Isnin, Mac 16, 2009

Nasional Iktiraf MPP Mahasiswa UKM

UNIVERSITI MALAYA, 15 Mac – Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Kerusi Umum, Saudara Hisyamuddin Che Ali telah dilantik sebagai Timbalan pengerusi Majlis Perundingan Mahasiswa Negara (MPMN) yang dilancarkan pada kelmarin.

Majlis Perundingan Mahasiswa Negara (MPMN) merupakan pertubuhan yang menggantikan Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), yang telah ditubuhkan pada tahun 1986 lalu hasil daripada idea Prof. Dr Zulkifli Yaakob. MPMN menjadi medan perhimpunan MPP universiti diseluruh negara dan menjadi medan berkumpulnya ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa yang mewakili Pro-Mahasiswa di seluruh negara iaitu kira-kira 92 orang atau 39 peratus daripada jumlah kesuluruhan MPP di Malaysia.

Tujuan penubuhan MPMN ini adalah untuk menjadi check and balance kepada mana-mana pihak di peringkat nasional dalam penyelesaian isu-isu mahasiswa di peringkat nasional antaranya isu AUKU, PTPTN, tambang bas eksepres, isu pengangguran dan isu-isu nasional lain.

Mesyuarat yang berlangsung di Universiti Malaya turut dihadiri oleh wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh kampus antaranya dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan beberapa universiti lain.


Dalam mesyuarat tersebut, Saudara Mohd Ridzuan Mohammad, Yang Di Pertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya(MPMUM) sesi 2008/09 telah dilantik sebagai Pengerusi MPMN manakala Saudari Nor Farhana Farzieana, daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik sebagai Setiausaha Agong.