Jumaat, November 19, 2010

17 ekor lembu korban Aidiladha UKM


BANGI, 19 Nov. 2010 – Sebanyak 17 ekor lembu dikorbankan mulai jam 7.00 pagi semalam, di Dataran Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini sempena Hari Raya Aidiladha.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Khairil Khuzairi Omar memberitahu 137 kakitangan UKM daripada pelbagai bahagian terlibat dalam menjayakan ibadah itu yang menjadi kemuncak sambutan Aidiladha di kampus Bangi.

Kerja-kerja penyembelihan, melapah dan mengagih berjalan lancar dengan penggemblengan kakitangan dibahagikan kepada sembilan AJK itu.

Bendahari UKM, Haji Mohd Abd Rashid Mohd Fadzil bertindak sebagai Pengerusi Majlis Korban dan Akikah.

Majlis Penyerahan Daging Qurban telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Seekor lembu korban telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan daging seekor lembu korban kemudian disumbangkan kepada mangsa banjir di Changloon, Kedah.

Majlis diakhiri dengan jamuan nasi serta lauk masakan daging korban dan akikah yang dihidangkan kepada tetamu jemputan, urusetia, peserta korban serta orang ramai.