Ahad, Februari 06, 2011

Tunai amanah, elak kezaliman

Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, dan diekori oleh negara-negara Arab yang lain.

Kebangkitan rakyat di Tunisia menyebabkan pemerintahan Zei al-Abidin bin Ali berakhir. Rupanya tempoh puluhan tahun berkuasa bukannya disukai oleh rakyat, apa lagi kalau penuh dengan kezaliman, penindasan, rasuah, pengumpulan harta untuk sendiri dan rakyat dibiarkan melarat dalam segala segi. Semua yang sensitif dengan isu ini teruja-dalam dan luarnegeri, ulama, cendekiawan dan ahli politiknya, termasuk penyanyi seperti Maher Zain yang menukilkan kata-kata dari ahli puisi Tunisia:

When the People want freedom
Then fate has to listen
The dark night has to come to an end
And the chains have to be broken
(Aboulkacem Al-Chabbi, Tunisian poet)


REVOLUSI RAKYAT

Revolusi rakyat di Tunisia merebak ke Mesir. Pelajar di Mesir yang begitu ramai di sana bagaimana? Hosni Mubarak yang berusia 82 tahun telah memerintah Mesir begitu lama. Walaupun setiap kali pilihanraya Presiden dibuat beliaulah yang menang, tetapi hakikatnya ia tidak menggambarkan hasrat sebenar dan realiti rakyat.

Rakyat meluat dengan pemerintah yang hanya tahu menggunakan kuasa untuk mengumpulkan kekayaan negara untuk diri dan keluarga sendiri. Sabar rakyat ada hadnya. Air di empangan walaupun kelihatan lemah mengalir tetapi apabila sampai klimaksnya boleh memecahkan dinding empangan yang tebal itu.

Dikhabarkan keluarga Hosni Mubarak telah melarikan diri ke London dengan jet peribadi dengan membawa 97 buah beg besar. Maka apabila pemimpin negara jatuh, terbongkarlah segala aktiviti rasuah, penyelewengan dan harta peribadi yang dikumpul sepanjang pemerintahan. Mereka bukan menjadi negarawan tetapi lagak bangsawan yang meratah wang.
Petikan dari agensi berita lain :

Keluarga itu dikatakan menginap di rumah agam enam tingkat milik mereka bernilai £8.5 juta (RM41 juta) berdekatan pusat beli-belah terkemuka Harrods di Knightsbridge, barat London. Khabar angin turut bertiup kencang bahawa Mubarak dan isterinya, Suzanne, 69, bercadang ke London. Pengendali bagasi penerbangan Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow berkata Wanita Pertama negara itu, turut dilihat tiba di London. Mubarak dikatakan mempunyai aset £25 bilion (RM120 bilion) sejak berkuasa pada 1981. Suzanne, Gamal dan anak sulung Mubarak, Alaa, 49, menjadi simbol kekayaan dan rasuah di Mesir. Suzanne turut digelar Marie Antoinette kerana bersikap umpama ratu tersebut yang dipancung semasa zaman revolusi Perancis. Wanita Pertama Mesir itu turut memegang pasport Britain kerana ibunya, Lily May Palmer adalah wanita Inggeris dan bapanya berasal dari Mesir. Lily bekerja sebagai jururawat bertemu jodoh dengan pelajar perubatan dari Mesir, Saleh Thabet di utara London pada 1934. Mereka kemudian berpindah ke Mesir dan Suzanne dilahirkan pada 1941

Kalau ini benar maka inilah sebesar pengkhianatan pemimpin terhadap amanah memerintah negara. Sesiapa yang pernah pergi ke Mesir boleh melihat bagaimana rakyat Mesir yang menjadi buruh kasar membina bangunan itu kadang-kadang berdebu seluruh tubuhnya hanya kerana mencari rezeki secebis roti.


JANJI TUHAN PASTI BERLAKU

Nah! Tuhan telah tunjukkan kepada kita, Presiden yang kononnya sentiasa menang dalam pilihanraya Presiden itu akhirnya menjadi ‘pewaris’ kepada perangai Firaun dan Qarun. Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga negara yang bebas dan adil. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.

Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mempedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.

Janji Tuhan pasti berlaku.