Selasa, Julai 08, 2014

ISU ANTARABANGSA : CHINA LARANG MUSLIM BERPUASA

8 Julai 2014, UKM Bangi - Setiap manusia mempunyai pegangan agama yang tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing. Menyekat sesetengah masyarakat yang hidup dalam pelbagai kaum untuk mengamalkan agama yang telah dipercayai adalah satu perkara yang tidak semestinya berlaku dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.


Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang sangat mulia bagi umat Islam. Pada bulan ini juga Umat Islam diwajibkan untuk menunaikan Ibadat Puasa sebagaimana firman Allah SWT : 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.


(Surah al-Baqarah: 183)


Selaku mahasiswa, saya amat kecewa apabila mendengar masalah yang dihadapi oleh umat Islam yang tinggal di Xinjiang. Mereka telah dihalang untuk melakukan ibadah puasa oleh pihak pemerintah. Peristiwa ini secara tidak langsung menunjukkan satu ancaman dan sekatan secara terbuka bagi menyekat kebebasan beragama dalam masayarakat majmuk. Walaupun umat Islam disana merupakan golongan minoriti namun jangan sesekali menyekat umat Islam untuk mengamalkan Ibadat yang telah diperintahkan oleh agama mereka. Sesungguhnya Islam itu tidak menyekat mana-mana agama untuk mengamalkan ibadat mengikut kefahaman masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan didalam pemerintahan Rasulullah SAW.


Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ


Maksudnya: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, dan puasa di bulan Ramadhan.”


Kepada seluruh Mahasiswa/I UKM marilah sama-sama kita mendoakan semoga umat Islam di Xinjiang dapat melaksanakan ibadah puasa sebagaimana yang kita lakukan di bumi yang tercinta ini.



Muhammad 'Ammar Bin Azlan
MPP Fakulti Pengajian Islam
Speaker PMUKM Sesi 13/14







*****

8 Julai 2014, UKM Bangi - Kebebasan beragama merupakan salah satu hak asasi manusia yang sepatutnya dihormati oleh pihak kerajaan tidak kira apa jua pegangan politik kerajaan tersebut. Rakyat jelata sepatutnya mempunyai kebebasan untuk mengamalkan ajaran-ajaran agama yang dianuti tanpa diganggu pihak pemerintah sekiranya tidak menjejaskan ketenteraman masyarakat. 


Kebelakangan ini, kita mendapat tahu bahawa kerajaan China telah melarang golongan Muslim di Xinjiang untuk berpuasa sebagaimana yang diajar oleh rukun Islam selama ini. Tindakan ini merupakan sejenis diskriminasi kepada golongan minority Islam di negeri China dan dilakukan secara sengaja. Penindasan terhadap kebebasan mengamalkan ajaran agama ini turut mengancam hak yang patut dinikmati oleh rakyat China. 


Bagi pendirian Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, kami dengan tegasnya membidas tindakan kerajaan negeri China yang begitu tidak sensitif kepada pegangan agama penganut agama Islam di Xinjiang dan sikap mereka yang tidak menghormati kepada amalan golongan tersebut. Kami turut menyeru mahasiswa mahasiswi sekalian untuk bersolidariti dan menyokong golongan tersebut yang ditindas oleh kerajaan China. 


Adalah penting untuk kita sebagai mahasiswa untuk mengambil berat dan peka terhadap isu antarabangsa selain fokus kepada isu yang berlaku dalam negara kita. Isu ini sedikit sebanyak juga telah mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan harian dengan rakyat kita yang berbilang kaum dan agama. 


Kita semua bersaudara, kita sekeluarga.





Jason Ng Thien Yeong
MPP Fakulti Undang-undang
Biro Sukan dan Kebudayaan PMUKM Sesi 13/14

::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::