Isnin, Ogos 01, 2011

PMUKM Mohon Penjelasan Berkaitan Isu Pendidikan


Saudara Mohd Izzuddin bin Pisol, Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan, ditemani oleh Saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff, Timbalan Presiden PMUKM, Saudara Afham bin Nazmi, Yang Di Pertua  Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan (PENDIDIK), dan Saudara Ezuan Saad, Setiausaha Agung PMUKM telah menghantar surat mohon penjelasan lanjut kepada Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ).

Surat bertarikh 29 Julai 2011 dengan rujukan kami UKM 3.31/PMUKM1011/BKA/03 (11)/8 telah dihantar untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kekeliruan isu pelantikan Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ). Surat berkenaan telah dipanjangkan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Surat mohon penjelasan berkenaan juga turut diserahkan kepada Pejabat Menteri Pelajaran Malaysia dan Pejabat Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.


“Kami telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Pelajaran, Bahagian Sumber Manusia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan permohonan penempatan Guru Sandaran Terlatih ( GST ) yang tidak dibuku sehingga kini” Saudara Izzudin, Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan.

Surat ini dihantar ekoran susulan dari aduan bakal graduan Fakulti Pendidikan UKM, berkaitan permohonan penempatan Guru Sandaran Terlatih ( GST ) yang masih belum dibuka sehingga kini. Hal ini menjadi semakin keliru apabila Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Mohd Fuad Zarkashi menerusi surat khabar Berita Harian Online yang bertarikh 27 Julai 2011 menyatakan pihak kementerian menawarkan jawatan guru tetap kepada 13000 Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ).

“Selaku YDP PENDIDIK, saya mengharapkan supaya kekeliruan ini dapat dijawab dengan baik oleh pihak berwajib, dan kekeliruan ini suatu yang serius sebab melibatkan beribu bakal graduan pendidikan”Saudara Afham, YDP PENDIDIK

Pada masa yang sama, kerajaan telah menghantar surat pekeliling melalui surat Ruj.Fail.JPA.BPO ( S ) 7/13/4-2 Jld.3 ( 17 ) yang bertarikh 20 Mei 2011 yang bertajuk Pembekuan Pengambilan/Pengisian Jawatan dan Pemansuhan Jawatan Kosong Di Semua Kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri

Surat pekeliling ini dilihat tidak selari dengan apa yang dilaporkan dalam Berita Harian Online pada 27 Julai 2011, seperti yang disebutkan sebelum ini. Jadi, kami mohon penjelasan lebih lanjut atas kekeliruan yang berlaku ini. Selain itu juga, kami memohon tindakan yang lebih efektif terhadap laporan akhbar Berita Harian Online bertarikh 2 April 2011 berkenaan lambakan guru seramai 26000 dari opsyen Sains Dan Matematik.


“ ( kita telah bertemu ) tetapi kita hanya dapat bertemu dengan dua orang staff Bahagian Sumber Manusia KPM, dan dalam pertemuan kita tersebut pihak berkenaan tidak mampu memberi penjelasan dan mereka telah memaklumkan, hanya pegawai atasan yang lebih layak untuk memberi penjelasan tepat. Dalam pertemuan tersebut, kita tidak dapat berjumpa dengan Pegawai Atasan untuk mendapatkan penjelasan kerana dimaklumkan Pegawai berkenaan dalam mesyuarat dan kemungkinan mensyuarat berkenaan lewat tamat, insyaallah kita akan datang balik untuk mendapatkan penjelasan dari pegawai atasan” Timbalan Presiden PMUKM, Saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff.

Ini berikutan lebihan unjuran pengambilan dengan penempatan guru yang dikatakan tidak selari diantara kementerian pelajaran Malaysia dan kementerian pengajian tinggi. Walau apa sekali pun, PMUKM mengharapkan supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mampu memberi penjelasan yang baik tetapi bukan penjelasan yang bersifat defensif semata-mata. Perbincangan dan tindakan bersifat penyelesaian yang baik terhadap isu-isu yang dibangkitkan ini dapat dilakukan.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI