PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Khamis, Mei 19, 2011

Kami Bangga Menjadi Warga UKM ! - MPMUKM

Bersempena Hari Ulangtahun ke-41 UKM semalam, krew blog PM-UKM sempat menemuramah beberapa orang MPP. Antaranya saudara Kamarul Hatem dari Fakulti Perubatan tahun 1. Beliau yang juga merupakan Timbalan Exco Biro Informasi & Penerangan PMUKM memaklumkan kepada kami bahawa beliau teruja dengan sambutan ke-41 UKM kali ini.

" Pada tahun lepas, saya masih belum (menjadi) warga UKM. Tetapi pada kali ini, biarpun sambutan 41 tahun UKM kali ini sudah berlangsung awal bulan ini, (tetapi) saya tetap merasai kehangatannya.

" Rangkaian sejarah UKM bagi saya ada signifikannya sendiri. Sejarahnya kalau kita kaji, (maka) kita akan teruja, bagaimana titik peluh orang terdahulu; hendak tegakkan sebuah universiti khas (bercorak) kebangsaan.

" Apa pun, saya mendoakan UKM akan terus kekal gemilang; kekal menghasilkan tenaga-tenaga kerja yang pakar untuk mengisi kemajuan negara hari ini, " ujar saudara Hatem.

Saudari Akma pula dari Fakulti Farmasi selaku ahli Biro Kebajikan & Aduan pula ketika ditemui sempat memetik ayat hikmah yang pernah diucapkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin Helmi; "dari robohnya Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka!"

" Saya selalu menjadikan kata-kata tersebut (sebagai) motivasi dan inspirasi kepada diri saya sendiri, (bahawa) tiada suatu yang mustahil untuk dilakukan (masa kini).

" Jika negara-negara luar berbangga dengan 'National University' masing-masing, (maka) apa kurangnya dengan UKM ?

" Siapa sangka hari ini kita mempunyai sebuah universiti yang menjadi rujukan negara-negara luar. Buktinya laman web (UKM) kita telah dilawati 3580 bandar daripada 182 buah negara mengikut kajian Google Analytics," komen panjang lebar saudari Akma.

" Di kesempatan ini, saya Nurul Akma binti Zulkifli ingin mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun ke-41 UKM. Semoga dengan usia ke-41 ini akan lebih memberikan motivasi buat kita semua warga UKM."

Krew PM-UKM sempat juga mendapatkan sedikit ulasan daripada MPP di UKM kampus induk di Bangi. Saudari Nur Azidah binti Mashan yang juga merupakan Bendahari Kehormat PMUKM sesi 2010-2011 ketika ditemui telah memberi ulasan, " Saya rasa sangat bertuah hari ini (kerana) menjadi warga UKM. Biarpun ketika hendak 'apply' masuk UPU (Unit Permohonan Universiti) dua tahun lalu, saya ragu-ragu untuk masuk UKM, tapi hari ini suka untuk saya katakan, saya rasa amat bertuah bergelar mahasiswa UKM.

" Hari ini, kalau hendak dibandingkan dengan universiti-universiti dan IPT-IPT lain sama ada di dalam atau luar negara, berani saya katakan bahawa tiada satu pun yang akan sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia.

" Dengan latar belakang sejarahnya; juga sistem pembelajaran yang mengekalkan elemen kebangsaan menjadikan saya lebih menghargai diri saya dan UKM.

" Jika sebelum ini saya tidak kisah akan jati diri saya, tetapi hari ini saya sudah jauh berbeza. Lebih menghargai dan menghayati serta berpegang teguh identiti diri saya sendiri."

Saudara Abdul Musyrif pula yang juga merupakan Exco Siswazah & Pengantarabangsaan PMUKM pula ketika mengulas ulangtahun UKM mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk merenung kembali kisah di sebalik kejayaan-kejayaan yang dikecapi UKM hari ini.

" Hari ini kita dapat lihat UKM kini memang sudah terkenal di mata masyarakat. Namun harus diingatkan, kejayaan-kejayaan tersebut bukan tercipta dalam tempoh yang singkat. Perit jerih orang terdahulu, kalau boleh saya petik daripada lagu 'Varsiti Kita', " Inilah Varsiti Kita,Ditengahkan hasrat rakyat kita, Dari mula untuk semua, Bagai tanda perjuangan kita.." sangat-sangat memberi kesan kepada kita kalau kita hayati betul-betul.

" Juga diselitkan bersama untuk penghayatan kita bersama bait-bait kata berkenaan 'keyword' Falfasah UKM iaitu, " Paduan ilmu dan keimanan, Amal dan jerih digabungkan, Lautan ilmu kita harumkan, Sumber ilmuan berkembangan.."

" Maka di sini, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada rakan-rakan untuk sama-sama kita 'menjaga' bersama UKM kita. 'Menjaga' ini dalam erti kata, kita sama-sama melakukan yang terbaik buat UKM kita ini. Jika perlu kita bergolok-bergadai, ayuh bersama-sama kita turun bergolok-bergadai. Jangan kita sia-siakan penat-jerih orang terdahulu, semata-mata kita menganggap UKM ini sekadar tempat kita mendapat 'degree' atau 'master' sahaja.

" Dan paling penting, selalu saya ingatkan kepada rakan-rakan, jangan 'lacuri' diri kita ini untuk nilai yang tidak seberapa, khususnya kita membuat masalah yang memburuk-burukkan nama varsiti kita ini, " ujar saudara Musyrif panjang lebar mengakhiri temubual.

Mengikut rekod jumlah enrolmen terkini di UKM adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar pascasiswazah. UKM kini memiliki dua orang Profesor Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan pentadbiran.

UKM juga selama 41 tahun ini telah melahirkan seramai 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah.

41 Tahun - UKM Menuju Kedewasaan

Oleh : Ahmad Muzzamil bin Muhd Hairi,   
Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) Sesi 2010-2011

Kiranya belum terlewat buat saya selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) ingin mengucapkan selamat ulangtahun kepada universiti tercinta kita, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini berada di gerbang usia 41 tahun pada hari ini.

41 tahun lalu UKM ditubuhkan. Dan dalam sela masa yang berlalu, di usia kedewasaan dan kematangan telah memperlihatkan pelbagai perubahan yang dilaksanakan demi memenuhi tuntutan semasa. Selaku bangsa Timur, perubahan bakal membawa ironi yang tersendiri kerana kita sudah terbiasa untuk mengekalkan tradisi terdahulu. Namun demi atas dasar keperluan mengembangkan lagi pengupayaan ilmu , telah banyak perubahan yang dilakukan oleh UKM sejak awal penubuhannya 41 tahun dahulu.


Warga UKM Warga Harmoni
Pada hari ini, jumlah enrolmen mengikut rekod adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar pascasiswazah. Suatu bukti yang jelas akan keupayaan UKM menjadi sebuah universiti besar  di mana masyarakat di luar sana ingin terus melihat, obor perjuangan yang dilhamkan berdekad-dekad dahulu terus memenuhi harapan mereka di bumi UKM.

Sesuai dengan motto Universiti, "Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan" UKM yang kini meniti usia  41 tahun, telah menghasilkan seramai 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah.  Suatu angka yang sangat membanggakan buat kita warga UKM hari ini.

PMUKM merakamkan setinggi-tinggi tanda hormat dan penghargaan yang tidak dapat dinilai kepada para pelopor dan pejuang sepanjang merintis, menubuh, membina dan mengisi kelangsungan legasi UKM; juga yang telah bersara daripada perkhidmatan di Universiti mahupun yang telah berpulang ke Rahmatullah. Sesungguhnya, bukan sedikit pengorbanan mereka. Jasa bakti mereka amat tidak ternilai untuk dicatat di nota kecil ini semata-mata.


Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan
Juga mengikut rekod terkini, UKM kini memiliki dua orang Profesor Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan pentadbiran, yang sebenarnya menjadikan UKM keluarga besar yang memiliki bakat pengetahuan yang amat bertuah.

Dengan tidak kurang hebatnya Pelan Transformasi UKM yang telah diilhamkan pasukan pentadbiran Universiti yang diketuai ibunda Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, secara ringkasnya meletakkan hasrat kita menjadikan UKM menjadi ikon identiti dan negara bangsa, bergerak sederap  seiringan dengan universiti-universiti kebangsaan lain di dunia.

Untuk makluman bersama, usaha tersebut telah memberi tumpuan kepada 8 nic penyelidikan yang strategik dan bersifat multidisplin dalam usaha mencapai hasrat murni tersebut. Kriteria pemilihan nic penyelidikan dibuat berasaskan kepada nic yang mampu menggembeling kekuatan dan menyatu padu pelbagai disiplin atau bidang yang sudah mantap atau bidang baru tetapi menjadi tujahan negara dan dunia.

Ayuh kita lihat pula pada lima (5) tonggak kecemerlangan institusi yang menjunjung motto “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan” UKM ini. Tonggak-tonggak tersebut adalah; (i) Governans berautonomi dan berakauntabiliti (ii) Kepemimpinan berkaliber melalui sistem pemilihan, pemupukan, penilaian dan pembaharuan (iii) Tenaga akademik berbudaya cemerlang dan bersikap profesional (iv) Sistem pengajaran dan pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global dan (v) Penyelidikan dan inovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat. Kelima-lima tonggak kecemerlangan institusi ini yang menjadi teras Universiti kita harus hadam untuk digarap dengan baik sebelum ia mampu diangkat tinggi ke mata dunia.


Peranan UKM masa kini
Memetik kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Syarahan Utama sempena ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-41 di UKM Bangi di awal bulan yang lalu. "Universiti mempunyai peranan bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya, tetapi graduan yang berbakat untuk negara yang disediakan dengan segala kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 ini, " maka di pihak Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengulangi sekali lagi intipati Ucapan Dasar Presiden PMUKM Sesi 2010-2011 semasa Majlis Penyampaian Watikah pada pertengahan bulan Mac yang lalu yang menyebut, "Mahasiswa sewajarnya berupaya untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran bagi menangani tuntutan dan cabaran semasa dan bukan sekadar menggunakan ilmu untuk mengisi jawapan di dalam kertas peperiksaan. Perubahan deras yang berlaku dalam dunia sains dan teknologi beserta perubahan pesat dalam urusan keilmuan dan tuntutan masyarakat menggesa supaya UKM menghasilkan graduan yang bukan sahaja berketrampilan dan dinamis, malah mempunyai keluwesan dan kecerdasan intelektual, boleh berfikir secara kritis dan lateral, berwibawa dan berupaya menggunakan imaginasi dan kefahamannya apabila diperlukan."

Kita juga mengulangi saranan di dalam Ucapan Dasar Presiden tersebut untuk menekankan konsep 'pembelajaran sepanjang hayat' dalam usaha membantu Universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat global. Maka, agenda penghakupayaan mahasiswa dalam pelbagai bidang sangat penting untuk ditekankan dan dibahaskan untuk diimplimen di segenap peringkat khususnya semasa kita masih di dalam kampus.

PMUKM juga sentiasa menyokong usaha pembelajaran berpusatkan pelajar atau 'student centered learning' kerana kita percaya perkongsian ilmu itu seharusnya bukan bersifat sehala sahaja tetapi bersifat dua hala. Nilai keintelektualan mahasiswa tidak harus diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi keupayaan mahasiswa tersebut mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan mereka.

Juga kita harus percaya bahawa kebebasan akademik menjadi salah satu faktor kepada peningkatan ranking universiti. Maka melalui konsep kebebasan akademik, mahasiswa akan diberi ruang untuk mengembangkan idea dan potensi mereka melalui wahana penyelidikan, pandangan yang bernas dan penulisan yang berkualiti. Dalam sudut ini, PMUKM memuji tindakan yang diambil pihak pentadbiran khususnya Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) yang mengemukakan 'Learning Contract' atau 'Sistem Kontrak Pembelajaran' yang berasaskan 'student-driven' yang mana mahasiswa bebas menentukan perjalanan ko-kurikulum yang hendak dilakukan.

Tanggungjawab Digalas
Dengan pelbagai penubuhan dan penghakupayaan pusat-pusat kecemerlangannya yang terdapat di dalam kampus UKM sendiri seperti Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Kajian Oksidental (IKON), Institut Islam Hadhari (HADHARI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), kita optimis banyak 'mata' akan melihat kepada UKM.

Maka sejajar dengan keupayaan dan kekuatan yang dimiliki Universiti, kita harus bersedia meraikan perdebatan semua idea dan pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Ruang yang luas harus dipaparkan kepada idealisme positif untuk berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya melandasi kewujudan sesebuah universiti. Suasana ini akan membentuk kecemerlangan di universiti dan ia hanya muncul seandainya dibudayakan dalam kampus dan didukung oleh semua pihak Insyallah.


Paduan Iman & Amal
Dalam pengamalan tersebut, UKM harus tidak lupa untuk mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material sebagaimana yang ditekankan di dalam Falsafah Universiti yang tercipta bersama-sama penubuhan UKM 41 tahun dahulu.

Perlu diingat juga bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan. Dalam kata lain UKM perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, dapat membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan antara pelbagai alternatif berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.

Isu-isu asas yang masih menghambat kepada kemajuan dan pembangunan komuniti serta sosio-ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi & sains untuk komuniti, mengukuh warisan dan ketamadunan bangsa, dan mengukuhkan daya saing negara di samping matlamat asas Universiti untuk membangunkan sumber modal insan yang berilmu merupakan isu pokok yang masih memerlukan siri-siri penyelidikan yang mendalam.

Pendekatan penyelidikan yang bersifat multi-bidang untuk membawa hasilan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan terus oleh masyarakat seharusnya menjadi agenda kritikal di dalam siri-siri penyelidikan universiti kita agar membawa pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang terdapat di universiti tanpa lengah untuk faedah rakyat bersama.

Juga memetik ucapan Datuk Seri Khaled tersebut bahawa 'penyelidikan bersifat fundamental boleh digembleng bersama penyelidik bersifat gunaan untuk kesejahteraan masyarakat di mana ahli akademik perlu mengubah set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’. Apa yang penting, secar ringkasnya kedapatan ahli-ahli akademik yang ramai di dalam UKM untuk seberapa segera menjalankan penyelidikan untuk meneroka cabang-cabang ilmu, membina kepakaran dan meneraju kepimpinan intelektual di samping mengajar di dewan-dewan kuliah biasa kerana masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam.


Peranan rakan mahasiswa
Di peringkat mahasiswa, PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda-agenda Universiti yang sangat banyak dicadangkan khususnya di bawah Pelan Transformasi UKM. Apapun penggemblengan tenaga mahasiswa ini tidak lari dari tiga (3) tonggak utama yang disebut di dalam Ucapan Dasar Presiden dahulu iaitu (i) mahasiswa untuk mahasiswa, (ii) mahasiswa untuk masyarakat dan (iii) mahasiswa untuk negara dalam menjana kepimpinan berkaliber hari ini dan pengganti kepimpinan akan datang.

Apa yang penting, barisan kepimpinan PMUKM bersedia menjadi orang tengah dalam masa sama bersama-sama mahasiswa dan pihak pentadbiran Universiti dalam mewujudkan persefahaman yang utuh antara kedua belah pihak. Kita optimis, penggemblengan antara dua entiti utama di dalam universiti ini adalah resepi utama mencapai visi dan misi Universiti tercinta ini.


Penutup
Mengakhiri kalam, suka untuk saya mengulangi titah Baginda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor yang antaranya menyebut bahawa, "UKM milik negara dan mesti mencerminkan hasrat negara. UKM mesti menjadi perintis bagi kerangka kewujudan yang selesa dengan misinya, komuniti dan kosmologinya serta mampu menjadi tarikan dunia. Di peringkat global, UKM mesti cemerlang namun tidak terasing dan tetap berakar umbi pada masyarakatnya. Akarnya terpasak di tanah airnya, jangkauannya menerjah ufuk persada dunia."

Semoga titah Baginda akan berbekas di sanubari kita dan menjadi pesanan yang akan kita pandu sepanjang  perjalanan menjadi warga Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selamat Ulangtahun UKM ke-41.

Rabu, Mei 18, 2011

Laporan Lawatan Kasih Sayang PMUKM ke Kelantan


Lawatan Kasih Sayang PMUKM telah diadakan pada 13 hingga 15 Mei 2011 yang lalu ke sekitar negeri Kelantan. Lawatan ini telah dianjurkan oleh Biro Kebajikan dan Aduan PMUKM dengan kerjasama daripada Unit Pembangunan Sahsiah Pelajar (UPSP) Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM yang telah diketuai oleh MPP Saudara Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol dan dibantu oleh ahli bironya MPP Sausdari Nur Akma Zulkifli. Lawatan ini bertemakan “Melestarikan Kebajikan Untuk Mahasiswa”. 

        Seramai 20 orang ahli majlis Perwakilan Pelajar  dan seorang kakitangan UPSP yang bernama Pn. Zainab turut menyertai lawatan ini. Sebanyak 4 Buah rumaha pelajar UKM daripada pelbagai Fakulti telah dipilih sebagai destinasi lawatan kasih sayang kali ini. Tujuan lawatan ini diadakan ialah untuk meninjau keadaan pelajar-pelajar yang menghadapi penyakit dan pelajar yang mempunyai masalah kewangan. Disamping itu bagi melahirkan perasaan menyayangi dan cuba merasai penderitaan yang ditanggung oleh para perlajat yang terlibat. Antara daerah yang dilawati ialah Machang, Bachok, Kota Bharu dan Manik Urai.

            Disamping itu, lawatan ini cuba untuk meringankan pelajar tersebut daripada segi bantuan kewangan dan memberikan nasihat serta suntikan emosi, rohani, dan motivasi untuk terus sabar dalam meneruskan perjuangan hidup dengan lebih baik. Kedatanga PMUKM disambut baik oleh pelajar dan ahli kelurganya. Antara pengisian ketika lawatan ke rumah pelajar tersebut ialah Ucapan daripada Presiden PMUKM Ahmad Muzzamil Muhd Hairi, Ucapan Pelajar ataupun ibubapanya dan sedikit sumbangan wang dan hamper bekalan makanan turut diberikan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.


            Lawatan ini menyedarkan kepada semua pimpinan PMUKM supaya sedar dan cakna dengan kebajikan mahasiswa. Bukan sahaja di kampus malahan dinegeri yang diduduki . Mengikut pemerhati daripada PMUKM, keadaan pelajar yang mengalami masalah kesihatan dan kemalangan semakin beransur pulih. Pihak PMUKM berharap program ini akan diteruskan dan diadakan dari masa ke semasa keseluruh negeri, insyaAllah. Akhir kata pihak PMUKM ingin mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada Unit Pembangunan Sahsiah Pelajar (UPSP) dan Unit Kebajikan Pelajar (UKP) yang sudi bekerjasama dalam menjalankan lawatan kasih sayang ini dan berharap agar seluruh warga kampus mendoakan tahap kesihatan rakan-rakan kita semakin pulih dan bertambah baik. Semoga kita semua mendapat kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Amin.

Selasa, Mei 17, 2011

Selamat Hari Ulang Tahun Ke-41 UKM

Lakaran Sejarah Penubuhan UKM

Peta perjalanan sejarah untuk membina sebuah universiti yang berteraskan kaum Melayu cukup lama, bersimpang siur, bermasalah dan penuh kesulitan. Ia telah melalui pelbagai tahap perkembangannya serta melibatkan ramai cendikiawan dan pemikir. Oleh itu, apabila Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi pada 18 Mei 1970 ditubuhkan, ia mengungkapkan bukan sedikit bingkisan sejarah dan impian bangsa Malaysia sendiri.


Dengan pembinaan tapak sementara Universiti di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kemudian di kampus tetapnya di Bandar Baru Bangi sangat dinanti-nantikan oleh pejuang jati negara ketika itu. Hasil cetusan idea pada dekad kedua abad ke-20 oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba) dan Abdul Kadir Adabi juga hasil kesedaran terhadap kedhaifan pendidikan rakyat terbanyak (Mohd Zahari Daud).

Pendeta Za’ba (1895-1973) yang merupakan seorang ahli bahasa yang banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu ketika itu telah menyarankan penubuhan sebuah pusat pengajian bertaraf universiti ditubuhkan untuk menampung ribuan lulusan sistem persekolahan melayu yang ketika itu tidak dapat meneruskan pengajian. Beliau sangat yakin dengan keupayaan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu tinggi telah menyarankan penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh sepanjang pengajian.

Kenyataan beliau ini telah disokong Encik Abdul Kadir Adabi (1901-1944) yang mencadangkan supaya sebuah universiti ditubuhkan khusus untuk orang Melayu. Walaupun Encik Abdul Kadir tidak menyebut secara jelas berkenaan bahasa pengantar bagi universiti ini, tetapi para pengkaji sejarah menyimpulkan Encik Abdul Kadir secara bijaksana telah mengaitkan idea penubuhan universiti ini dengan keperluan pendidikan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Cetusan idea bersejarah ini tidak menarik perhatian penjajah British dan pembesar Melayu yang rapat dengan British. Mereka memberi alasan rakyat kebanyakan tidak akan yakin dengan idea ini, walhal dasar penjajah itu sendiri tidak memberi ruang pelajaran tinggi kepada rakyat di Tanah Melayu ketika itu. (Mohd Zahari Daud)

Idea ini bagaimanapun disambut baik oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang mahukan pendaulatan Bahasa Melayu di segenap peringkat universiti biarpun idea ini tidak mendapat restu pemerintah ketika itu. Idea gagasan ini terus dihangatkan sepanjang sekitar dekad empat puluhan dan lima puluhan oleh pihak Persekutuan yang berusaha untuk mengangkat bahasa Melayu di pentas pendidikan kebangsaan negara sendiri. Pihak Persekutuan Guru-Guru Semenanjung gigih meningkatkan darjat persekolahan aliran Melayu sehingga ramai di kalangan para pelajar Melayu berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti khususnya ke luar negara.

Ia membuahkan hasil apabila ramai anak bangsa yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dahulu kembali berkhidmat di dalam negara selepas era kemerdekaan dan melontarkan idea-idea yang bernas. Pada tahun 1963, Seminar Bahasa dan Sastera telah diadakan . Resolusi di akhir seminar ini adalah menuntut penubuhan sebuah universiti ‘benar-benar bercorak kebangsaan’ dengan dikemukakan hujah-hujah jelas yang dipetik daripada fakta dan kenyataan sejarah negara. Juga tuntutan kepada penubuhan sebuah ‘Universiti Islam’ juga turut dibahaskan. Tuntutan-tuntutan ini diulang-ulang dan perbincangan mengenai penubuhannya dibentang kembali secara terperinci sehingga ia dimuktamadkan pada tahun 1968.

Jawatankuasa Penubuhan UKM ditubuh



Pada Jun 1968, beberapa orang cendekiawan Melayu telah bertemu, bersumbang-saran lalu menggabungkan pemikiran dan pendapat masing-masing di samping membawa isihati rakyat negara ketika itu. Zainal Abidin Wahid. A. Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin, Zain A. Majid, Mohd. Ghazali A. Rahman, S. Husin Ali dan sekadar menyebut beberapa nama kemudiannya menukilkan konsep Universiti yang dituntut oleh mereka dalam konteks realiti negara yang baru berusia sepuluh tahun ketika itu. Tidak ketinggalan golongan yang menuntut penubuhan sebuah universiti Islam yang dipimpin oleh Allahyarham Dr. Ungku Omar turut berganding bahu dengan kumpulan penaja penubuhan universiti beraliran kebangsaan ini. Kata sepakat dicapai. Tuntutan penubuhan sebuah universiti aliran Melayu dan "universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan" dan sebuah "Universiti Islam" telah berpadu yang kemudian melahirkan penubuhan bermakna selang tiga tahun kemudian.

Dalam pada itu, idea gagasan bersejarah ini telah disambut dengan baik oleh persatuan-persatuan penulis, budaya, belia, pelajar, mahasiswa dan pendidik, lalu dikembangkan dalam kesedaran dan pandangan sejarah bangsa Melayu. Dikisahkan pada detik tersebut kemaraan kehendak dan gelojak hati rakyat tidak lagi dapat ditahan. Di mana-mana rakyat sibuk berbicara akan penubuhan sebuah universiti bercorak kebangsaan, di mana pensyarahnya sendiri bakal mengajar anak bangsa mereka sendiri. Rakyat ketika itu juga menginsafi akan hak mereka untuk menubuhkan sebuah universiti ‘rakyat’ mereka sendiri.

Pada 25 Ogos 1968, sebuah Jawatankuasa Penganjur Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi telah ditubuhkan. Tokoh yang terlibat ialah Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin, Syed Husin Ali dan lain-lain. Hasil usaha yang komited daripada jawatankuasa penaja ini telah melakarkan sebuah sejarah yang sangat bermakna buat semua.

18 Mei - Tarikh Keramat

Tarikh keramat 18 Mei 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan secara rasmi. Kampus sementaranya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Bangi setelah bangunan siap. Universiti ini hasil gabungan citarasa ‘kebangsaan’ dan ’Islam’. Pelajar sulungnya seramai 192 orang. Terdapat tiga buah fakulti perintis iaitu Fakulti Sastera, Fakulti Sains dan Fakulti Islam.

Penubuhan UKM ini telah disulami dengan pasak yang jelas iaitu Falsafah UKM yang menjadi kebanggaan warga Universiti. ‘Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan’ Universiti’ adalah jelas implementasi visi yang jelas yang mudah dihadami setiap warganya agar bergerak seiring dengan aspirasi hasrat mulia pelopor penubuhan UKM suatu ketika dahulu yang menginginkan sebuah ‘Universiti Islam bercorak Kebangsaan’.

Juga asas penubuhan Universiti yang disebut di semasa perasmian Universiti pada 18 Mei 1970 lalu, yang terang-terang menyebut, ‘penubuhan UKM adalah demi mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.’ UKM juga diletakkan sebagai kemuncak dalam mengukuhkan sistem pelajaran kebangsaan di samping meletakkan sasaran melahirkan warganegara yang setianya kepada negara ini. Di samping UKM berperanan menampung lulusan sekolah menengah aliran Melayu ,ia juga memainkan peranan mengeluarkan siswazah yang sihat, berpandangan serta berfikiran luas.

Bak kata Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM yang juga merupakan Profesor Ulung Negara, Prof. Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin, “Universiti ini merupakan tapak semaian ahli akademik universiti baru di Malaysia.”

Sungguhpun asas sejarah penubuhan universiti ini bertitik-tolak daripada tuntutan rakyat Bumiputera di Semenanjung Malaysia dan berakarkan konsep nasionalisme, namun hasil yang timbul dari pemikiran ini adalah sebuah ‘Universiti Kebangsaan’ untuk seluruh rakyat Malaysia. Idea ini ialah tunas pertama yang amat penting yang tumbuh dari semaian benih gagasan pejuang terdahulu.

Selamat Hari Ulang Tahun Ke-41 , UKM.


Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti.


Mohamad Ezuan Mohd Saad,
Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UKM
Sesi 2010-2011

Naib Canselor : Nilai Sebuah Universiti Lebih Daripada Petanda Pengukuran Penafarannya




PARIS, 16 Mei 2011 – Naib Canselor Prof Tan Sri Dato' Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata Universiti Kebangsaan (UKM), bukan saja terbatas kepada melahirkan pemimpin, hasil penyelidikan dan sains yang diharapkan daripada sebuah universiti “bertaraf dunia” tetapi juga dalam membina negara dan menggalakkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa saintifik, sesuai dengan mandatnya sebagai sebuah universiti kebangsaan.

Dalam suatu wawancara dengan sebuah penerbitan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya, Bangsa-bangsa Bersatu), ‘Eduinfo’ edisi bulan ini atas tajuk penafaran universiti, beliau berkata penarafan bukanlah suatu ukuran nilai sebenar sesebuah universiti.

Penafaran sepatutnya menaksir impak sebuah universiti terhadap inovasi perniagaan, promosi sosio-budaya dan pembangunan persekitaran sesebuah rantau. Tetapi petanda-petanda ini masih belum dapat digubal dan dikemaskan.

Beliau berkata pihak yang membuat penafaran juga gagal mengambil kira keperluan mahasiswa yang mencari maklumat tertentu untuk menolong mereka memilih sesebuah institusi.

Nilai-nilai yang ditanam oleh universiti tidak diterjemahkan kepada petanda penarafan dan tidak boleh diukur dengan hanya nisbah kakitangan-pelajar.

Mutu pengajaran mesti diukur dengan pengalaman belajar mahasiswa, tambah beliau dalam wawancara yang diadakan sempena Forum Global UNESCO mengenai penafaran dan kebertanggungjawaban Pelajaran Tinggi di Paris yang bermula hari ini. Beliau akan membentang satu kertas kerja di forum dua hari itu.

Majalah itu menggambarkan beliau sebagai seorang penulis, aktivis sosial serta pejuang persamaan gender.

Berikut ialah wawancara itu sepenuhnya:

Di manakah keasyikan dengan taraf kedudukan bermula?
Pencetus penafaran universiti bermula berikutan dengan satu laporan Kerajaan British yang menyarankan agar diwujudkan aras tanda antarabangsa untuk mengukur kekuatan universiti-universiti British berbanding universiti-universiti Amerika. Proses itu kini diantarabangsakan. Bagaimanapun, tidak banyak petanda mutu dalam pendidikan tinggi digunakan dengan berkesan yang merentasi sempadan.

Bagi anda apakah ujian tulen sesebuah universiti?
Bolehlah saya katakan ia adalah bagaimana sebuah universiti secara berterusan membuat jangkaan dan memacu perubahan melalui inovasi yang mewujudkan nilai baru selain menawarkan pulangan sosial, persekitaran dan kewangan untuk universiti, negara dan rantau berkenaan.

Secara ideal, apakah seharusnya diukur oleh petanda?
Ia seharusnya menaksir impak sebuah universiti terhadap inovasi perniagaan, promosi sosio-budaya dan pembangunan persekitaran sesebuah rantau. Tetapi petanda-petanda ini masih belum digubal lagi dan diperkemaskan. Seperti Einstein pernah berkata, “Bukan semua yang diambil kira boleh diharapkan”. Bukan semua diperhitungkan, diambil kira.

Bagaimanakah ukuran penarafan dunia masakini dilaksanakan?
Cara-cara masakini menyediakan satu pandangan institusi berkenaan berdasarkan langkah mudah – dua data kualitatif (kajian semula majikan dan rakan setaraf) dipilih bersama-sama dengan empat data kualitatif untuk menggambarkan kekuatan dalam pengajaran, impak penyelidikan dan kedudukan antarabangsa.

Pengaruh paling besar diberikan oleh mereka dalam kedudukan paling baik untuk menilai para akademik. Akhirnya, satu angka tunggal diperoleh untuk memberi kedudukan sebuah institusi berbanding yang lain berkaitan aspek berbeza tahap mutunya.

Walaupun pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mereka, penarafan universiti dunia dilihat sebagai aras tanda antarabangsa bagi membandingkan kekuatan institusi terlibat.

Haruskah penarafan digunakan untuk membantu memutuskan dasar pendidikan dan peruntukan sumber?
Ya, tetapi hanya jika penarafan digunakan untuk membantu memperuntukkan sumber-sumber bagi pembinaan keupayaan (sebagai contoh, menyediakan pembiayaan mencukupi untuk penyelidikan dan pembelajaran), atau untuk merangka dasar memberikan autonomi institusi lebih luas dan kebebasan akademik, atau untuk merangka semula pendidikan tinggi demi persaingan kebangsaan dalam ekonomi global. Dalam kes seumpama itu, penarafan menjadi alat bernilai untuk memacu kegemilangan.

Kerajaan Malaysia mengadakan satu Program Mempercepat Pencapaian Kegemilangan atau universiti APEX, sebagai tambahan kepada universiti giat-penyelidikan sedia ada. Ia bukanlah mencari sebuah universiti terkemuka tetapi sebuah yang mempunyai potensi dan kesediaan untuk mengubah dan menguruskan perubahan.

Adakah persepsi orang awam mengenai penarafan satu masalah?
Orang ramai mempunyai harapan yang tinggi dan mereka mahu keputusan segera daripada segi kenaikan penarafan. Mereka ini, terutama ahli politik, tidak memahami sifat penarafan dan menyamakannya dengan nilai sesebuah universiti. Ini sebenarnya menjadi masalah apabila anda cuba mengagak potensi untuk membuat sesuatu yang begitu kompleks dan memakan masa, tetapi menggunakan penarafan satu dimensi sebagai pengukur pencapaian. Lantas penurunan dalam penarafan ditafsirkan sebagai kemerosotan taraf dan pembaziran pelaburan dan pembangkang terutamanya, menganggap ini sebagai satu peluang untuk mengkecam kerajaan dan universiti.

Bolehkah penarafan digunakan untuk membuat keputusan siapa terbaik?
Tidak, tugas Universiti Kebangsaan (UKM), bukan saja terbatas kepada melahirkan pemimpin, hasil penyelidikan dan sains yang diharapkan daripada sebuah universiti “bertaraf dunia” tetapi juga dalam membina negara dan menggalakkan Melayu sebagai satu bahasa saintifik, sesuai dengan mandat kami sebagai sebuah unversiti kebangsaan.

Penarafan bukan satu ukuran nilai sebenar sesebuah universiti. Mereka gagal mengambil kira keperluan mahasiswa yang mencari maklumat tertentu untuk menolong mereka memilih sesebuah institusi. Begitu juga, nilai-nilai ditanam oleh universiti tidak diterjemahkan kepada petanda penarafan dan tidak boleh diukur dengan hanya nisbah kakitangan-pelajar. Mutu pengajaran mesti diukur dengan pengalaman belajar mahasiswa.

Apa pandangan anda mengenai pemilihan petanda?
Ini adalah perdebatan yang tidak akan berakhir. Mengapa bergantung kepada persepsi majikan ketika universiti kini menekankan bekerja sendiri sebagai ukuran kejayaan siswazah. Di samping itu, menggunakan pelajar antarabangsa sebagai satu petanda merugikan universiti di banyak negara membangun yang dijangka memenuhi permintaan tempatan yang tidak tercapai.

Terdapat pergantungan besar terhadap kajian semula kualitatif rakan dan tinjauan pengrekrut yang merupakan 50 peratus daripada pencapaian. Kita tahu bahawa perkiraan seperti itu dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti tradisi yang mungkin memberikan kelebihan kepada institusi lebih tua. Universiti bertaraf tinggi biasanya berusia kira-kira 200 tahun, mempunyai kira-kira 2,500 ahli akademik, hampir 24,000 pelajar, terlalu memilih lantas memikat dan mengekalkan kakitangan handalan, menerima bantuan kira-kira AS$1 bilion dan belanjawan tahunan AS$2 bilion.

Adakah anda bimbang mengenai kepentingan komersial dalam penarafan?
Ya terutama keinginan universiti “bermain dengan percaturan penarafan”. Baru-baru ini ‘pakar-pakar’ akademik yang digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan penarafan untuk kajian semula rakan dikesan dan ditawarkan “insentif” oleh institusi yang ghairah untuk menaikkan penarafan mereka.

Dalam meningkatkan usaha menaikkan taraf antarabangsa, sesetengah universiti mengambil kakitangan dan pelajar antarabangsa tanpa mempedulikan kelayakan mereka. Pendekatan seumpama ini bukan saja tidak berpandangan jauh dan tidak memberikan hasil dikehendaki untuk membina keupayaan institusi, tetapi mungkin menggugat usaha memupuk budaya akademik sebenar dan membahayakan misi universiti berkenaan.

Jadi, sebagai rumusan, anda masih yakin penarafan antarabangsa memberikan data berfaedah...
Ya – tetapi ia akan menjadi lebih berfaedah jika metodologi penarafan menilai universiti pada peringkat lebih mendalam lagi. Ini akan membolehkan perancangan terkehadapan untuk perubahan institusi bagi menjamin pembaikan yang tulen dan lestari dalam mutu universiti. Nilai harga sesebuah universiti adalah lebih tinggi daripada ukurtara digunakan dalam penarafan.

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir