Sabtu, Januari 18, 2014

JALINAN KERJASAMA : PENGIKTIRAFAN KEPIMPINAN PMUKM



17 Januari 2014, UKM Bangi - Satu perjumpaan diantara Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama- sama Majlis Perwakilan Pelajar, Darul Quran (MPP DQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah diadakan dengan jayanya. Perjumpaan tersebut merupakan satu “benchmarking” daripada MPP DQ terhadap PMUKM berkenaan pembawaan PMUKM sepanjang sesi 2013/2014.

Perjumpaan dimulakan dengan sesi memperkenalkan diri diantara PMUKM dan MPP DQ, seterusnya YDP PMUKM, Saudara Mustapha Kamil Husen Abd Kadir memberi penjelasan  berkenaan sejarah dan latar belakang penubuhan PMUKM dan perubahan corak kepimpinan yang berlaku bermula dari tahun 1970 sehingga sekarang. Seterusnya YDP MPP DQ, Amirul Rahim menjelaskan agenda yang ingin dibincangkan termasuklah kaedah menguruskan ahli-ahli MPP, pengurusan kewangan dan kaedah menangani isu-isu mahasiswa/i.

Selain itu, pihak PMUKM turut memberi penerangan dan  sedikit nasihat kepada semua barisan MPP DQ agar memberi penekanan dan mendapatkan kefahaman yang jelas berkenaan  dasar atau pembawakan dalam gagasan yang mereka ingin bawa dalam sesi kepimpinan kali ini. Tambahan pula, mereka juga disarankan agar turut serta bersama-sama dalam isu masyarakat agar mereka turut cakna dalam hal kebajikan bukan hanya dalam kampus bahkan juga luar kampus. 

Barisan kepimpinan MPP DQ  turut menyatakan hasrat agar PMUKM mampu memberikan tunjuk ajar dan bantuan kepada mereka terutamanya dalam mengurus organisasi kepimpinan. PMUKM bersedia untuk menjadi “mentor” dan berharap kerjasama yang terjalin mampu menghasilkan feadah bersama.

PMUKM mengucapkan selamat maju jaya kepada MPP DQ.




::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::