kepada literasi dan numerasi harus mampu mendidik murid memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang seimbang supaya jenis manusia yang dilahirkan mampu tidak saja menghadapi perkembangan pemikiran tetapi juga mampu menghadapi cabaran etika dan nilai yang lebih kompleks.






Prof Dr Sidek Baba



AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI