Rabu, Januari 22, 2014

PENGANTARABANGSAAN : BERSAMA PIMPINAN MAHASISWA UNIVERSITI KYUNG-IL, KOREA

Sesi perkongsian ilmiah.
20 Januari 2014, UKM Bangi - Satu sesi perkongsian ilmiah di antara Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama wakil pimpinan mahasiswa Universiti Kyung-IL telah diadakan. Sesi perkongsian ini dikelolakan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa UKM (PHA UKM). Perkongsian ini juga dihadiri oleh Puan Noor Salini, wakil daripada Jabatan Pembangunan Pelajar (JPPeL), UKM.

Slot perkongsian dimulakan dengan ucapan alu-aluan JPPel dan pembentangan berkenaan sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, Pengurus Delegasi, Encik Ryu Jang-Ho menyatakan ribuan terima kasih kepada pihak UKM kerana sudi menerima kunjungan mereka. Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengetahui perlaksanaan pengajian bahasa di Malaysia untuk diguna pakai di Universiti Kyung-IL, dan berpendapat UKM merupakan universiti yang terbaik dalam bidang tersebut. Beliau turut berkata, kepimpinan mahasiswa di Universiti Kyung-IL juga ingin berkongsi dan mempelajari kepimpinan mahasiswa di UKM.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kyung-iL, Saudara Kim Gun-Oh berkongsi tentang pergerakan  persatuan mahasiswa disana. Beliau juga memberi penjelasan lanjut mengenai  aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan suasana pilihanraya kampus di sana. Seterusnya, Yang Dipertua PMUKM, Saudara Mustapha Kamil Husen dijemput untuk  berkongsi pembawaan PMUKM selama satu sesi, dan memberi penjelasan lanjut  tentang beberapa aktiviti yang telah berjaya diadakan. Pimpinan Mahasiswa Universiti Kyung-IL menyatakan pendirian bahawa penting untuk  mahasiswa terlibat sama dalam merespon isu-isu nasional selain aktif dan produktif dalam menyelesaikan isu mahasiswa di dalam kampus.

Hasil daripada perkongsian ini, PMUKM dapat menyimpulkan bahawa tidak berlaku jurang perbezaan  besar dalam konteks pembawaan pimpinan mahasiswa antara Universiti Kyung-iL dengan PMUKM. Semoga perkongsian ini dapat memberi impak yang positif untuk kedua-dua belah pihak. PMUKM mengucapkan selamat maju jaya buat delegasi Universiti Kyung-iL.




::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::