PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Sabtu, Mei 29, 2010

PERASMIAN MMTK 2010 DAN PENGENALAN MPP PERUBATAN SESI 2009/2010

SUMBER : Dr-Mahasiswa


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera daripada MPP anda!

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaan dan kelancaran program Perasmian Minggu Mesra Tahun Klinikal pada malam 28 Mei 2010 bertempat di Auditorium PPUKM. Jutaan terima kasih buat para tetamu VIP iaitu Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy selaku Timbalan Dekan (Pengajian Pra Siswazah dan Hubungan Masyarakat) Fakulti Perubatan UKM, saudara Mohamad Azizuddin Fahmi Bin Nordin selaku YDP PERSIAP, saudara Mohamad Hafizzudin Bin Mohame Tahir selaku YDP JAKSA KTDI, saudara Syukri Hasim selaku Naib YDP JAKSA KTDI, dan semestinya para pelajar tahun 3 yang menghadirkan diri. Terima kasih juga buat 'senior' yang sudi hadir memeriahkan majlis. Setinggi-tinggi tahniah buat organisasi yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut.

Program bermula pada jam 8.30 malam dan dirasmikan oleh bonda Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy. Beliau titipkan mutiara kata yang sangat berharga tentang kepentingan untuk melatih diri bersifat rendah diri dan tidak suka menunjuk-nunjuk di samping bersungguh-sungguh menimba ilmu sepanjang pengajian untuk bergelar doktor perubatan.

MPP Fakulti Perubatan, saudari Farih Najihah Hashim turut berucap dengan menyuarakan harapan agar warga baru PPUKM yakni mahasiswa perubatan tahun 3 akan terus bersemangat melibatkan diri dalam program sepanjang MMTK dan program-program anjuran badan-badan organisasi pelajar yang akan datang sebagai sokongan terhadap usaha murni untuk kebaikan bersama.

Hadirin turut diceriakan dengan gimik perasmian yang sesuai dengan tema orientasi kali ini iaitu "Menerokai Gerbang Klinikal". Prof. Dr. Zaleha menggunting riben perasmian serta menyarungkan 'white coat' kepada pelajar tahun 3 yang melangkah ke pintu gerbang sebagai simbolik tema minggu orientasi kali ini.

Setelah Prof. Dr. Zaleha diiringi tetamu-tetamu VIP beredar untuk majlis jamuan, acara malam tersebut diikuti oleh program pengenalan MPP dan sesi ramah mesra yang mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar tahun 3. Penekanan diberikan terhadap Kempen 'Saya Mahasiswa Prihatin' yang merangkumi pendedahan tentang prosedur memohon bantuan Tabung Kebajikan UKM untuk membantu para pelajar yang memerlukan. MPP Umum, Alia Suzana Asri menegaskan jika bukan kita yang ditimpa musibah, maka jangan diabaikan rakan-rakan yang dalam kesusahan, pastikan kita berusaha membantu mereka sedaya mungkin dengan menggunakan saluran yang betul.

MPP juga mengajak adik-adik tahun 3 untuk sama-sama rmenyaksikan 'warna sebenar' doktor-doktor atau guru-guru yang dianggap 'garang'. Hakikatnya, mereka menanti para pelajar untuk mencurahkan ilmu mereka dengan harapan para pelajar mampu menjadi doktor yang cemerlang kelak. Akhirnya, program ringkas dan padat tersebut melabuhkan tirainya pada jam 10 malam.

Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda semua. Harapan kami agar anda aktif memberikan masukan yang membina untuk kesejahteraan bersama. Suara anda, tetap menjadi keutamaan kami kerana kami juga mahasiswa yang sama-sama mengejar kejayaan yang diimpikan. Semoga program yang telah dijalankan memberi manfaat buat semua dan mendapat redha Allah subhanahu wataala.


Selamat Menerokai Gerbang Klinikal!



"SUARA ANDA KEUTAMAAN KAMI"
IKHLAS dari KAMI MPP FAKULTI PERUBATAN

~ALIA~FARIH~NASIHA~

Selasa, Mei 25, 2010

KENYATAAN RASMI MEDIA GMUKM TERHADAP PENAHANAN 4 MAHASISWA UKM

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini.

Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu.

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud;

"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".

Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik. Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar.

Dalam sidang media baru-baru ini, Muhammad Hilman selaku Presiden Kelab Sains Politik telah menegaskan bahawa penahan beliau bersama tiga orang yang lain adalah sangat tidak munasabah bagi mereka yang mendalami jurusan Sains Politik.

“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku,"
kata Muhammad Hilman Idham

Dakwaan ‘
menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.

AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.

“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengerusi GMUKM

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.


Justeru itu, GMUKM menggesa;
1. pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menarik balik semua pertuduhan dan prosiding yang bakal dijalankan ke atas empat orang mahasiswa Sains Politik berkenaan.

2. pihak pentadbiran universiti di Malaysia tidak menyekat dan menakut-nakutkan seluruh persatuan mahasiswa dan ahli persatuan dengan menyatakan bahawa tindakan tatatertib akan diambil ke atas mahasiswa sekiranya mereka lantang menyuarakan hak dan pandangan masing-masing kerana hal ini jelas menyanggahi saranan
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 21 Mei 2010 yang lalu; yang antara lain menyebut pihak IPTA seharusnya mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya mahasiswa tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, demi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan pelajar.

4. Pihak kerajaan Malaysia mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh para mahasiswa selaku orang muda dalam menghidupkan sesebuah kelompok masyarakat negara pada hari ini. Tindakan menyekat dan menakut-nakutkan golongan ini akan membantutkan pertumbuhan dan pembinaan bakal para pemimpin negara yang berkualiti dan berfikiran kritis.

*Kenyataan media, Pimpinan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)

Pengerusi GMUKM : Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU : Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI : Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN : Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS : Nabilah Binti Mohd Maiyidin

Isnin, Mei 24, 2010

Memorandum kepada SUHAKAM: Gugurkan kes AUKU 4 Siswa UKM

PENDAHULUAN

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Perlimen Hulu Selangor.

Turut ditahan bersama mereka adalah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van). Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen. Kemudian pada 23 April 2010, sekitar jam 10 malam, Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah empat orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.

Atas kejadian ini, keempat-empat mahasiswa ini akan di dakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi :

15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap-

a. Mana-mana parti politik sama ada di ada di dalam atau di luar Malaysia.

Walau bagaimanapun, keempat-empat mereka akan didakwa pada tarikh yang berbeza. Hilman Idham akan didakwa pada 2 Jun 2010 manakala yang lain akan didakwa pada 3 Jun 2010, pada jam 9 pagi di Bilik Mesyuarat Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori UKM.

KEBEBASAN BERSUARA MAHASISWA

Tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap empat orang mahasiswa ini jelas mencabuli hak mahasiswa. Selain itu, tindakan tersebut juga tidak mencerminkan kebebasan akademik oleh universiti. Universiti sepatutnya mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan keadaan konduksif yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam lapangan bidang yang mahasiswa pilih di universiti.

Universiti juga perlu menggalakkan mahasiswa-mahasiswa menglibatkan diri secara aktif lapangan yang merangsang pemikiran mahasiswa. Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak seharusnya mengehadkan sebarang aktivism mahasiswa atas alasan berunsurkan politik. Sebaliknya, pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa berkomunikasi dan berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan ideologi dan ini merupakan entiti mahasiswa selaku 3 force dalam masyarakat. Dengan menghadkan penglibatan mahasiswa dan mengenakan tindakan AUKU sebegini, jelas memberikan kesan yang buruk terhadap kredibiliti universiti.

KEBEBASAN AKADEMIK DISEKAT

Kita juga kesal dan hampa dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengorientasikan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik kuliah. Ini jelas ditunjukkan oleh HEP UKM yang mendakwa pelajar ini sedangkan pelajar yang dituduh adalah Mahasiswa Jurusan Sains Politik, UKM.

SMM merasa kecewa kerana mahasiswa yang mengambil jurusan Sains Politik sendiri tidak dibenarkan dan hadir untuk menyaksikan pilihan raya untuk pengaplikasian dan memperkukuhkan pemahaman di dalam kos yang mereka ambil dan ini jelas bertentangan dengan hak dan kebebasan akademik mahasiswa itu sendiri.

Jika mahasiswa disekat dengan sebegini rupa, bagaimana daya keintelektualan dan pengembangan akademik dapat diterapkan dan sekaligus memacu pemahaman yang berkesan di dalam sesuatu bidang yang diambil oleh mahasiswa. Tambahan pula, tindakan ini juga telah mencacatkan penjenamaan UKM sebagai universiti penyelidikan.

SMM DESAK GUGUR PERTUDUHAN

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan front-front mahasiswa yang lain dengan lantang mendesak agar pihak Hal Ehwal Pelajar UKM menarik balik segala pertuduhan yang dikenakan ke atas pelajar yang berkenaan kerana telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik dan hak dan kebebasan untuk bergerak selaku warganegara di Malaysia ini.

Seluruh mahasiswa mengutuk tindakan HEP UKM yang dengan sengaja dan tidak bertanggungjawab cuba untuk menakut-nakutkan mahasiswa dengan peraturan dan tindakan yang jauh menyimpang dengan nilai intelektual yang seharusnya diterapkan oleh pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

TUNTUTAN MAHASISWA

Justeru itu, mahasisswa berpendirian bahawa beberapa tuntutan dan perubahan harus dilaksanakan dengan kadar segera, iaitu;

1. Membatalkan semua tuduhan dan tindakan tatatertib terhadap empat orang mahasiswa serta-merta dan tanpa sebarang syarat.

2.Menghormati autonomi mahasiswa dalam dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.

3.Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia.

4. Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Justeru, Mahasiswa pada hari ini menggesa agar memorandum ini dapat diambil perhatian dengan sewajarnya oleh pihak SUHAKAM untuk diketengahkan dan dibincangkan dari sudut undang-undang dan hak asasi manusia dan tidak ditolak mentah-mentah.

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.

Mahasiswa menaruh harapan yang besar kepada pihak SUHAKAM bagi membawa tuntutan dan pendirian ini kepada pihak kerajaan. Kerjasama dan perhatian segera dalam perkara ini sangatlah kami hargai.

PENUTUP

Di peringkat mahasiswa, kita akan melancarkan segala bentuk strategi dan cuba untuk meraih sokongan dari dalam dan luar negara Malaysia berkenaan dengan tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar UKM. SMM secara konsisten akan terus membantu dan menyokong penuh perjuangan membela empat orang mahasiswa ini. SMM juga akan melakukan mobilasi untuk menghimpunkan mahasiswa sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berlangsung.

Kita yakin bahawa teman-teman kita yang akan didakwa ini telah bersedia untuk berhadapan dengan kes ini. SMM juga dengan ini menyeru seluruh pergerakan mahasiswa dan anak muda termasuk seluruh Persatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti di Malaysia untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing berhubung kes pendakwaan ini.

*Disediakan oleh SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM).

Sabtu, Mei 22, 2010

'Boleh kritik di Sudut Pidato'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan tiada tindakan akan diambil terhadap mahasiswa yang memberikan pandangan kritis, termasuk mengkritik dasar kerajaan atau universiti, ketika berpidato di Sudut Pidato institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa sekali pun berbeza dengan dasar harus dihormati kerana mereka mungkin ada pertimbangan dan rasional tersendiri dalam menilai suatu perkara atau isu.

Justeru, beliau mengingatkan pihak universiti tidak bersikap terlalu `keras’ dalam membuka peluang berpidato itu dan jangan sewenang-wenang mengenakan tindakan tata tertib serta melabel mahasiswa yang meluahkan pandangan berbeza sebagai golongan berhaluan kiri mahu pun antikerajaan.

“Saya memberi jaminan pihak universiti tidak akan, malah mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan, selagi mahasiswa yang berpidato tiada melakukan perbuatan menghasut yang jelas melanggar undang-undang.

“Kita mesti menghidupkan budaya berfikiran kritis di kampus, satu daripada tujuh kemahiran insaniah yang penting untuk dikuasai oleh mahasiswa sebagai pemimpin pelapis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kebimbangan dikenakan tindakan oleh pihak universiti dan tidak berminat berpidato adalah antara sebab Sudut Pidato di IPTA mendapat sambutan dingin mahasiswa.

Perkara itu didedahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mendakwa pihak Hal-Ehwal Pelajar (HEP) IPTA juga akan menganggap mahasiswa yang berpidato isu sensitif sebagai penyokong pembangkang.

Dalam konteks ini, Saifuddin turut menasihatkan pihak universiti tidak mengenakan pelbagai syarat yang boleh menyebabkan mahasiswa berasa dikekang untuk berpidato.

Sebagai contoh, beliau berkata, universiti tertentu mensyaratkan mahasiswa mendaftar diri, malah ada yang meminta teks ucapan untuk tujuan saringan, sebelum mereka dibenar menggunakan Sudut Pidato.

“Semua ini tidak perlu, sebaliknya pihak universiti harus memberi sedikit kepercayaan bahawa mahasiswa akan bertanggungjawab (ketika berpidato).

Mahasiswa boleh mengeluarkan pandangan berbeza dan pendapat mereka itu boleh dibalas balik oleh mahasiswa lain yang tidak bersetuju melalui pentas Sudut Pidato,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat untuk mengeluarkan pekeliling khusus atau mengadakan perjumpaan khas dengan IPTA sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mahasiswa dan pentadbir universiti selaras kuasa autonomi yang diberikan.

BH Online

Sudut Pidato: IPTA Diminta Jangan Terlalu Cepat Menghukum

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini diminta agar tidak terlalu cepat menghukum pelajar yang mengutarakan pendapat berbeza di Sudut Pidato yang disediakan di IPTA masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata IPTA sebaliknya harus mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya mahasiswa tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, bagi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan pelajar.

"Saya nak ingatkan supaya sekiranya dalam Sudut Pidato itu pelajar menyuarakan sesuatu yang dianggap bertentangan atau berlainan jangan hukum. Kalau dia salah betulkan dengan cara yang bijaksana.

"Kalau kita mula menghukum siapa pun tak nak pergi ke Sudut Pidato, jadi menghukum itu harus menjadi tindakan yang akhir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Antarabangsa Taj, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Jumaat.

Saifuddin sebelum ini menyuarakan kekecewaan apabila Sudut Pidato yang disediakan di IPTA tidak mendapat sambutan. Antara sebab yang dikenal pasti ialah kebimbangan dikenakan hukuman sekiranya meluahkan pendapat berbeza dengan arus perdana.

Saifuddin berkata dunia akademik adalah dunia pemikiran kritis, justeru kementerian mahu mahasiswa mempunyai pemikiran kritis itu di dalam dan luar kuliah.

"Kita jangan cepat sangat melabelkan mereka sebagai pembangkang atau penentang. Ada masanya tak betul pun sebab mereka bukan pembangkang atau penentang sebaliknya cuma berbeza pandangan, mungkin kerana dia memang ada idea yang berbeza atau mungkin kerana dia tak dapat maklumat sebenar.

"Jadi lebih baik diluahkan pandangan yang berbeza itu di dalam kampus, kalau salah boleh dibetulkan, daripada dia pendam dan kita pun tak tahu apa yang dia fikirkan," katanya.

Saifuddin berkata promosi juga perlu dilakukan bagi memastikan pelajar tahu mengenai acara itu.

Sementara itu Saifuddin berkata pihak swasta disaran agar tidak hanya tertumpu ke kawasan Lembah Klang bagi mewujudkan institusi pengajian tinggi, malah turut melebarkan sayap mereka ke kawasan lain di seluruh negara.



-- BERNAMA