ISU Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam masyarakat negara ini dianggap sebagai isu yang minoriti dan dipandang sebelah mata sahaja oleh pihak tertentu kerana ketidakjelasan keperluan OKU yang akhirnya menjadikan tahap kesedaran masyarakat terhadap OKU dinegara ini masih rendah berbanding dengan negara-negara maju lain.
Baru-bari ini isu keengganan pusat zakat memberikan bantuan zakat kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan kebajikan OKU telah mendapat pelbagai reaksi dari semua pihak yang terlibat.
Bermula dengan pendedahan eksklusif dari NGO-NGO di dada akhbar Sinar Harian yang bertarikh 10 Ogos lalu melalui ruagan diskusi Isnin akhbar berkenaan sikap pusat zakat yang dilihat sebagai institusi Islam yang tidak proaktif untuk membantu NGO Islam membela nasib OKU di negara ini.
Selain itu, kepincangan yang berlaku terhadap pengurusan zakat negara ini sehinggakan wujud kritikan-kritikan kepada institusi agama. Kritikan yang diberikan dilihat berasas apabila institusi agama memberi layanan kurang mesra terhadap golongan OKU di negara ini.
Kritikan terhadap pengurusan institusi agama
Menurut Mohamad Faizal Che Yusof, Ahli Jawatankuasa Hak-Kak Asasi Manusia Majlis Peguam majlis agama lebih banyak menunggu OKU datang meminta bantuan berbanding mereka sendiri yang keluar mencari OKU. Kritikan ini dilihat seolah-olah pihak pengurusan agama terlalu eksklusif dalam menjalankan tugas kefungsian asal majlis agama sebagai badan yang menyebarkan agama Islam.
Lebih mengecewakan lagi apabila wujud di kalangan ahli agamawan sendiri mempunyai persepsi negatif terhadap OKU sehingga enggan memberikan peluang kepada mereka. Ini menjadikan OKU tidak mendapatkan tempat yang sesuai di kalangan agawan untuk berkhidmat.
Tambahan beliau, OKU Islam lebih banyak tercicir berbanding dengan OKU bukan Islam yang mendapat sokongan kuat institusi agama mereka. Ironinya institu agama di negara tidak proaktif untuk mengambil langkah mendekati golongan ini berbanding agama lain yang lebih turun mendekati golongan seperti ini.
Menurut beliau lagi, isu-isu berkaitan OKU ini tidak mendapat sambutan yang wajar dari ahli politik untuk dibawa keparlimen walhal isu-isu kebajikan OKU masih banyak tidak selesai sejak merdeka lagi.
OKU Islam lebih banyak tercicir berbanding dengan OKU bukan Islam yang mendapat sokongan kuat institusi agama mereka. (Sinar harian, 13 ogos, isnin, muka surat K6). Perkara ini dilihat turut selari dengan kenyataan Presiden Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (Orkids), Izhar Hadafi jabatan agama Islam sukar member bantuan kepada NGO OKU berbanding agama lain. (Sinar harian, 13 Ogos, muka surat K7).
Perkara ini juga turut dikritik oleh pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIA. Dr Maslee Malik, dengan menempelak institusi agama di negara ini dengan mengatakan isu OKU bagaikan tiada tempat dalam agenda Islam dan dakwah di Malaysia.
Kritikan ini diteruskan lagi dengan menyatakan asas utama berlakunya isu ini kerana institusi agama di negara ini tidak melihat diri mereka di dalam kerangka moden sebagai institusi bersifat “Rahmatan lil'alami” untuk menyebarkan nilai kebajikan, sebaliknya lebih menumpu soal hukum-hakam dan undang-undang.
Saya secara peribadi bersetuju dengan kenyataan Dr Maszlee Malik agar minda mereka yang mentadbir jabatan agama perlu diubah dan perlu melalui transformasi berteraskan ijtihad baru dan moden.
Kadang-kadang alasan “ketat” terhadap pandangan agama yang tidak diselarikan dengan fungsi asal institus agama perlu diterjemahkan dengan realiti masa dan ruh Islam itu sendiri supaya tidak dilihat Islam agama yang menzalimi penganutnya sedangkan Islam diturunkan sesuai dengan zaman dan sesuai kepada semua penganutnya tanpa ada sifat menindas.
Pandangan 'ralat' individu
Menelusuri komentar pelbagai pihak, dapat lihat wujud ketidak faham yang jelas terhadap pengagihan zakat terhadap OKU. Sewajarnya pihak berautoriti perlu lebih cermat apabila melontarkan pendapat berhubung dengan pelbagai perkara terutamanya berkaitan dengan hukum hakam.
Perkara utama perlu difahami ialah kedudukan OKU secara umum di dalam masyarakat. Menurut kajian yang dilakukan oleh Hasnah Toran terhadap pelajar kurang upaya berhubung dengan cabaran dan halangan, dapatan menunjukkan bahawa OKU memerlukan saran hidup yang tinggi berbanding dengan pelajar tipikal lain.
Selain itu, saya sendiri turut menjalankan temu bual secara langsung terhadap pelajar kurang upaya di sebuah universiti. Zakat mendapati bahawa sampel menyebut mereka memerlukan kos yang tinggi untuk mendapatkan sokongan pembelajaran berbanding pelajar tipikal lain dalam pembelajaran. Ini tidak termasuk dalam soal kos saran hidup yang tinggi dalam mengendalikan terapi-terapi tertentu lagi.
Jelas bahawa, OKU ini terdiri dari majoriti yang mempunyai keperluan yang lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan tipikal lain.
Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dalam responnya terhadap isi ini menyifatkan isu ini sebagai remeh yang boleh sahaja terus dipertimbangkan oleh majlis agama negeri dan mufti-mufti negeri.
Selain itu, beliau turut menyatakan tidak perlu menunggu sehingga ada fatwa kerana ini adalah perkara kecil. Lapan asnaf dalam zakat telah ditentukan oleh al-Quran dan hadis namun apa yang boleh dilakukan ialah mentafsirkan atau membuat perluasan ke atas asnaf berdasarkan keadaan serta perubahan semasa.
Pada saya, pendapat peribadi beliau dilihat wujud ralat dan tidak begitu serius memandang keinginan NGO-NGO yang membela golongan OKU, bahkan tidak menghayati kesusahan yang dialami oleh NGO yang membela golongan OKU dan OKU sendiri dalam memahami belenggu yang dilalui OKU.
Sewajarnya Majlis Fatwa Kebangsaan perlu memandang perkara ini secara lebih serius dalam usaha bersungguh institusi agama membela kebajikan golongan kurang upaya ini termasuk membincangkan kedudukan OKU dalam asnaf yang lebih tepat. Ini bagi mengelak berlaku ketidak selarian pendapat antara majlis agama di antara negeri-negeri di negara ini dalam pengagihan zakat kepada OKU.
Dr Maszlee Malik turut menyebut masalah OKU dan institusi agama Islam diburukkan lagi dengan kerenah birokrasi yang merencatkan dakwah Islam serta tidak berani membuat sesuatu fatwa ataupun keputusan dari badan penasihat syariah.
Perkara ini dilihat ada benarnya jika dirujuk kepada respons Mufti Negeri Selangor yang meminta persatuan atau badan yang menguruskan OKU Muslim di Selangor supaya mengemukakan hasrat melalui surat rasmi kepada pengurus Lembaga Zakat Selangor. (Sinar Harian, 14 Ogos).
Pun begitu, saya memuji tindakan ikhlas beliau membuka ruang berbincang berhubung perkara ini. Sekalipun begitu, saya lebih berminat terhadap gesaan Mursyid supaya jawatankuasa fatwa di peringkat kebangsaan perlu segera bersidang menentukan kedudukan asnaf tanpa perlu menunggu permohonan dari persatuan atau badan-badan bukan kerajaan yang mengendalikan OKU ini.
Relevan pengagihan zakat kepada OKU
Kenyataan Pengerusi Persatuan Autism Muslim Malaysia, Zamri Tembol terhadap anak-anak istimewa yang memerlukan penjagaan sepanjang hayat perlu diambil perhatian yang serius oleh pihak yang berwajib dalam menentu kedudukan OKU dalam asnaf zakat yang bersesuaian.
Selain itu, beliau turut menyatakan keperluan kanak-kanak istimewa yang perlu menjalani latihan terapi sekerap mungkin tetapi mempunyai kekurangan pakar dihospital kerajaan menyukarkan perkara itu. Kosnya mencecah ratusan ribu setiap sesi dan ini membebankan ibu bapa.
Dalam menjawab kedudukan OKU dalam asnaf pengagihan zakat, Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Dan Sains Kemanusian UIAM, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, pengagihan zakat boleh diberikan kepada ( individu ) OKU yang miskin dan fakir sahaja. Bagi jangka masa panjang kerajaan perlu mengadakan insurans.
Jika mahu pihak zakat menyalurkan bantuan terus kepada badan yang menguruskan golongan istimewa ini menerusi mana-mana lapan dari asnaf sedia ada, tidak relenens kerana bukan semua ahli mereka terdiri daripada fakir atau miskin malah bukan juga golongan yang berjuangkan ke jalan ALLAH.
Kenyataan ini saya fikir lebih kepada tidak memahami kedudukan OKU secara umum dan dilihat mengambil langkah “menyukarkan” berbanding mencari jalan memudahkan pemberian kepada OKU dengan mempertimbangkan kewajaran yang secara realiti berlaku terhadap OKU seperti yang dikemukakan oleh Saudara Zamri Tembol.
Seharusnya, pertimbangan terhadap tafsiran asnaf fisabilillah, fakir, miskin dan Ar-Riqab untuk memberi nilai kebajikan terhadap OKU. Pandangan beliau yang lebih tertumpu kepada individu berbanding OKU secara lebih besar adalah lebih releven.
Hal demikian juga turut selari dengan pandangan Timbalan Presiden Darul Fitrah Dan Pendakwah Di K-Fiqh , Abdul Naser Abdul Rahman bahawa OKU layak dimasukkan di dalam asnaf fisabilillah dilihat sebagai releven. oku golongan yang perlu di bantu. Jika mereka memberi bantuan secara perseorangan atas sebab miskin atau fakir untuk jangka masa panjang ia tidak membantu.
Ditegaskan oleh Pengerusi Multaqa Asatiah & Du’at, Dr Zaharuddin Abdul Rahman bahawa sekiranya ada pihak mempersoalkan pemberian zakat berhubung isu kaya atau miskin seseorang OKU yang bernaung di dalam pertubuhan. Itu bukan masalah rumit,
“kalau seseorang OKU itu kaya sekalipun, zakat tetap boleh diberikan atas alasan fisabilillah . Telah menjadi perkara yang dipersetujui ulama silam dan kontemporari, bajet fisabilillah boleh diagihkan kepada orang yang kaya sedang menyebar dan mempertahankan Islam”.
Pendapat Dr Zaharuddin iaitu memasukkan OKU ke dalam asnaf Ar-Riqab (hamba) juga adalah releven. Penjelasan asal konsep ini adalah memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal seperti terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu. OKU dilihat sebagai golongan yang telah terbelenggu dengan keadaan diri mereka.bukan pilihan mereka dalam banyak keadaan.
Saya tertarik dengan hujah beliau dengan mengemukan dalil hadis Nabi SAW yang bermaksud, “tidak halal sedekah atau zakat kepada orang kaya atau orang yang tidak cacat”. Secara mudah untuk difahami bahawa zakat adalah khas kepada orang miskin serta cacat dan rasionalnya,golongan OKU mengalami kesusahan hidup berganda berbanding dengan tipikal. (Sinar harian, 13 Ogos).
Nada yang hampir sama juga turut diberikan oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang turut mengesyorkan agar golongan OKU perlu dibantu daripada awal kerana kesukaran untuk berdikari pada masa depan. Beliau berpandangan selain asnaf fisabilillah, asnaf riqab juga boleh dipertimbangkan untuk golongan OKU ini.
Manakala Mufti Kedah, Datuk Seikh Muhamad Baderudin Ahmad turut menyokong pemberian zakat kepada OKU Muslim yang berjuang di jalan ALLAH seperti mengajar kelas al-Quran atau kelas agama boleh disenaraikan di bawah asnaf fisabilillah.
Secara panjang lebar telah saya kemukan hujah-hujah ahli-ahli berautoriti dan ahli akademik berkaitan dengan kerelevan pengagihan zakat kepada OKU. Tuntasnya, jelas lagi bersuluh dalam hal ini, bukan soal meletakkan OKU dalam kumpulan asnaf yang mana satu yang perlu dibincangkan secara panjang lebar tetapi secara prinsipnya golongan OKU layak diberikan zakat secara dalil mahupun pentafsiran terhadap asnaf yang sedia ada dan perkara ini perlu dipermudahkan oleh pihak pengurusan zakat.
Seruan mahasiswa OKU
Secara ringkasnya perkara ini perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak:
i. Secara rasionalnya isu layak atau tidak OKU tergolong dalam asnaf ini perlu dibincangkan secara serius oleh majlis fatwa kebangsaan dan bukannya kenyataan yang bersifat individu di media-media.
ii. Institusi agama perlu ditransformasikan gerak kerja pengurusan supaya tidak dilihat terlalu eksklusif yang mahukan orang-orang yang susah mencari mereka berbanding institusi agama sendiri mengambil inisiatif proaktif dengan mengambil langkah mendekati golongan yang memerlukan bantuan.
iii. Ahli politk sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang perlu lebih bersungguh dalam membela OKU di negara ini dan tidak bersifat keuntungan politik baru mahu membela OKU.
iv. Masyarakat perlu memahami keperluan, kebajikan dan hak-hak OKU seperti yang terkandung di dalam Akta OKU 2008, khususnya perkara bahagian IV Akta OKU.
Semoga ada sinar yang baik berhubung dengan perkara ini sempena sambutan Aidilfitri. Selamat Hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam
* Mohd Abdullah Mohamed Yusoff, bekas Pengerusi Kelab Mahasiswa Istimewa UKM dan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar serta Pengerusi Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan Mahasiswa Kurang Upaya.
Sumber asal dipetik dari :
1 . http://www.sinarharian.com.my/rencana/zakat-satu-harapan-mahasiswa-oku-1.77779
1 . http://www.sinarharian.com.my/rencana/zakat-satu-harapan-mahasiswa-oku-1.77779